Membeli pakaian hamil semasa anda mengandung boleh menjadi pengalaman yang amat mengujakan dan dikenang sepanjang hayat. Untuk persiapan pakaian anda ketika hamil, ini panduan berpakaian dengan penuh keyakinan dan gaya semasa hamil. Bukan sahaja untuk raya, untuk pakaian harian pun boleh ikuti saranan membeli baju hamil. Untuk tiga bulan pertama kehamilan, kebanyakan pakaian yang anda miliki dalam almari masih boleh dipakai, kecuali pakaian yang terlalu ketat. Apabila anda mula memerlukan pakaian yang lebih besar saiznya, untuk lebih jimat anda disarankan membeli pakaian baharu apabila anda betul-betul memerlukannya.

Khusus Buat WANITA HAMIL, Ini 16 Panduan Beli Pakaian Untuk Anda!

Ads

1. Sebelum anda mahu membeli pakaian hamil, pastikan anda membuat sedikit kajian tentang butik-butik atau gedung-gedung pakaian yang menawarkan koleksi pakaian tersebut. Ini adalah untuk memudah dan menjimatkan masa anda ketika mahu membeli-belah nanti.

2. Apabila memilih untuk menggayakan pakaian ketika hamil, pastikan anda tidak memilih rekaan pakaian membosankan. Tidak perlu cuba sembunyikan perut anda yang semakin membesar dengan memakai pakaian seperti khemah atau sweater yang saiznya terlalu besar.

3. Elakkan daripada membeli pakaian hamil yang tidak selesa untuk dipakai seperti terlalu ketat, menyebabkan kulit gatal dan sebagainya.Pakaian hamil yang tidak sesuai mungkin akan memudaratkan kesihatan dan emosi anda.

4. Jika anda mempunyai suami yang potongan badannya besar daripada anda, pertimbangkan untuk meminjam kemeja kepunyaan mereka. Sememangnya kemeja lelaki (button-up shirt) cukup bergaya, selesa dan sesuai dipakai oleh ibu-ibu hamil.

5. Fabrik yang paling sesuai untuk rekaan pakaian ibu hamil ialah jersi kapas dan likra. Fabrik ini boleh meregang, sekali gus boleh dipakai sepanjang peringkat kehamilan anda.

6. Kadangkala semasa hamil saiz tapak kaki menjadi besar sedikit, oleh itu dapatkan kasut yang lebih selesa dan tidak bertumit tinggi. Paling penting anda tidak perlu untuk membongkok ketika mahu menyarungkannya. Pastikan kasut anda dapat meyokong berat badan yang semakin bertambah.

7. Elakkan kasut dengan tumit yang terlalu tinggi kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Keselesaan adalah kunci utama dalam pemilihan kasut yang anggun digayakan ketika anda hamil.

8. Pemilihan pakaian dalam yang betul juga penting dan perlu diambil kira ketika melalui peringkat-peringkat hamil. Sila dapatkan baju dalam dan seluar dalam yang paling selesa untuk dipakai.

Ads

9. Belilah pakaian yang mudah disuai padan. Dapatkan pakaian dalam rona hitam, perang, kelabu, khaki, putih, denim, rona neutral serta rona yang anda selalu pakai. Untuk kelainan, gabungkan pakaian anda bersama helaian bercorak atau berona terang.

10. Apabila memilih pakaian, cuba berikan tumpuan kepada bahagian tubuh badan yang menjadi kegemaran anda. Contohnya, jika anda mempunyai lengan yang cantik, mungkin anda boleh pilih baju (top) dengan potongan cap-sleeved, jika memiliki leher yang menarik pula, anda boleh pilih baju dengan tebuk leher yang menarik serta mampu memberi fokus pada leher dan wajah.

11. Konsep lapisan (layering) – baju (blaus, stretchy tank top, baju-T), seluar, skirt, kardigan dan blazer adalah kumpulan pakaian paling mudah untuk disuai padan. Konsep ini juga sesuai dan mudah bagi mereka yang mempunyai suhu badan yang kadangkala berubah-ubah.

Ads

12. Kemeja dan gaun potongan A atau empire cukup bergaya dan sentiasa menjadi pilihan kerana potongannya yang tidak melekat pada bahagian perut.

13. Dapatkan kemeja atau blaus ceria dengan perincian seperti ropol dan reka corak flora dalam warna-warna feminin. Pilih kemeja yang labuh daripada biasa pada bahagian hadapan supaya anda mendapat ruang yang cukup bagi menutup perut yang semakin membesar.

14. Anda bebas bereksperimentasi dengan skaf dan aksesori bagi menambah seri pada pakaian hamil anda. Skaf dalam warna dan reka corak yang ceria mampu menaikkan aura hebat pemakainya. Aksesori yang menarik juga boleh menjadikan penampilan yang biasa menjadi luar biasa.

15. Bagi ibu-ibu yang menyusu badan, belilah pakaian yang sememangnya direka khas untuk tujuan tersebut. Ia sopan, praktikal, selesa dan memudahkan anda apabila tiba masa menyusukan bayi anda.

16. Bagi wanita hamil profesional pula, tema keseluruhan pakaian yang perlu diaplikasikan ketika di tempat kerja adalah sopan, mempunyai kelas tersendiri, anggun dan sedikit konservatif.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI