Terinspirasi dengan jiwa murni Wawa Zainal yang tekad membina masjid di kampung halaman suaminya di Johor. Bertahun-tahun impian tersebut dirancang, usahawan dan juga selebriti ini memaklumkan angan-angan tersebut bakal terlaksana jua tidak lama lagi.
Selaku penerima Nona Online Entrepreneur Award pada Nona Superwoman Award 2022, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin ini meluahkan rasa syukur dan memohon doa semua agar pembinaan masjid berkenaan dapat disiapkan segera.
“Impian Wawa untuk ada kereta dan rumah, alhamdulillah dah tertunai. Cuma yang belum tertunai ialah impian hendak dirikan masjid dekat Johor. Dah dua tahun progress sampai sekarang belum lagi naik masjid disebabkan beberapa perkara. Dugaan nak buat baik. Jadi doakanlah supaya benda ini cepat-cepat tertunai. Bila dah buat masjid rasa lega.
Hidup kalau mewah sangat pun Wawa takut sebab risau ada yang terkesan bila tengok lifestyle atau posting kita di media sosial. Wawa ada kereta ke apa bukan niat menunjuk. Kami start bisnes kecil-kecilan sekitar tahun 2017 dari situ dapat beli rumah agak besar dan tak percaya. Terbaharu dapat beli tanah lot banglo.”
Kredit Instagram @w4w4_zainalKoleksi Foto Majalah NonaKoleksi Foto Majalah Nona
Ujar pengasas Wawa Cosmetics ini lagi, dia mahu pembinaan masjid jadi keutamaan terlebih dahulu berbanding hasrat untuk mendirikan banglo miliknya.
“Wawa tak ada apa lagi benda nak kejar, dah ada segalanya. Alhamdulillah boleh beli apa je. Wawa nak staf Wawa hidup senang boleh beli kereta mereka nak, leaders dan resellers berterusan rezekinya.
Ads
Orang bahagia, Wawa bahagia. Memang jujur cakap, alhamdulillah Wawa dah ada semuanya berkat doa orang. Jadi, masa untuk bantu orang pula.”
Enggan mendabik dada dengan kurniaan rezeki dari Ilahi, Wawa sentiasa berpijak di bumi nyata dan menjadikan ujian masa lalu sebagai panduan untuk terus melangkah maju mendalami selok-belok perniagaan.
“Waktu saya mula berniaga macam-macam dugaan terpaksa saya tempuh antaranya kena tipu dengan individu yang kononnya ada kilang OEM dan mereka mark-up sampai kami beli dengan harga yang sangat mahal. Paling terkesan, ratusan ribu ringgit duit kami ‘hangus’ begitu sahaja kerana terpedaya dengan orang tidak bertanggungjawab.
Kami juga diuji apabila wujud pemikiran skeptikal segelintir pihak terhadap produk niaga artis yang dikatakan produk timbang kilo. Jadi, kami perlu meraih kepercayaan pelanggan yang bahawasanya produk Wawa Cosmetics ini berkualiti.
Ads
Kredit Instagram @w4w4_zainalKoleksi Foto Majalah NonaKoleksi Foto Majalah Nona
InshaAllah Wawa Cosmetics akan mengecapi kejayaan demi kejayaan dengan doa dan restu. Bagi saya, ia sebenarnya berkait rapat dengan doa suami, keluarga dan amal jariah. Walau ada ketika kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tapi masih gagal, kena cari di mana silapnya. Mungkin kita ‘kekurangan’ dari segi rohani.
Saya pun masih dalam proses memperbaiki diri dan buat benda yang boleh jadi magnet rezeki salah satunya dengan bersedekah serta buat kebaikan membantu orang dalam kesusahan. Saya percaya kebaikan ini akan memudahkan perjalanan kita. Apabila kita permudah urusan orang lain, Tuhan akan permudah urusan kita.”
Tambah Wawa, dia sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami dan sentiasa menyokong minat isteri.
Ads
Kredit Instagram @w4w4_zainalKredit Instagram @w4w4_zainalKredit Instagram @w4w4_zainal
“Semua wanita yang dapat sokongan sepenuhnya dari suami, bisnes mereka makin berkembang maju. Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah kejayaan ini adalah kerana sokongan daripada suami sendiri dan saya tidak pernah rasa ia milik saya seorang. Saya rasa kalau suami tiada di sisi, saya tidak akan sampai ke tahap ini.
Dialah tulang belakang saya. Kadang saya rasa sedih, dialah yang akan bagi semangat. Jangan ada perasaan bahawa duit bisnes yang dapat ini milik kita seorang. Jangan sesekali ada sekelumit pun perasaan terbeban itu. Sebaliknya, tanam perasaan yang duit itu adalah duit bersama dengan keluarga.
Bila ada perasaan negatif akan timbul rasa ego dan perasaan ego tersebut mendorong untuk merendah-rendahkan suami. Bila ia terjadi, rezeki susah hendak berterusan. Kita kena anggap rezeki ini berkat doa suami dan saling berusaha.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
PENGALAMAN BARTECH BEAUTEE
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE PRODUK VIRAL
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Kak Lin lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” telusnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Kak Lin akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Kak Lin sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Kak Lin mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
15 tahun lalu, saat insan lain gentar untuk berbicara soal kanser, wanita hebat ini berazam menyediakan ruang khusus buat pesakit dan bekas pesakit kanser payu dara. Impiannya ketika itu hanya satu… menyuntik semangat kepada mereka yang terlibat agar cekal mendepan ujian hidup. Dalam keterujaan Puan Sri Dato’ Azrene Abdullah membantu para pesakit bergerak aktif dan kekal positif terhadap masa depan mereka melalui penubuhan Breast Cancer Foundation, dirinya pula diuji dengan perkhabaran mengejutkan.
Berpeluang menemu bual Puan Sri Dato’ Azrene sekitar tiga tahun lalu, tanpa berselindung ibu jelita kepada empat orang anak ini mengakui perjalanan untuk menubuhkan badan amal tersebut cukup dekat dan bermakna bagi dirinya. Bukan hanya kerana ia adalah terjemahan kepada niat murni ibu mentuanya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood bahkan pada ketika itu jugalah dia didiagnosis menghidap kanser mulut. Jelas Puan Sri Dato’ Azrene, beliau menerima berita berkenaan daripada seorang doktor di Amerika Syarikat setelah ujian biopsi yang diambil daripada lidahnya menunjukkan kehadiran sel kanser.
Allahyarham Tun Endon, mentua Puan Sri Dato’ Azrene
“Saya antara orang yang sering bersama Allahyarhamah Tun Endon waktu dirinya sedang menderita kanser payudara. Apabila tiba waktu rawatan dan pemeriksaan kesihatan, saya akan membawanya ke hospital. Jadi, sementara menunggu prosedur rawatan selesai, saya turut ambil peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan doktor di sana memandangkan keadaan diri yang kerap mengalami gejala ulser di mulut.
Hasil biopsi pertama doktor tak temui sebarang masalah. Tapi selepas ujian biopsi seterusnya barulah mereka mendapati ia adalah kanser. Keadaan waktu itu memang mencabar. Saya menderita kanser mulut sementara ibu mentua pula sedang sakit kanser payudara. Tapi pengalaman berada di samping Tun Endon cukup indah. Cara dia menjalani hidup dengan ceria dan gembira membuatkan saya kuat untuk bertarung menghadapi kesakitan.
Malah ketika saya beritahu tentang penyakit ini kepadanya, dia suruh saya lawan. Alhamdulillah, saya ingat pesanannya dan terus melawan penyakit ini sampai sekarang, sampaikan Breast Cancer Foundation pun sudah memasuki tahun yang ke-15,” tutur Puan Sri Dato’ Azrene dalam nada tenang.
Mengakui masih membuat rawatan untuk kanser mulut yang dialami, Puan Sri Dato’ Azrene berkata beliau tidak melakukan rawatan kemoterapi sebaliknya mencari alternatif lain yang disarankan pakar perubatan.
“Saya pergi mendapatkan kaedah rawatan komprehensif lain dengan seorang doktor di Australia yang menggunakan bahan-bahan daripada herba. Doktor menyarankan saya untuk mengamalkan minuman dan mandi herba secara berendam. Herba yang diberikan pula bukan sebarangan kerana ia bergantung pada kombinasi ramuan herba yang telah dideskripsi dan diajar oleh doktor. Kemudian saya perlu buat sendiri di rumah.
Setiap pagi saya akan buat seperti yang diajar dan mandi bersama ramuan herba tadi. Memang berkesan tapi dalam masa sama mencabar juga. Banyak benda yang harus dibuat dan sepanjang tempoh rawatan ini, doktor yang sama turut membekalkan segala ramuan herba yang diperlukan kepada saya. Pertama sekali kena mandi dan bersihkan badan seperti biasa. Kemudian baru berendam tapi tak boleh lebih 20 minit dengan suhu air 38.5 Celsius.
Dalam tab mandi, saya ada letak termometer untuk sukat suhu yang tepat. Tak boleh kurang dan tak boleh lebih sebab boleh memberi kesan tertentu. Tujuannya adalah untuk buang toksik di dalam badan. Sebenarnya mandian herba ini juga baik untuk semua. Kalau anda dapat buat seminggu sekali pun memadai. Inshaallah, kulit akan jadi lebih lembut dan cantik. Boleh juga menggunakan minyak camomile atau minyak bayi.”
Menyentuh rejim kecantikan yang dilakukan selama ini, jelas Puan Sri Dato’ Azrene lagi beliau hanya mengamalkan penjagaan asas kulit wajah seperti mencuci dan skrub muka, memakai penyegar dan pelembap wajah serta masker tanpa menjalani rawatan kulit yang lebih khusus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun kehadiran wanita ini tampak feminin dan lembut, tetapi memiliki kekuatan yang luar biasa. Memikul tugas sebagai seorang ibu, isteri dan pemilik Klinik Medissa Senawang bukan suatu tugas mudah yang digalas oleh wanita ini. Namun, hakikatnya Dr Nur Diana Abd Razak dapat melakukan dengan jayanya.
Meneroka bidang estetik bukan suatu yang asing dalam masyarakat malah kini telah diangkat sebagai pusat yang wajib dikunjungi oleh setiap wanita. “Memang betul, wanita sekarang dah mulai sedar dengan pilihan yang ada untuk melambatkan penuaan,” ujar pemilik Klinik Medissa Senawang yang sudah 4 tahun beroperasi ini.
Berkongsi lanjut tentang perkembangan Klinik Medissa Senawang yang menjadi tumpuan wanita ini, “Sekarang ramai wanita datang ke klinik untuk merawat kulit. Mereka dah sedar boleh guna cara tradisional tapi jika ada cara yang pantas sekali gus berkesan kenapa mahu bertangguh lagi, kan?
Di Klinik Medissa Senawang kami menyediakan perkhidmatan merawat kulit dan memperlambatkan penuaan dengan menggunakan teknologi terkini dari Korea. Masalah yang sering mengganggu wanita adalah jeragat.
Kita perlu tekankan penggunaan krim tabir suria yang berkualiti dengan kerap 2 hingga 4 jam sekali, kemudian baru dianjurkan beberapa cara rawatan di klinik, produk penjagaan kulit di rumah dan penggunaan supplemen yang membantu untuk memudarkan jeragat. Insyaallah jeragat boleh hilang,” kata doktor estetik yang baru berusia 35 tahun ini.
Sebagai seorang doktor yang menceburi bidang estetik, Dr Diana begitu menitikberatkan penggunaan pelindung tabir suria yang wajib diaplikasi oleh setiap wanita. “Langkah yang paling mudah untuk melambatkan penuaan, bintik gelap dan jeragat adalah dengan melindungi kulit dengan pelindung tabir suria seawal umur 12 tahun.
Kesalahan yang selalu dilakukan oleh wanita apabila memilih produk penjagaan kulit tanpa mengetahui keperluan dan jenis kulit mereka. Di sini mereka perlu mendapatkan konsultasi daripada mereka yang pakar untuk mengetahui jenis kulit sendiri. Barulah kulit akan dijaga dengan betul,” kata pemilik Klinik Medissa Senawang yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan ini.
Ternyata wanita yang pernah menjawat jawatan selama 12 tahun sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan dan swasta ini, membuka klinik sendiri dengan tekad dan begitu bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai doktor perubatan dan estetik di klinik beliau.
“Sebagai pemilik klinik ini, saya gembira dan bangga apabila melihat wanita mempunyai keyakinan diri yang tinggi setelah kulit wajah mereka dirawat,” katanya jujur.
Obsesi Dr Diana memuncak apabila suami turut sama berganding bahu menjayakan misinya di klinik ini. “Alhamdulillah, apabila suami melihat saya tak menang tangan untuk mengendalikan pelanggan di klinik lantas membuat keputusan untuk meninggalkan jawatan sebagai doktor perubatan tentera di sektor kerajaan untuk sama-sama menyumbangkan masa dan tenaga merawat pelanggan kami yang semakin bertambah,” tutur Dr Diana dengan penuh semangat.
Langkah Dr Diana semakin laju apabila mula merencana untuk menambahkan lagi cawangan kliniknya. “Saya memang sudah mula merencana untuk membuka cawangan. Tapi semua itu masih dalam perancangan awal. Saya juga bercadang untuk melanjutkan ilmu dalam bidang ‘Anti aging and regenerative medicine’,” bicara Dr Diana yang memiliki kelulusan dalam bidang estetik; Medical Aesthetics Certification (MAC) program dan Diploma Dermatology Academy Family Physicians Malaysia (AFPM) ini.
Mempunyai hobi melancong, doktor cantik ini telah berkongsi cara menjaga kulit ketika melancong. “Kalau melancong kita kena tahu cuaca tempat kita pergi tu. Pastikan bawa krim pelembap, krim tabir suria dan oral sunblock.
Cuba mengorek rahsia Dr Diana bertubuh langsing walau sudah ada anak dua, jawabnya, “Saya memang bukan pemakan. Mungkin sebab itu saya tak berisi. Satu lagi mungkin sebab saya seorang yang workaholic,” gurau doktor yang berasal dari Negeri Sembilan ini mengakhiri perbualan.
Kemaruk beratur berjam-jam demi merasa makanan viral, golongan remaja dan orang muda yang berbadan besar di Malaysia lebih cepat alami kerosakan buah pinggang.