
Cukup 3 item ini untuk solekan simple tapi berseri di rumah. Calit-calit saja asalkan kulit wajah moist, nampak flawless dan bibir ranum kebasahan.
Lumrah wanita bekerja dari rumah, tetap mahu kelihatan cantik walaupun sekadar tatapan ahli keluarga dan suami tercinta. Tapi tak perlulah bersolek mampan, cukup solekan tipis atau kata orang selfie-ready!
Semak 3 item solekan terbaharu pilihan Majalah Nona ini untuk wajah natural tanpa filter kamera.
UNTUK KULIT

Lembapan kulit merupakan asas solekan. Usapkan serum Vinosource-Hydra ke atas kulit kering agar mekap tahan lebih lama.

Semanis wajah Selena Gomez, oleskan concealer ini untuk menyamarkan mata panda, kemerahan kulit atau jerawat dengan cepat.
UNTUK BIBIR

Bibir lebih ranum dan kemerahan, efek penuh bagaikan senyuman Rihanna. Hangatkan godaan dengan gloss bibir dari ekstrak lada capsicum ini.
Jaga Badan Luar & Dalam, Amalkan Minum TEH SERAI Sekali Sehari

Hujung-hujung minggu ni apa kata sesekali anda cuba buat sendiri resepi minuman sihat ni. Bukan saja mudah didapati, murah dan selamat ia juga bagus untuk kesihatan luaran dan dalaman. Serai tu sendiri kita dah tahu memang banyak kebaikannya untuk kesihatan.
Sesekali jadikanlah teh serai sebagai rutin minuman kesihatan anda setiap hari. Sebelum tu, jom semak apa kebaikan teh serai yang membantu:
MENGURANGKAN GEJALA HAID
Setiap kali haid pasti akan mengalami sindrom seperti senggugut dan kembung perut. Amalkan minum teh serai setiap hari bagi menenangkan perut dan bertindak sebagai antiradang.
MENJAGA SISTEM PENCERNAAN
Kajian oleh National Institutes of Health membuktikan serai efektif sebagai ubat semula jadi untuk mengatasi sakit perut dan masalah pencernaan.
RAWAT JANGKITAN MULUT & GIGI
Serai bersifat antimikroba. Serai mampu melawan bakteria Streptococcus mutans salah satu penyebab utama gigi rosak. Dengan kandungan antimikroba di dalamnya teh serai membantu mengatasi jangkitan mulut dan gigi berlubang.
MELAWAN RADIKEL BEBAS
Berdasarkan informasi diterbitkan oleh Journal of Adriculture and Food Chemistry, serai mengandungi antioksidan yang mampu melawan radikel bebas dalam badan. Radikel bebas salah satu punca penyakit seperti kanser.
RESEPI TEH SERAI
Amalkan sekali sehari sahaja.
Bahan-bahan:
2 batang serai
1 batang kulit kayu manis
Madu
Air panas
1 uncang teh100 ml perahan jus lemon/limau purut
Cara Membuat:
Potong akar serai dan buang semua daun/kulit di bahagian luarnya. Ketuk serai lalu masukkan ke dalam cawan bersama kulit kayu manis. Tuang air panas diikuti uncang teh. Keluarkan uncang apabila air berubah warna. Tambahkan madu dan perahan lemon, kacau rata. Minum ketika panas.
Cuaca Panas Melampau, Pelihara Kulit Agar Mampu Melambatkan Penuaan

Sudah sekian lama kita ‘terkurung’ di dalam rumah bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19, tiba masanya untuk kembali bekerja atau berlibur.
Sinar matahari memang baik untuk kesihatan kulit kerana merangsang tubuh menghasilkan vitamin D. Namun, sisi lain jika terlalu terdedah kepada sinar matahari tanpa perlindungan mampu mengundang kesan buruk kepada kesihatan kulit. Kesan cahaya matahari bukan sahaja menghilangkan lembapan kulit malah merangsang jeragat dan noda hitam.

Justeru, bagi mengekalkan kecantikan dan kelembapan kulit perlu merawat kulit dengan teliti dan jangan sekali diabaikan. Tak perlu melakukan rawatan yang mahal di salon kecantikan cukup dengan ritual yang sederhana dan yang pasti kena konsisten.
KRIM TABIR SURIA
Lindungi kulit dengan krim tabir suria yang betul. Krim tabir suria melindungi kulit yang merangsang produksi melanin iaitu pigmen penentu warna kulit. Pilih tabir suria dengan kadar SPF 15 atau lebih. Kadar tersebut menunjukkan berapa efektif tabir suria mencegah kulit terbakar akibat sinar UVB. Seelok-eloknya pilih krim tabir suria dengan pelembap ekstra.

SERUM
Memang elok tidak pernah tinggal rutin menyapu krim pelembap setiap malam sebelum tidur. Namun, kini sudah tiba masa menukar rutin harian itu. Sapu serum sebelum tidur demi mengunci kelembapan kulit. Serum mempunyai molekul lebih kecil lantas menyalur nutrisi kepada lapisan kulit paling dalam yang tidak dapat ditembusi oleh krim pelembap.
Bukan sahaja boleh mengatasi masalah kulit kering serum juga membantu mengatasi masalah penuaan, pigmentasi dan pori-pori besar. Kelembapan kulit terus terpelihara dengan kuasa semula jadi sebaik bangun daripada tidur. Kulit terasa lebih anjal dan segar dengan berkeyakinan.

CUCI TANGAN
Dalam situasi sekarang kebersihan tangan sangat penting bagi membina benteng kepada tubuh untuk mencegah virus COVID-19. Jangan lalai dan mengabaikan sikap membersihkan tangan walau di mana sahaja berada. Selain membenarkan kuman dan bakteria jahat masuk ke dalam tubuh, tangan yang tidak bersih juga jika disentuh ke kulit wajah boleh menyebabkan jerawat. Gunakan hand sanitizer untuk membantu mengusir kuman dan bakteria. Sebaik-baiknya guna sabun untuk membersihkan tangan.
BEDAK ASAS
Langkah paling penting ketika memilih produk kosmetik adalah memiliki bahan pelembap yang tinggi. Terlalu terdedah kepada cahaya matahari juga menjadi punca kulit mudah terhidrasi dengan cepat. Bedak asas yang datang dalam bentuk krim boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Sapu bedak asas secara nipis kerana formula pelembap ekstra boleh mencantikkan kulit khususnya wanita asia.

KRIM MATA
Ini merupakan salah satu produk yang wajib ada untuk semua wanita. Kesibukan kerja pejabat ditambah pula dengan urusan rumah tangga membuatkan ramai wanita tidak mempunyai tidur yang cukup apatah lagi mendapatkan tidur yang berkualiti. Lingkaran kulit bawah mata sangat sensitif dan ditambah pula sering terdedah kepada cahaya matahari. Krim mata merupakan magis kepada setiap wanita bagi menyingkirkan lingkaran gelap di bawah dan paling penting mengelakkan kedutan atau garis halus di bawah mata.
BODY BUTTER
Kita sering mendengar perkataan body butter tetapi tidak tahu apakah fungsi sebenarnya. Body butter adalah pelembap yang tidak mengandungi air dan jadi item cantik wajib dibawa dalam beg tangan . Pelembap jenis ini diadun antara minyak, butter (lemak padat) atau lilin. Oleh kerana tidak mengandungi air, body butter lebih likat dan umpama minyak yang membeku.
Wanita yang mempunyai kulit normal paling sesuai menggunakan body butter ini. Butter memberi sensasi kilau kepada kulit. Butter bukan solusi terbaik buat mereka yang mempunyai kulit kering kerana tiada kandungan air yang boleh membantu melembapkan kulit.

TEH HIJAU
Peminat teh pasti tahu ada berbagai jenis teh boleh diminum. Salah satu teh yang dapat membantu menjaga kesihatan dan kelembapan kulit adalah teh hijau. Teh hijau bukan sahaja baik untuk detoks tetapi juga mampu meningkatkan kadar lembapan kulit. Kandungan antioksida tinggi pada teh hijau mampu membuat kulit tetap lembap, segar, bebas masalah jerawat serta bintik hitam. Paling istimewa apabila teh hijau berupaya mengekalkan keremajaan kulit.
EKSFOLIASI KULIT
Regenerasi kulit berlaku 14 hingga 28 hari sekali namun apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya matahari, cuaca tidak menentu dan berbagai bahan kimia, proses regenerasi menjadi tidak optimal dan perlu dirangsang dengan eksfoliasi. Eksfoliasi berfungsi untuk membuang sel-sel kulit mati yang tertinggal lantas menghasilkan kulit wajah lebih cerah dan lembut.
Penjagaan lebih mudah kini kerana terdapat produk yang membantu eksfoliasi. Pilih gel khusus untuk eksfoliasi agar selesa dan bersesuaian dengan kulit. Gosok lembut ke wajah dan bilas dengan air bersih sehingga sempurna. Boleh juga menggunakan bahan yang terdapat di dapur seperti kombinasi gula pasir dan madu. Campur satu sudu gula pasir dengan dua sudu madu. Sapu ke seluruh wajah dan setelah rata urut secara perlahan-lahan. Bilas dengan air bersih.
PELEMBAP BIBIR
Jika bibir kering dan pecah-pecah pasti mengganggu mood seharian. Kurang minum air dan cuaca sejuk melampau menjadikan bibir kering dan mengelupas. Cara paling mudah untuk memelihara bibir kering adalah pelembap bibir. Jika memilih pelembap bibir yang mengandungi perlindungan terhadap sinar UVA dan UVB adalah suatu bonus.
MINUM AIR SECUKUPNYA
Bila kulit wajah dan kulit bibir sudah mula mengering, cuba periksa minuman yang sering diambil. Adakah anda melebihkan kafein, air bergula atau minuman karbonat setiap hari berbanding air kosong? Jika minuman ini menjadi pilihan sukar untuk membantu mengatasi masalah kulit kering dan mengelupas. Apa yang perlu dilakukan adalah minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter air sehari.
KRIM CC
Color Correcting atau Complexion Corrector, lebih dikenali sebagai krim CC berfungsi untuk menyamarkan tona kulit wajah, melindungi kemerahan kulit dan menutup pigmentasi. Krim CC ini lebih sesuai digunakan oleh wanita matang kerana ia berupaya menutup permasalahan kulit wajah seperti tona kulit tidak sekata, garis-garis halus, kedut dan iritasi. Sifat krim CC yang kalis air dengan struktur rangkaian kukuh iaitu dibentuk oleh molekul yang tinggi membolehkan solekan bertahan sehingga 12 jam tanpa memerlukan sentuhan walaupun dalam cuaca yang panas.
Keistimewaan krim CC ini tidak menimbulkan kesan terlalu tebal, amat sekata pada kulit dan mudah menyerap ke liang sebum. Pada masa yang sama ia meresap pantulan daripada cahaya matahari untuk tona kulit semula jadi tanpa kesan minyak.
Rahsia Kulit Glowing Pada Usia 54, Jennifer Aniston Amal Lemon Suam & Bangun 4.30 Pagi Setiap Hari

Bintang siri televisyen Friends, Jennifer Aniston terkenal dengan kulit yang glowing serta rambut berkilau walaupun usia dah mencecah 54 tahun.
Dipetik dari Hello! Jennifer mempunyai rutin pagi yang sangat memberi inspirasi.
Setiap hari, Jennifer bangun seawal pukul 4.30 pagi, diikuti dengan secawan air lemon suam. Pencinta yoga ini turut ‘berpuasa’ selama 16 jam dengan melakukan intermittent fasting (puasa berselang seli). Jennifer selalunya akan bersarapan pada pukul 10 pagi.
Di sela-sela waktu pagi, Jennifer akan bermeditasi sehinggalah tiba waktu ‘berbuka’. Dia mengambil smoothie sihat yang dicampur dengan serbuk kolagen ketika ‘berbuka’.
Bagi Jennifer, serbuk kolagen adalah kunci bagi mengekalkan keanjalan dan penghidratan kulitnya.
MEMULAKAN HARI DENGAN KOPI & KOLAGEN
Pengambilan kolagen dikatakan mampu mengekalkan kelembapan dan kesihatan kulit. Sebab itulah Jennifer mengamalkan kolagen sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulitnya di samping banyak meminum air putih.
“Ianya mengandungi peptida kolagen. Kuku saya lebih kuat dan sihat.
“Saya sering menambah peptida kolagen daripada Vital Proteins kepada smoothie,” dedah Jennifer.
Terdahulu, Jennifer pernah tular kerana amalan ‘berpuasa’ dan resipi smoothie yang lazat.
Dia telah mempopularkan trend makan tengah hari dengan salad ikonik yang diamalkannya setiapa hari di set Friends selama 10 tahun.
Amalan-amalan lain termasuklah bermain dengan haiwan peliharaan di luar rumah, pergi ke gim, menikmati masa berkualiti bersama rakan-rakan serta mendengar muzik kegemarannya sambil berehat pada waktu malam.
Jennifer memulakan paginya dengan secawan kopi panas yang dicampur serbuk kolagen.
Sesetengah pakar berpendapat, serbuk kolagen boleh menjadi pengganti whey atau serbuk protein kacang. Namun, tidak semua serbuk kolagen adalah sama.
Pakar juga menyarankan, cari peptida kolagen atau kolagen terhidrolisis untuk manfaat kesihatan yang lebih berkesan.
Jennifer turut mengambil suplemen kolagen yang menawarkan sumber protein, vitamin C dan asid hyaluronik yang sangat bagus untuk penuaan yang lebih sihat. Namun, suplemen ini sangat mahal.
Menurut pakar pemakanan di EatingWell, Victoria Seaver, seseorang itu tidak memerlukan suplemen kolagen yang mahal untuk mempunyai tulang yang kuat serta kulit, rambut dan kuku yang sihat.
Cara paling berkesan bagi meningkatkan kolagen ialah memberi tumpuan kepada makanan yang menyokong pengeluaran kolagen sihat iaitu makanan kaya asid amino prolin dan glisin, serta makanan tinggi vitamin. Contohnya daging, ikan, tenusu, kekacang, telur, gandum, serta buah-buahan sitrus.
Maka, jika anda mahu mengambil kolagen pada waktu pagi sebaiknya campurkan serbuk kolagen ke dalam smoothie atau kacau ke dalam segelas air agar lebih selamat.
Artikel yang ditulis oleh penyelidik di Texas A&M University, Brooke Russell, menyatakan kolagen tidak akan bertahan pada suhu yang lebih tinggi daripada suhu badan.
Manfaat kesihatan juga berkurangan atau tiada langsung jika kolagen dicampur dengan kopi panas.
Kredit Foto: Instagram Jennifer Aniston
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona