Kiriman Surat Terakhir ‘Anak Syurga’ Yang Meruntun Perasaan!

Perkhabaran yang didengari awal pagi tadi mengenai insiden kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat begitu menjentik perasaan. Hanya doa mampu dititipkan tatkala melihat video yang memaparkan api marak di tingkat atas bangunan tahfiz ini. Kebanyakan news feed di media sosial hari ini juga dibanjiri dengan ucapan takziah dan rasa simpati netizen terhadap keluarga mangsa terlibat.

Salah satu momen yang menangkap perhatian Nona pagi ini adalah sepucuk surat yang dikirimkan pelajar tahfiz, Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11 tahun kepada ibunya Norhayati Khalid semalam. Difahamkan Amiel antara lebih 20 penghuni pusat tahfiz yang disahkan terkorban. Melalui perincian surat tersebut, Amiel sempat meluahkan kemaafan dan kasih sayang terhadap ibu dan bapanya. Seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba.

Penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah

‘Ibu dan ayah Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.

Amiel tak tahu macam nak balas jasa budi ayah dan ibu hanya ini saja yang Amiel mampu masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk ke syurga Firdaus.’

Menurut ibu berusia 42 tahun itu, surat tersebut diberikan Amiel semalam ketika dia datang melawat ke pusat tahfiz sambil membawa makanan kegemarannya, Nasi Goreng Pattaya. Sebaik mendapat panggilan mengenai kebakaran pada pukul 6 pagi tadi, Norhayati bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan pihak Bomba seramai 13 orang pelajar ditemui maut di bahagian kanan bangunan, 8 lagi di bahagian kiri dan seorang mangsa terkorban di hadapan tangga di tingkat dua. Bangunan tahfiz ini juga difahamkan hanya ada satu jalan keluar dan jeriji tingkap tidak boleh dibuka dari dalam. Punca kebakaran disebabkan litar pintas.

Penghuni yang terselamat turut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Takziah dan doa mengiringi pemergian semua mangsa yang terkorban. Moga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Harian Metro & Astro Awani

Share
Published by
Suzi