
Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine Dion sudah merancang untuk memiliki anak yang ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga yang besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik… Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian mereka semua.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang dihajati… namun jauh di sudut penyanyi berkelas dunia ini, perjalanan hidupnya tidak berjalan begitu lancar.
Terutamanya apabila melibatkan soal anak. Dia dan suami dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun dan berjaya hamil selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.

Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak sehinggalah selepas bertahun-tahun mencuba untuk memiliki zuriat… usaha mereka masih gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, pasangan romantis ini sepakat membekukan sperma Rene kerana khuatir kualitinya boleh terjejas akibat kesan kemoterapi.
Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil. Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.

Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ternama ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF. Pun begitu, Celine gugur pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh… Celine disahkan hamil anak kembar ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila suami tercinta akhirnya meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016. Penyanyi kelahiran Canada ini bakal meniti usia 51 tahun pada 30 Mac ini.
Penampilan Menarik dan Bijak. Pakej Menarik Juliana Awada

Penampilan First Lady Of Argentina, Juliana Awada sentiasa mencuri perhatian dunia. Mana tidaknya, wanita yang mempunyai darah kacukan Lebonan ini sering tampil bergaya tatkala menemani suami tersayang, Presiden Argentina, Mauricio Macri menghadiri majlis-majlis sambutan negara.
Berusia 43 tahun, Juliana Awada dilahirkan di Villa Ballester, Argentina pada 3 April 1974. Beliau merupakan puteri kepada pasangan imigran berasal dari Lebonan dan Suriah. Malah, Juliana bukanlah wanita pertama yang menjadi First Lady Argentina yang memiliki darah keturunan Arab, malah isteri kepada bekas Presiden Carlos Menem, Zulema Yoma yang memerintah dari tahun 1989 hingga 1991 juga mempunyai darah kacukan Arab.
Semasa zaman remajanya, Juliana sering mengembara bersama ibunya ke Eropah dan Amerika Syarikat untuk melihat koleksi fesyen. Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang Pendidikan di bilingual English school di Belgrano, Juliana meneruskan pengajian di Oxford England.
Dek kerana penampilannya yang sentiasa anggun dan mempersona, tidak hairanlah mengapa majalah Hola! Spanyol memilihnya sebagai Wanita 1st Lady Paling Elegan pada tahun 2016. Nama Juliana Awada turut dicalonkan sebagai Wanita Berbusana Terbaik Dunia 2016 versi majalah Vogue. Malah, gaya Juliana sering dibandingkan dengan pemakaian mendiang Jacky Kennedy, isteri kepada Presiden Amerika Syarikat ke 35.
Ibu kepada dua cahayamata ini bukan sahaja bijak bergaya tetapi seorang wanita yang aktif bukan sahaja dalam bidang sosial, malah amat meminati bidang seni. Sedari usia remaja lagi, Juliana Awada sudah didedahkan dengan dunia perniagaan keluarga yang terlibat dalam industri tekstil yang diusahakan oleh bapanya pada tahun 1960-an. Malah, wanita cantik ini juga pernah mendirikan rumahtangga bersama suami pertamanya dikenali sebagai Gustavo Capello pada 1997 dan bercerai satu tahun kemudian.
Setelah beberapa tahun hidup solo, tanpa disangka pertemuannya dengan Mauricio Macri terjadi pada 2009. Sejak itu, keduanya menjalinkan hubungan dan melangsungkan perkahwinan pada 16 November 2010.
Melalui perkahwinannya itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak yang diberi nama Antonia, yang lahir di 2011. Manakala seorang lagi anak Juliana adalah hasil hubungannya dengan Bruno Laurent pada awal 2000.
Juliana Awada menjadi wanita pertama Argentina sejak Disember 2015 di mana dia cukup aktif dalam pelbagai kegiatan sosial. Juliana juga aktif mempromosi kesedaran masyarakat Argentina untuk memberi kesempatan bagi para pengidap Down Syndrome agar lebih boleh diterima di dalam lingkungan sosial.
Bukan sahaja cantik, bijak tetapi mempunyai visi untuk Argentina maju ke hadapan. Sudah tentu Juliana menjadi kebanggan wanita Argentina yang mengharumkan nama negara di mata dunia!
Kacukan India-Inggeris KATRINA KAIF Cantik Tanpa Solekan, Tak Pernah Alami Bad Hair Day

Bagi yang gemar menonton filem-filem Bollywood pasti akan mengenali wajah jelita ini. Aktres kacukan India-Inggeris ini mampu membuatkan sesiapa saja ‘cair’ bila melihatnya. Bukan saja terkenal dengan bakat lakonan yang hebat malah kejelitaannya sering menjadi perhatian. Katrina Kaif sering tampil cantik meski tanpa solekan. Dapat bayangkan betapa aslinya kecantikan yang dimiliki Katrina walaupun kini usianya 37 tahun.
Ternyata, Katrina Kaif bertuah kerana dilahirkan ‘sempurna’ dengan kecantikan asli umpama bidadari. Cantik, tinggi, langsing serta berkulit mulus dan halus. Paling terpesona adalah senyumannya yang sangat manis.
Katrina Kaif dilahirkan pada 16 Julai 1983 di Hong Kong, China. Dia pernah membintangi filem Boom di samping bintang legenda tersohor, Amitabh Bachchan. Sebelum bergelar aktres, Katrina Kaif memulakan kariernya sebagai seorang model. Ketika itu Katrina Kaif berusia belasan tahun.
Bapanya, Mohammed Kaif berasal dari Kashmir. Manakala ibunya, Suzanne Turquotte berketurunan Inggeris dan pernah bergelar pengacara serta sukarelawan. Menariknya lagi, ibu Katrina Kaif ini adalah lulusan Harvard University, hebatnya! Patutlah Katrina Kaif pun cantik dan bijak.


Adik bongsunya iaitu Isabelle Kaif turut mengikut jejak langkah Katrina Kaif dalam dunia lakonan. Sama seperti kakaknya, Isabelle Kaif turut mewarisi kecantikan ibu mereka yang berdarah Inggeris. Cantik dan berbakat Isabelle Kaif ni, macam kakaknya.


RAHSIA KULIT CANTIK
Kalau nak tahu, rutin kecantikan yang diamalkan Katrina Kaif sebenarnya sangat simple. Katrina Kaif sememangnya seorang yang sangat menitikberatkan penjagaan kecantikan dalaman serta luaran. Kecantikan kulit sangat penting bagi Katrina Kaif.
Salah satu cara Katrina Kaif menjaga kulitnya ialah dengan sentiasa mengekalkan kesegarannya. Dia mengamalkan minum air putih pada setiap pagi. Dengan banyak minum air putih, aliran darah menjadi lebih lancar sehingga kulit kelihatan berseri-seri.
Selain itu, Katrina Kaif juga antara aktres yang sering tampil jelita dengan solekan yang tidak berlebihan. Adakalanya Katrina Kaif juga sering tampil polos tanpa sebarang solekan jika tiada sesi penggambaran menyerlahkan lagi kecantikan asli yang dimiliki.
Bagi Katrina Kaif apa yang penting adalah sentiasa menjaga bibir agar kekal lembab dan kulit terhindar daripada sinar ultraviolet. Maka sebab itulah Katrina Kaif tidak pernah lupa untuk membawa lip balm dan sun block bersama walau ke mana jua dia pergi.
RAMBUT CANTIK
Ini pula rahsia bagaimana Katrina Kaif menjaga rambutnya agar kekal cantik, bersih, sihat dan berkilau. Salah satunya ialah dengan mencuci rambut setiap hari. Selain itu, Katrina Kaif turut mengamalkan minyak asli dalam rutin kecantikannya. Bukan hanya kulit bahkan pada rambutnya sebelum dikeringkan. Makanan yang sihat untuk rambut juga diutamakan. Percaya atau tidak, sejak bergelar aktres Katrina Kaif tidak pernah memotong rambutnya yang panjang itu.
Cantik sahaja tidak memadai kerana bagi Katrina Kaif kesihatan juga perlu seiring. Sebab itulah aktres jelita ini rajin melakukan aktiviti kecergasan antaranya berenang, jogging dan latihan beban. Menari, yoga dan meditasi juga tidak ketinggalan.
Sementara itu, pola pemakanan yang seimbang turut melengkapi rutin harian Katrina Kaif. Dietnya sederhana sahaja yang mana dia mengelakkan terlalu banyak karbohidrat dalam pemakanan. Katrina Kaif gemar memakan sayur serta buah-buahan segar.
Kesimpulannya, Katrina Kaif bijak menyeimbangkan antara kecantikan luaran dan dalaman. Baginya, kecantikan sejati datangnya dari hati. Jika seseorang merasa baik di dalam maka kecantikan itu akan terserlah jua pada luaran.

Kredit Foto: Instagram @katrinakaif
“Perjalanan Ke Masjid Al-Aqsa Sangat Mendebarkan, Meremang Bulu Roma” DATUK SERI SITI NURHALIZA

Sesiapa pun yang berpeluang mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Palestin buat pertama kalinya pasti akan merasa takjub dan sujud syukur, sukar diungkapkan kenikmatannya. Dapat melihat keindahan Dome of the Rock (Kubah Shakhrah) yang berkubah emas. Burung-burung yang berterbangan turut sama bertasbih memuji kebesaran Allah SWT.

Pada 17 Mei yang lalu, adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Sairah Tarudin telah berkongsi satu video di Instagram yang memaparkan detik terindah kakaknya itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa. Menurut Siti Sairah, video yang berdurasi 0.58 saat itu dirakam pada tahun 2017. (Lihat video di akhir artikel)

Nona berpeluang menemu bual Datuk Seri Siti Nurhaliza secara ekslusif bagaimana pengalamannya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi anbiya itu. Sangat tersentuh dengan apa yang dikongsi oleh artis jelita ini. Rupa-rupanya Masjid Al-Aqsa ada kisah tersendiri buat Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sambil menulis, penulis membayangkan keindahan Masjid Al-Aqsa yang menjadi ‘harta paling berharga’ buat seluruh umat Islam. Beruntungnya Datuk Seri Siti Nurhaliza dapat jejakkan kaki ke sana, rezeki!
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana pernah menjejakkan kaki sekali ke Masjid Al-Aqsa bersama suami dan juga rombongan ahli keluarga yang lain. Memang impian nak ke tanah haram (kiblat pertama umat Islam). Perjalanannya memang mendebarkan tetapi bila sampai di Masjid Al-Aqsa kita akan rasa sangat tenang.
Melihat kepada environment di sana sangat menarik dan ia membuatkan kita teruja. Perasaan berdebar-debar tu bukan apa, sebab kawasan tersebut dijaga oleh pihak Israel. So setiap border, setiap pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh polis dan pihak Israel.
Pun begitu, mereka tidak mengganggu pelancong luar, sebab itu kita rasa selamat. Selama ni kita sering mendengar dan rasa ‘takut-takut’ tetapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun perkara-perkara yang mencurigakan.
Pengalaman pertama kali ini cukup bermakna, saya sukakan persekitarannya yang sangat tenang dan indah. Sukar diungkapkan bila berada di Masjid Al-Aqsa. Perasaannya tu sama seperti saya pergi ke Mekah kerana dapat melihat 3 agama yang sangat kuat iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
KEISTIMEWAAN
Bagi sesiapa yang membaca kisah dan sejarahnya, Palestin ini adalah tanah anbiya di mana Nabi-Nabi dilahirkan termasuklah kisah-kisah sejarah berlaku di sana. Di situlah juga tanahnya sangat subur dan berkah. Ketika di sana saya dibawa ke tempat yang sangat bersejarah dalam Islam. Ustaz yang bawa kami tu bercerita tentang di mana Nabi Isa a.s diangkat, akan ada Imam Mahadi, dan banyak lagi. Jadi, depan mata saya dapat lihat peninggalan sejarah-sejarah Islam termasuk para Nabi syuhada membuatkan kita lebih bersemangat untuk lebih menyayangi Masjid Al-Aqsa.
Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat banyak mimbar. Salah satunya ialah tempat Nabi Zakaria a.s berdoa agar dikurniakan zuriat. Dekat situlah juga saya berdoa untuk ambil keberkatan, berdoa sebelum saya ambil proses IVF sebelum dapatkan Aafiya. Saya betul-betul berada di tempat Nabi Zakaria a.s berdoa. Seronok sampai meremang bulu roma.

Bila tengok dalam Masjid Al-Aqsa tu, kebanyakan orang-orang Palestin sama ada yang lelaki mahupun perempuan mereka duduk sambil membaca dan menghafaz Al-Quran. Ada bapa-bapa yang menjaga anak-anak mereka yang menghafaz Al-Quran membuatkan saya rasa sangat kagum. Sebab itulah Masjid Al-Aqsa ni sangat hebat.
Suasananya berbeza dengan masjid-masjid lain yang pernah saya jejaki contohnya Masjid Nabawi tempat kita mengerjakan umrah dan haji. Cuma sejarah awal Masjid Al-Aqsa ada keistimewaannya tersendiri. Dari segi dekorasinya pula, tidak banyak pembaharuan kerana masih mengekalkan sejarah seni bina lamanya. Cuma apa yang saya lihat, dalam Dome of the Rock tu kubahnya sangat cantik dari segi architecture serta tulisan khatnya. Ini termasuklah tempat ‘ajaib’ di mana batu tergantung itu sangat mengkagumkan.

KAGUM DENGAN WANITA & ANAK-ANAK PALESTIN
Kita dilahirkan di tempat yang berbeza dengan semangat yang berbeza, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui. Dia memilih mereka yang tertentu untuk berada di tempat yang tertentu. Kita seharusnya bersyukur kerana kita ditempatkan di negara yang tidak berperang dan tidak perlu berjuang dari segi mempertahankan tempat kita seperti mana di Palestin. Wanita-wanita Palestin ditakdirkan Allah SWT berada di tempat yang memerlukan mereka untuk berjihad, berjuang mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
Selain wanita, saya juga kagum dengan anak-anak kecil Palestin. Semangat mereka tercetus apabila melihat perjuangan dan pengorbanan ibu bapa mereka. Manakala kita di Malaysia harus mendidik anak-anak agar lebih bersyukur dan menghargai keamanan. Didik mereka agar lebih banyak bersedekah serta membantu mereka yang dalam kesusahan.
Memang berbeza situasi kita dengan mereka. Maka, untuk mendidik anak-anak paling penting ialah ajar mereka tentang adab dan tahu menghargai sesuatu. Dari situ mereka akan tahu bagaimana untuk saling mengasihi sesama insan. Kalau mereka tahu orang-orang di negara luar sedang dalam kesusahan, kita didik anak-anak menjadi seorang yang bermurah hati untuk membantu.

Saya percaya, rakyat Palestin sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangka. Mereka redha dengan apa yang berlaku, kita sendiri pun tak sanggup. Kekuatan mereka sangat luar biasa! Saya kagum terutama wanita dan kanak-kanak di sana, mereka insan berani.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, apa yang mampu kita berikan, contohnya dari segi wang ringgit untuk membantu mereka mendapatkan bantuan ubat-ubatan dan keperluan asas. Doa adalah senjata terbaik umat Islam. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT menurunkan keajaiban seterusnya peperangan ini dapat dihentikan. Yang penting Masjid Al-Aqsa terus dilindungi.
Semua ini sudah pun tertulis dalam Al-Quran. Sekarang ini masa untuk kita bersatu serta banyakkan berdoa agar rakyat Palestin dilindungi dan Allah SWT turunkan malapetaka ke atas Israel.
SALUR SUMBANGAN
Menerusi syarikat saya, memang ada perancangan untuk membuat kutipan bagi membantu rakyat Palestin. Bantuan secara peribadi pun ada termasuk bersama suami. Kami juga ada contact di Gaza iaitu sahabat kami sendiri untuk membantu saudara mara kita yang memerlukan di sana. Alhamdulillah kami cuba lakukan yang terbaik untuk membantu.”
Kredit: Instagram @ctdk @sitinursairahtarudin