Gaya Hidup

Keunikan Adat Punjabi & Pakistan Sempurnakan HARI BERSEJARAH Zaleha-Arvin

Pertemuan secara tidak sengaja Zaleha Al-Hayat dan Arvin Mikhael di sebuah gimnasium telah membibitkan cinta di antara kedua-duanya. Bermula dengan sekadar bertukar-tukar nombor telefon, akhirnya merpati dua sejoli ini memeterai ikatan perkahwinan di jenjang pelamin.

“Saya sendiri tak sangka bertemu jodoh di gym! Namun, siapa kita untuk menolak takdir dan ketentuan yang telah ditetapkan. Arvin seorang lelaki yang menghormati keluarganya dan keluarga saya. Kualiti lelaki yang begini memang menjadi idaman saya. Malah dia juga seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sangat mengambil berat. Personaliti Arvin berjaya mengetuk pintu hati saya untuk menerima lamaran cintanya,” tutur Zaleha.

Celah Arvin, “Saya pula tertawan dengan Lela kerana dia seorang wanita yang berdikari. Dia mampu melakukan apa sahaja tanpa perlu bantuan orang lain. She is beauty with brain!

Paling penting dia pandai masak. Pasti setiap lelaki akan terpikat dengan wanita yang cekap di dapur. Selain itu dia seorang yang tegas dan mempunyai prinsip hidup,” ujar usahawan ini.

DUA BUDAYA

Biarpun pengantin perempuan berdarah kacukan Arab dan Pakistan manakala pengantin lelaki berketurunan Punjabi tetapi majlis ikatan cinta yang berlangsung begitu harmoni sekali.

“Saya gembira kerana dapat meraikan cinta kami mengikut kedua-dua adat budaya. Majlis bermula dengan Maayan atau dikenali sebagai mandi kunyit yang merupakan satu acara tradisional yang diamalkan oleh kaum Punjabi dan Pakistan. Acara ini diadakan pada sebelah pagi atau petang sebelum jam pukul 6 petang dua hari sebelum acara perkahwinan.

Bahan-bahan seperti serbuk kunyit, tepung dan minyak mustard digunakan, manakala semua ahli keluarga perempuan akan mengambil bahagian. Ibu pengantin akan melumur campuran kunyit di atas ke muka pengantin, diikuti adik beradik perempuan dan saudara perempuan. Mereka akan melumur kunyit di seluruh anggota badan pengantin.

Pada masa yang sama kumpulan dhol dan penyanyi tradisional akan menyanyikan lagu-lagu tradisional sambil anggota keluarga melumur kunyit ke badan pengantin. Kemudian benang berwarna merah akan dipakaikan kepada pengantin.

Pengantin juga tidak dibenarkan keluar dari rumah apabila selesai acara ini sehingga tiba acara perkahwinan. Tujuan adalah untuk keselamatan supaya tidak berlaku perkara buruk kepada pengantin,” terang Lela yang bertugas sebagai Peguam Kriminal ini.

Jika pengantin lain teruja menempuh malam berinai begitu juga pengantin ini. Malam berinai kecil yang digelar Malam Mehndi berlangsung di kediaman pengantin perempuan. Kemudian berlangsung pula malam berinai besar.

“Malam berinai besar digelar Malam Sangeet. Malam berinai besar bagi orang Punjabi dan Pakistan diadakan di dewan atau hotel sehari sebelum nikah.

Malam Sangeet bermula dengan chura ceremony atau acara memakai gelang. Acara ini kebiasaannya gelang berwarna merah dan putih akan dicelup dengan susu dan kesemua keluarga pengantin lelaki yang akan memakaikan gelang kepada pengantin perempuan.

Kemudian terdapat pula majlis Jagoo yang merupakan satu acara berwarna-warni. Kumpulan jagoo yang terdiri daripada bangsa Punjabi memakai kostum unik akan menyanyi dan menari. Mereka akan membuat persembahan dan mengelilingi dewan sambil menyanyi dan menari. Paling istimewa mereka akan membuli tetamu dengan menyuruh menari bersama sambil mengutip ‘tol’,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Usai acara malam berinai tiba masa untuk majlis yang ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang memadu kasih. Arvin melafazkan akad dan nikah berwalikan abang pengantin perempuan di Pullman Putrajaya Lakeside.

Kemudian telah menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,000 dan satu set barang kemas berserta cincin berlian Hearts On Fire daripada Habib Jewel sebagai hantaran. Mereka bertukar-tukar hantaran sebanyak tujuh dulang yang telah direka indah oleh Nas from Nas Great Idea. Hamizatul Maizan Mohamed

Foto: Koleksi Pengantin, Tiran Sidhu Photography & Mangotouch Photography

Share
Published by
Norzalina