Rezeki penyanyi bersuara emas ini terus mencurah-curah. Selepas Yuna, Layla Sania dan Iman Troye kini giliran DS Siti Nurhaliza pula menjadi penyanyi berhijab Malaysia menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
DS Siti Nurhaliza telah melakar sejarah tersendiri dan menzahirkan rasa syukurnya melalui perkongsiannya di laman media sosial milik peribadinya.
“Bersyukur saya dapat berita hari ini kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat,” tulis penyanyi lagu Cindai ini.
Kini giliran DS Siti Nurhaliza mewarnai papan iklan tersohor di seluruh dunia pula. “Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan ini adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.
EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.
Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara. Saya merupakan salah seorang wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura,” tulis wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.
Sebelum ini penyanyi yang selayaknya diangkat sebagai lambang ikon wanita Malaysia ini telah mencipta sejarah yang tersendiri apabila namanya tersenarai dalam kelompok 100 artis utama paling banyak memenangi Anugerah sepanjang zaman.
Pengiktirafan Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini tular menerusi akaun Twitter sumber utama perkembangan pemuzik antarabangsa iaitu The Artist Museum.
Wanita yang berusia 43 tahun ini telah menduduki tangga ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang diterima sepanjang berkecimpung dalam industri seni mengalahkan barisan penyanyi terkenal antaranya Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Celine Dion, Selena Gomez, Bruno Mars, Alicia Keys, Christina Aguilera dan kumpulan K-pop terkenal Super Junior serta TWICE.
ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ini turut pernah meraih 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, 25 anugerah di Anugerah Bintang Popular, 28 anugerah di Anugerah Planet Muzik, 20 anugerah di Anugerah Juara Lagu, empat di Anugerah MTV Asia, tiga di World Music Awards dan dua di Anugerah Musik Indonesia.
Tahniah! Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang lebih dua dekad memperjuangkan nasib sebagai anak seni. Nyata percaturan Dato’ Sri Siti Nurhaliza tidak pernah tersasar.
This website uses cookies.