Terpesona dengan kejelitaan milik Pengasas jenama Bella Ammara ini. Berusia 34 tahun, penampilan Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Sheh atau lebih mesra disapa sebagai Belle A-Yahya persis seperti anak dara. Hakikatnya dia merupakan ibu kepada dua orang anak.
Teruja berkongsi pengalaman dan amalan kecantikan, Belle tanpa berselindung mengakui susur galur keluarganya yang memiliki keturunan Arab-Palembang. Patutlah cantik!
Sambil berkongsi foto kenangan arwah ibunya, jelas Belle, “Inilah wajah insan yang penting dalam hidup Belle. Masa ni majlis pernikahan walid dan arwah umi Belle. Kebetulan majlis kahwin dorang sama dengan Belle bulan Disember juga. Time ni arwah umi Belle baru umur 17 tahun dan walid Belle umur 33 tahun.
Walid kahwin lambat sebab dia study dekat oversea lama. Walid kenal umi pun sebab dia kawan dengan Pak Cik Belle dan selalu datang rumah Tokabib. So dari situlah walid berkenan dengan umi. Yela, arwah umi Belle memang cantik. Siapa je yang tak berkenan.
Arwah umi muka mix sebab nenek Belle orang Arab dan Tokabib orang Palembang. Lepas kahwin umi memang suri rumah sepenuh masa. Tapi umi ada bakat seni. Satu family umi pandai lukis. Lukisan-lukisan di rumah Tokabib semua hasil lukisan sendiri. Sebab tu arwah umi selalu ajar Belle lukis dari umur 5 tahun lagi. Alhamdulillah dari situlah Belle boleh melukis dan mewarna dan berkat dari tu jugalah Belle mula cari rezeki sejak dari kecil.”
Berkongsi pula gambar ketika majlis konvokesyen kakak Belle di Jogjakarta, isteri Carl Samsudin ini mendedahkan, “Gambar ni pada tahun 2008, gambar masa majlis konvokesyen kakak Belle di Jogjakarta. Masa ni umi umur 43 tahun. Kalau orang tanya Belle kenapa Belle kecil je, apa tip badan tak naik-naik lepas beranak. Cuba korang tengok arwah umi Belle.
6 orang anak tapi badan still maintain. Siap Belle boleh tukar-tukar baju dan kasut dengan umi sebab time ni kami sama size. So mungkin Belle ikut arwah umi Belle la kot. Genetik. Kalau Belle, kakak dan arwah umi jalan bertiga orang mesti ingat adik-beradik.
Belle konvo tahun 2011 dan pada tahun 2011 jugalah arwah umi meninggal. Tak sempat tengok Belle ambil ijazah masa tu. Tapi at least umi sempat tengok kakak Belle grad masa ni. Arwah umi meninggal sebab kanser usus. Lepas Belle habis final semester Belle terus kerja di kampung untuk jaga arwah umi sepanjang dia sakit sebab dia tak nak duduk KL masa tu.
Dan kakak Belle pulak dia dapat transfer ke Hospital Sungai Petani untuk sama-sama monitor umi. Walaupun umi tak sempat tengok Belle kahwin tapi at least umi sempat jumpa Carl Samsudin masa dia sakit. Masa tu Carl datang Kedah sebab nak melawat dan time tu juga Belle bagitau umi ada kawan lelaki nak jumpa. Umi senyum je mungkin dia faham. Sebab time tu umi tak boleh cakap sangat.”
Kini, walaupun arwah ibu tersayang tiada lagi di sisi namun semangatnya menjadi kekuatan kepada Belle hingga sekarang. Mula bergelar Pengasas Bella Ammara, Belle turut mencapai pelbagai kejayaan antaranya bergelar pemilik cabang bisnes lain termasuk Sugar Belle, BA Beau dan Narabelle Facespa.
Bukan hanya kisah kejayaan Belle dalam perniagaan saja yang menjadi inspirasi. Bahkan keperibadiannya yang sering menonjolkan sisi wanita muslimah sejati dan kemulusan kulit wajah Belle juga menarik perhatian ramai.
“Paling penting kita pakai set penjagaan penuh maksudnya dengan memakai pencuci muka, toner, serum yang sesuai dengan kulit dan pakai sunscreen. Sunscreen ini adalah sangat penting untuk kulit wanita. Especially untuk wanita yang kian berusia daripada umur 25 tahun ke atas dah kena pakai sebab kita terdedah di luar dan direct sunlight. Ia penting untuk kita menjaga kulit.
Bagi Belle sunscreen sangat penting. Dan apabila balik rumah kena cuci muka dan pakai moisturizer. Untuk kesihatan dalaman pula kita kena makan makanan sihat dan minum banyak air. Belle suka amalkan makan madu dan buah tomato.
Masa kecil, arwah umi memang selalu pesan makan madu dan habbatussauda. Ini antara makanan yang masa Belle remaja dulu, Belle selalu amalkan. Alhamdulillah, mungkin dari situ kesihatan kulit Belle tak ada masalah daripada remaja. Jadi, itulah yang Belle amalkan.”
Lepas ini hendak dapat kulit sihat yang mulus dan gebu, praktikkan amalan penjagaan kulit dan pemakanan seperti Belle Al-Yahya. Bukan cantik luaran saja tapi dalaman pun kena jaga.
Kredit foto: Instagram Belle Al-Yahya
This website uses cookies.