‘KING COCO & Bekas Isteri Sama-Sama Baik, Mungkin Saya Yang KURANG HARGAI Pengorbanan Mereka Berdua!’ – KAPTEN AZRIN

Bermacam-macam spekulasi timbul sejak berita penceraian suami Instafamous King Coco iaitu Kapten Azrin dan isteri pertamanya, Nor Azura bertebaran di media sosial kebelakangan ini. Enggan melihat masyarakat terus menyalahkan kedua-dua wanita tersebut… Azrin Anas terbuka menjelaskan perkara sebenar dengan harapan agar pendedahan ini mampu membersihkan kembali nama mereka bertiga.

Azrin yang dihubungi pihak Nona pagi tadi nyata bersikap profesional menjawab setiap pertanyaan. Seakan sudah menjangka soalan yang bakal diajukan, bapa kepada empat orang anak ini dalam nada tenang berkata, “Saya mengesahkan yang kami berdua sudah pun bercerai pada awal bulan Oktober 2018 lepas.

Untuk pengetahuan, saya tidak pernah berniat untuk menceraikan bekas isteri saya, Nor Azura Usman. Kami berbincang dengan keluarga dan ibu saya, akhirnya saya bersetuju untuk Nor Azura memfailkan kes penceraian ini. Mungkin disebabkan kekhilafan saya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami.

Kami berpisah dengan cara baik dan sehingga kini kami masih berkomunikasi demi anak-anak. Saya akui mungkin sampai di sini sahaja jodoh kami berdua. Saya dan bekas isteri kini berkawan seperti biasa. Harap dengan penjelasan ini dapat menutup segala teka-teki.”

Terang Azrin lagi, dia merasakan segala insiden yang berlaku hari ini berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri dan bukan dari bekas isteri mahupun King Coco. “Coco dan bekas isteri sama-sama baik. Mungkin saya yang kurang menghargai pengorbanan mereka berdua sebagai seorang isteri dan bekas isteri.

Tentang status IG Coco ‘I don’t compete, I conquered!’ yang digembar-gemburkan ada kaitan dengan penceraian saya dan isteri pertama… saya rasa mungkin itu pembakar semangat bagi dia dalam bisnes dan kehidupan seharian. Boleh tanya Coco sendiri untuk penjelasan lanjut.”

Menyedari setiap gerak-gerinya dan isteri, King Coco menjadi perhatian masyarakat… Azrin turut menitipkan pesan berikut sebagai peringatan buat isteri dan diri sendiri. “Nasihat saya agar dia lebih rasional dalam menghadapi segala cemuhan, permasalahan yang mendatang dan sentiasa peka dengan isu-isu yang mengganggu sensitiviti masyarakat terutamanya dalam sosial media.

Saya sendiri pun terkesan dengan kritikan dan akan berusaha untuk memperbaiki diri saya sendiri. Saya mohon ampun maaf kepada semua sekiranya isu ini ada menyakiti hati sesiapa.”

Sementara itu, Nona turut mendapatkan reaksi King Coco mengenai isu penceraian tersebut. Ketika dihubungi, pemilik nama Mashaira Ismail ini sama sekali tidak menyangka ia sedang hangat diperkatakan di media sosial. Menegaskan status ‘I don’t compete, I conquered!’ di laman Instagram miliknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan situasi yang terjadi sekarang, ini jawapan King Coco.

“Dah lama tak silap saya tulis pasal tu. Takda kena mengena dengan hidup atau yang mati. Itu hanya pembakar semangat saya ketika saya work out. Seperti yang followers saya tahu yang saya ni kuat gym sikit.

Jadi saya perlukan quotes selari dengan kononnya title king yang saya letak di Instagram untuk saya terus fokus dan sentiasa aim mission. Setiap bulan mission saya berbeza, perbaiki bentuk badan dan perbaiki diri. Jadi sebab itulah saya tulis ‘I don’t compete, I conquered!’

Biasalah netizen, apa yang kita nampak tak semestinya betul. Tentang penceraian kapten, no

komen. Mereka lebih tahu tentang perhubungan mereka. Saya tiada hak untuk masuk campur. Walau rata-rata masih beranggapan sayalah punca tapi biarlah Yang Di Atas tahu. Memang prinsip saya lebih suka berdiam diri daripada menegakkan sesuatu perkara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.”

Baik Kapten Azrin mahupun King Coco, kedua-duanya sudah menjelaskan situasi sebenar. Moga dengan pendedahan ini tiada lagi kata-kata negatif dilemparkan kepada mereka. Sesungguhnya poligami bukan hal yang mudah sekiranya tidak disertai dengan persetujuan, persefahaman dan sikap adil.

Usah jadikan penceraian sebagai jalan singkat untuk menyelesaikan masalah. Namun jika tiada lagi persefahaman di antara satu sama lain dan itu adalah takdir Allah, siapa kita untuk menolaknya.

 

Kredit foto: Instagram Captazrin & King Coco

 

 

 

Share
Published by
Suzi