Hiburan

Dari Selebriti Ke Usahawan Sambal NUBHAN Mahu Buka Lebih Banyak Peluang Kerjaya Kepada Orang-Orang Kampung

Semakin berisi semakin menunduk. Itu kata-kata motivasi yang sentiasa menjadi pegangan selebriti dan usahawan terkenal Nubhan.

Pemilik nama penuh, Ahmad Nubhan Ahamad kini dilihat semakin ligat mengatur langkahnya sebagai seorang usahawan selebriti.

Selepas berjaya mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan wajah, Nubhan mencabar diri dengan menceburi perniagaan makanan pula bersama ibu tercintanya Badariah Omar atau terkenal dengan panggilan Mak Jenny.

Ternyata usaha itu tidak sia-sia apabila perniagaan makanannya itu mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

Sehinggakan kisah keuntungan lima juta hasil jualan sambal Omak Jenny tular di media sosial serta menjadi bualan ramai hingga kini.

Memetik kata-kata penerima Nona Men’s Celebrity Business Award ini: –

“Dari buat suka-suka tak sangka sekarang jadi usahawan sambal. Rezeki tak salah alamat. Semua dengan izin-Nya.”

“Segalanya bermula apabila saya secara tak sengaja merakam video Mak Jenny dalam content yang biasa saya keluarkan di Youtube dan Facebook.

“Tak sangka respon terhadap karakter ibu saya sangat disukai penonton. Mereka sentiasa request nak lagi Mak Jenny.”

Bergelar seorang selebriti, usahawan dan pada masa sama menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa bukan mudah bagi Nubhan.

“Perkara paling sukar dan struggle sebagai seorang ketua keluarga mahupun ketua sesebuah organisasi ialah membina persefahaman.

“Dalam perjalanan menuju kejayaan, sokongan dan kepercayaan yang kuat daripada insan-insan tersayang amat penting,” jelas Nubhan yang turut membuka sebuah klinik pergigian khas buat isteri tercinta Dr Afifah Tawfek yang merupakan seorang doktor gigi bertauliah.

‘ROLE MODEL’ KEPADA ANAK-ANAK
Sebagai ketua keluarga, turut meletakkan dirinya sebagai role model kepada anak-anak dengan mempamerkan sikap yang baik dan terpuji.

“Pertama, saya tekankan tentang akhlak. Keduanya ialah ilmu. Doa saya semoga mereka berjaya kelak, semakin berisi semakin menunduk,” luah bapa kepada tiga anak ini.

Bagi Nubhan, gelaran superhero wajar diberikan kepada individu yang disegani dan dihormati serta yang memberi inspirasi kepada orang lain.

“Superhero haruslah seorang yang bertanggungjawab, pemimpin dan ketua yang baik. Orang-orang yang ada bersamanya turut mendapat kebaikan sama rata,” kongsi Nubhan yang menyifatkan superhero sebagai insan hebat yang terpilih.

IMPIAN
“Saya ingin melihat anak-anak membesar di hadapan mata seterusnya menjadi insan berguna, bertanggungjawab serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” tutur Nubhan.

Nubhan turut berkongsi impiannya terhdap perniagaan Omak Jenny yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi seluruh Malaysia.

“Saya juga ingin membawa produk Omak Jenny ke pasaran antarabangsa. Untuk pasaran tempatan, saya berharap agar produk ini menjadi salah satu top product di Malaysia untuk kategori ready to eat.

“Semestinya ia menjadi legasi untuk masa depan anak-asnak dan keluarga saya. Inilah salah satu usaha yang saya buat demi mereka.

“Impian saya seterusnya ialah ingin membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung. Tanpa mereka, perniagaan ini tak akan sampai ke tahap sekarang,” akhiri Nubhan.

Penulis & Penyelaras: AMY MOHD
Penata Gaya: KIFFY RAZAK
Konsep: AZNIZA AZIZ
Foto: FADHIL KAMARUDDIN (THE LOFT STUDIO ASIA)
Solekan: CHE WAN

Share
Published by
Amy Mohd