Nampaknya pengasas Huda Beauty sudah mula ‘detoks’ media sosial sejak ketibaan 1 Ramadan pada 24 April lalu. Mengintai laman Instagram usahawan kosmetik berjaya dunia itu, sehingga ke hari ini tiada satu posting pun yang dimuatnaik Huda Kattan di media sosial miliknya sendiri. Walhal, platform seperti Instagram, Youtube, Twitter dan Facebook inilah tempat Huda mempromosikan rangkaian kosmetik hingga berjaya meraih jutaan dollar walau tanpa butik fizikal. Kagum, luar biasa cara Huda meraikan kedatangan Ramadan dan sanggup tolak tepi urusan bisnes semata-mata untuk menghargai golongan tidak bernasib baik ketika ini.
Tanpa berselindung tentang kepercayaan agama yang dianuti dan bulan Ramadan yang disambut seisi keluarganya saban tahun, pada 23 April lepas Huda memberitahu sudah tiba waktunya untuk dia memanfaatkan masa terluang di samping insan tersayang. “Keluarga ialah perkara paling penting dalam hidup saya. Kami melakukan segalanya bersama-sama, namun sempena Ramadan kami mengambil kesempatan ini untuk ‘berehat’ dan meluangkan lebih banyak masa untuk menghargai mereka yang kurang bernasib baik.
Salah satu perkara penting yang saya dan keluarga lakukan pada #MonthOfGood ini ialah dengan memberikan bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan. Ini adalah
perkara utama yang kami sekeluarga ketengahkan setiap kali Ramadan dan ia nyata ‘membuka mata’ ramai pihak. Kadang-kala kita tidak ambil kisah dengan keperluan
asas dalam hidup seperti makanan. Tapi bagi sesetengah orang, ia cukup berharga,” ujar Huda selaku Ketua Pegawai Eksekutif Huda Beauty yang kini menetap di Dubai.
Menelusuri kejayaan Huda Beauty dalam industri kosmetik dunia, Huda Kattan mengakui dia tidak melaburkan duit untuk tujuan pemasaran melalui iklan komersial di media cetak mahupun elektronik, billboard dan sebagainya. Sudah tertulis rezeki usahawan ini, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu ‘berdiri’ sendiri.
Mendekati wanita berjiwa besar di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq kini meniti usia 36 tahun. Keluarganya telah berpindah ke Boston ketika dia baru berumur dua tahun. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan berketurunan Iraq daripada kedua
ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi serta mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan Huda dikurniakan seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing
bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini
dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi make up artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya.
Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 yang seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.
Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Mengikut laporan Forbes pula, Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia rasa tidak puas bekerja dalam bidang kewangan.
Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty yang diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Hari ini, rangkaian kosmetik Huda Beauty mempunyai 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Sumber: Forbes & Vogue Arabia
This website uses cookies.