Kini Bergelar Isteri DATIN INDERA DR. SHARIFAH NUR ‘INSYIRAH Terus Ukir Sukses, Aktif & Makin ‘Slim’

Bergelar doktor muda, mungkin sesuatu yang diimpikan gadis-gadis sewaktu usianya dulu. Namun yang pasti tidak semua mampu mengecap cita-cita tersebut. Lantas, Sharifah Nur’ Insyirah Binti Saifuddin Shah ataupun mesra dipanggil Affa yang juga merupakan anak tunggal dalam keluarga sudah membuktikan tiada apa yang mustahil.

“Dari kecil saya mengimpikan untuk menjadi seorang doktor, dan alhamdulillah berkat kesabaran belajar dalam Ijazah perubatan selama 6 tahun, serta menjadi doktor pelatih selama 2 tahun di Sabah, dan pastinya diiringi doa ibu bapa dan orang tersayang saya berjaya juga bergelar Doktor. Saya pernah membesar dan menetap di United Kingdom serta bersekolah di Amerika Syarikat,sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Rusia”, ujar Dr. Affa membuka bicara.

Melihat pada perwatakan dan personalitinya yang ‘charming’, lemah lembut dan jelita, mempuyai ketinggian 171 cm, berdarah kacukan Pakistan, Arab dan India di sebelah bapa manakala Melayu, Cina, Belanda di sebelah ibu, Dr Affa juga pernah berkhidmat menjadi seorang pembaca berita, dan juga berlakon sebelum berpindah ke Sabah dan berkhidmat di KKM sebagai pegawai perubatan.

Jika awal dahulu, Dr. Affa ligat dan aktif dalam memperaga, muncul di kaca tv mahupun lensa kamera bagi mengisi masa lapang & menambah pengalaman, sudah tentu kini masanya terhad apatah lagi kini sudah bergelar isteri.

Sudah semestinya menambah rasa dalam kehidupannya kini apatah lagi kedua-duanya memiliki karier yang mengagumkan, yang dilihat jauh berbeza. Jadi bagaimana Dr. Affa menjalani kehidupan berumahtangga pada hari ini?

“Menjadi isteri kepada wakil rakyat bukan suatu perkara yang mudah dek jadualnya yang padat. Saya juga perlu sedar suami bukan ‘milik’ saya seorang tetapi masyarakat. Saya dan suami memiliki dua profesion yang berbeza tapi manisnya kami berkhidmat untuk masyarakat dan rakyat. Kami saling memberi sokongan dan professional dalam tugas masing-masing”.

Apa sikap dan keperibadian suami yang tidak semua tahu? Usik penulis. “Suami saya suka memasak. Kalau travel dialah yang akan masak dan saya pula akan mengemas. Suami pandai masak ayam masak merah dan gulai ikan. Dia juga suka membaca dan kalau masuk kedai buku memang lama, ada masa sampai 3 jam! Buku dan majalah yang selalu beliau baca adalah berkaitan teknologi, finance

, economy, fesyen baju, senibina dan baru-baru ini saya tengok dia baca buku pasal serangga”

Bagaimana pula Dr Affa dan suami membahagikan masa antara kerjaya, peribadi dan keluarga. “Saya dan suami akan buat jadual dua bulan sekali, jadi kami berdua akan ‘aware’ dengan aktiviti masing-masing serta berapa banyak masa perlu luangkan untuk aktiviti bersama keluarga. Kami akan cuba selitkan walaupun 20 minit masa bersama untuk berbual, tanya mengenai hari masing2, berkongsi pendapat dan pandangan serta membaca buku bersama

Mengubah tona bicara, baru-baru ini juga Dr. Affa berkongsikan kisah bagaimana mendapatkan tubuh idaman apatah lagi Dr Affa ada berkongsikan transformasi diri dari saiz dahulu hingga kini. Jadi, apakah motivasi Dr. Affa untuk berbuat demikian dan kenapa? Sebab dah bersuamikan ahli politik kah? Gurau penulis.

“Saya memang seorang yang gemar melakukan aktiviti sukan, berlari 5 km setiap hari dan hiking di masa lapang. Sebagai seorang doktor kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada pesakit dan orang ramai. Motivasi saya ialah untuk kekal sihat dan menjadikan ia satu gaya hidup dan bukan satu beban paksaan.”

Jelas Dr. Affa lagi, “Ia lebih kepada disiplin diri kerana bukan mudah untuk bangun 6 pagi setiap hari untuk lari 5 km. Awal dahulu mungkin agak mencabar tapi lama kelamaan kita akan rasa bersemangat, badan rasa ringan dan kekal bertenaga sepanjang hari. Seminggu sekali saya akan melakukan aktiviti seperti zumba, pound fitness dan berbasikal. Dari sudut rutin diet pula saya amalkan meminum air 3 liter sehari, saya juga pengemar teh hijau, lavender

dan ginger tea juga (tanpa gula).

Selain itu, saya lihat kadar sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis dalam kalangan rakyat Malaysia makin meningkat, walaupun pada usia muda. Jadi ini memberikan saya semangat untuk kekal sihat di samping mempengaruhi orang ramai untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat”, ujar Dr Affa mengakhiri temubual bersama NONA.

Kredit foto: Instagram (@insyirahsyerry)

 

Share
Published by
Wan Firdaus