Ketepikan Niat Buat Banglo & Mahu Bina Masjid Dulu, WAWA ZAINAL Ligat Kejar Saham Akhirat Dengan Berniaga!

Terinspirasi dengan jiwa murni Wawa Zainal yang tekad membina masjid di kampung halaman suaminya di Johor. Bertahun-tahun impian tersebut dirancang, usahawan dan juga selebriti ini memaklumkan angan-angan tersebut bakal terlaksana jua tidak lama lagi.

Selaku penerima Nona Online Entrepreneur Award pada Nona Superwoman Award 2022, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin ini meluahkan rasa syukur dan memohon doa semua agar pembinaan masjid berkenaan dapat disiapkan segera.

“Impian Wawa untuk ada kereta dan rumah, alhamdulillah dah tertunai. Cuma yang belum tertunai ialah impian hendak dirikan masjid dekat Johor. Dah dua tahun progress sampai sekarang belum lagi naik masjid disebabkan beberapa perkara. Dugaan nak buat baik. Jadi doakanlah supaya benda ini cepat-cepat tertunai. Bila dah buat masjid rasa lega.

Hidup kalau mewah sangat pun Wawa takut sebab risau ada yang terkesan bila tengok lifestyle

atau posting kita di media sosial. Wawa ada kereta ke apa bukan niat menunjuk. Kami start bisnes kecil-kecilan sekitar tahun 2017 dari situ dapat beli rumah agak besar dan tak percaya. Terbaharu dapat beli tanah lot banglo.”
Kredit Instagram @w4w4_zainal
Koleksi Foto Majalah Nona
Koleksi Foto Majalah Nona

Ujar pengasas Wawa Cosmetics ini lagi, dia mahu pembinaan masjid jadi keutamaan terlebih dahulu berbanding hasrat untuk mendirikan banglo miliknya.

“Wawa tak ada apa lagi benda nak kejar, dah ada segalanya. Alhamdulillah boleh beli apa je. Wawa nak staf Wawa hidup senang boleh beli kereta mereka nak, leaders dan resellers berterusan rezekinya.

Orang bahagia, Wawa bahagia. Memang jujur cakap, alhamdulillah Wawa dah ada semuanya berkat doa orang. Jadi, masa untuk bantu orang pula.”

Enggan mendabik dada dengan kurniaan rezeki dari Ilahi, Wawa sentiasa berpijak di bumi nyata dan menjadikan ujian masa lalu sebagai panduan untuk terus melangkah maju mendalami selok-belok perniagaan.

“Waktu saya mula berniaga macam-macam dugaan terpaksa saya tempuh antaranya kena tipu dengan individu yang kononnya ada kilang OEM dan mereka mark-up sampai kami beli dengan harga yang sangat mahal. Paling terkesan, ratusan ribu ringgit duit kami ‘hangus’ begitu sahaja kerana terpedaya dengan orang tidak bertanggungjawab.

Kami juga diuji apabila wujud pemikiran skeptikal segelintir pihak terhadap produk niaga artis yang dikatakan produk timbang kilo. Jadi, kami perlu meraih kepercayaan pelanggan yang bahawasanya produk Wawa Cosmetics ini berkualiti.

Kredit Instagram @w4w4_zainal
Koleksi Foto Majalah Nona
Koleksi Foto Majalah Nona

InshaAllah Wawa Cosmetics akan mengecapi kejayaan demi kejayaan dengan doa dan restu. Bagi saya, ia sebenarnya berkait rapat dengan doa suami, keluarga dan amal jariah. Walau ada ketika kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tapi masih gagal, kena cari di mana silapnya. Mungkin kita ‘kekurangan’ dari segi rohani.

Saya pun masih dalam proses memperbaiki diri dan buat benda yang boleh jadi magnet rezeki salah satunya dengan bersedekah serta buat kebaikan membantu orang dalam kesusahan. Saya percaya kebaikan ini akan memudahkan perjalanan kita. Apabila kita permudah urusan orang lain, Tuhan akan permudah urusan kita.”

Tambah Wawa, dia sangat bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami dan sentiasa menyokong minat isteri.

Kredit Instagram @w4w4_zainal
Kredit Instagram @w4w4_zainal
Kredit Instagram @w4w4_zainal

“Semua wanita yang dapat sokongan sepenuhnya dari suami, bisnes mereka makin berkembang maju. Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah kejayaan ini adalah kerana sokongan daripada suami sendiri dan saya tidak pernah rasa ia milik saya seorang. Saya rasa kalau suami tiada di sisi, saya tidak akan sampai ke tahap ini.

Dialah tulang belakang saya. Kadang saya rasa sedih, dialah yang akan bagi semangat. Jangan ada perasaan bahawa duit bisnes yang dapat ini milik kita seorang. Jangan sesekali ada sekelumit pun perasaan terbeban itu. Sebaliknya, tanam perasaan yang duit itu adalah duit bersama dengan keluarga.

Bila ada perasaan negatif akan timbul rasa ego dan perasaan ego tersebut mendorong  untuk merendah-rendahkan suami. Bila ia terjadi, rezeki susah hendak berterusan. Kita kena anggap rezeki ini berkat doa suami dan saling berusaha.”

 

 

Share
Published by
Suzi