Cantik dan memukau! Itulah yang boleh diungkapkan dengan kejelitaan milik wanita yang diberi nama Khadija Omar ini. Memiliki keunikan dan kecantikan yang tersendiri sehingga wanita ini dinobatkan sebagai Miss World Somalia 2021.
Saat meraih gelaran tersebut membolehkan wanita yang berusia 20 tahun ini bertanding dalam pertandingan ratu cantik Miss World ke-70 yang sepatutnya berlangsung pada 16 Disember lalu. Namun, majlis gilang-gemilang itu tidak kesampaian apabila beberapa peserta telah disahkan positif COVID-19 termasuk wakil Malaysia sendiri iaitu Dr. Lavanya Sivaji.
Penangguhan pertandingan ratu cantik Miss World 2021 ini terpaksa dilakukan dan bakal dijadualkan semula pada 16 Mac depan. Walau bagaimanapun, lokasinya masih sama iaitu bakal dipancarkan dari Puerto Rico Coliseum Jose Miguel Agrelot.
Namun, daripada 97 wakil negara yang sepatutnya bertanding di pentas Miss World 2021, pihak organisasi telah menyenarai pendekkan peserta menjadi Top 40. Khadija Omar turut berjaya tersenarai dalam Top 40 dan menjadi pilihan juri. Tahniah!
Bagaimana agaknya hijabi pertama di pentas ratu cantik Miss World 2021 ini akan beraksi nanti agaknya. Wakil Malaysia juga turut tersenarai dalam Top 40. Tahniah! Dr Lavanya Sivaji. Semoga mampu beraksi dengan cemerlang di pentas Miss World 2021 kelak.
Khadija telah menzahirkan rasa gembiranya sejurus tersenarai sebagai Top 40 di laman media sosialnya. “Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa bangganya saya dengan pencapaian yang telah dilalui. Somalia telah mencipta banyak sejarah dan akan meneruskannya.
Menjadi Top 40 telah menunjukkan betapa kerja keras selama ini telah membuahkan hasil dan bagaimana impian menjadi kenyataan. Kepada semua orang yang menyokong saya melalui perjalanan ini, saya akan berterima kasih selama-lamanya.
Kepada negara dan pasukan saya, terima kasih kerana memberi saya peluang ini, saya akan melakukan yang terbaik untuk terus membuat anda bangga,” tulisnya di laman Instagram milik peribadinya.
Khadija Omar dibesarkan di kem pelarian di Nairobi, Kenya sebelum berpindah ke Kanada. Wanita cantik ini menjadikan model hijabi Halima Aden sebagai inspirasinya selama ini. Selain itu, Khadija juga bekerja sambil belajar. Masih menuntut di York Universiti Canada, wanita cantik ini juga merupakan jurusolek profesional serta seorang model.
Sumber: Emirates Woman