Kisah Dari Mahkamah Syariah, Ustaz Amirul Akmal Pernah Hadap Suami Jenis Suka ‘Ceraikan’ Isteri

Terlalu banyak ragam, kejahilan dan asam garam rumah tangga yang dilaporkan di Mahkamah Syariah. Kes aduan perkahwinan terpalit pada sesiapa saja. Boleh jadi seorang ustaz, wanita berijazah atau pengawal keselamatan, golongan B40, M40 mahupun T20.

Salah satu kisah yang dialami oleh peguam syarie, Ustaz Muhammad Amirul Akmal ini menjadi antara kes perceraian yang cukup membimbangkan. Gara-gara sikap baran dan perangai buta hukum, lafaz cerai amat ‘ringan di mulut’. Akibatnya isteri dan anak-anak menjadi mangsa.

Ini cerita beliau kepada Nona.

Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu. Hadir seorang wanita di hadapan kaunter mahkamah dalam keadaan menangis teresak-esak. Kemudian muncul suaminya selepas itu, saya cuba menenangkan beliau dan bertanyakan mengapa beliau datang dalam keadaan sedemikian.

Beliau menceritakan bahawa suaminya sudah melafazkan talak kali keempat tanpa kebenaran mahkamah. Saya tanya lagi, tiga kali lafaz tu ada perintah mahkamah ke? Beliau jawab, tiada.

“Selama ni suami lafaz talak kepada saya, dia cakap kalau talak tu dalam keadaan marah tak jatuh, tapi sebab ini kali keempat dia lafazkan jadi hati saya rasa serba tak kena, tak sedap hati dan serba salah.

Saya pun terus bertanya, bila lafaz kali pertama itu berlaku? Jawabnya sudah 10 tahun yang lalu. “Kali kedua masa saya sedang mengandung anak kedua dan kali ketiga sekitar 2-3 tahun yang lalu.”

Pasangan ni dah bernikah hampir 20 tahun. Selepas lafazkan cerai, si suami minta maaf dan mengatakan bahawa dalam keadaan marah talak tu tak jatuh.

Saya pun terkedu mendengar cerita tersebut. Apa sudah jadi dengan masyarakat hari ini? Perihal talak dipermain-mainkan seolah tiada apa-apa, dengan tanpa rasa serba salah mahupun takut dengan azab Allah. Sikap acuh tak acuh tentang hukum-hakam agama menjadikan masyarakat dan institusi keluarga itu sendiri rosak.

SUAMI NAIK MINYAK

Suaminya mencelah selepas itu mengatakan, “Saya lafaz tu dalam keadaan marah, memang hukum cakap tak jatuh, mana ada jatuh talak!”

Kemudian dia memarahi isterinya kerana datang ke mahkamah untuk mengadukan perihal ini. Si suami tiba-tiba minta saya sahkan lafaz talak tu tak jatuh sebab dia lafaz dalam keadaan marah.

Saya pun jawab, “Encik, penentuan jatuh atau tidak lafaz talak itu hanya Yang Arif Hakim je layak tentukan selepas mendengar keterangan encik dalam perbicaraan. Bukan saya yang layak untuk tentukan. Wujudnya prosedur pengesahan lafaz cerai ini bertindak untuk mengesahkan dan merekodkan jumlah talak yang berbaki jika sabit talak tersebut oleh mahkamah.

Isu ini bukan terangkum dalam perihal bilangan talak sahaja, kesahtarafan anak encik juga menjadi persoalan jika lafaz sebelum ini sabit dan encik membuat persetubuhan selepas talak dilafazkan tanpa merujuk semula isteri encik dengan cara yang diperuntukkan undang-undang.

Selain itu, perihal ini akan berkait dengan hak isteri encik dan hak anak-anak encik yang lahir selepas encik melafazkan talak tersebut. Jangan buat main-main dengan perkara ini. Encik tak kesian ke dengan isteri dan anak encik? Encik sanggup ke isteri encik tak dapat hak harta faraid kerana sikap encik ni?

Encik juga kena faham wujudnya undang-undang untuk mengawal tingkah laku masyarakat. Bukan suka-suka sahaja undang-undang dan prosedur ini diadakan. Kerana dalam kaedah fiqh telah dinyatakan suatu kaedah iaitu ‘keputusan hakim itu mengangkat khilaf’.

Walaupun encik ada ijazah syariah dan berpengetahuan agama sekalipun, kita ada prinsip takhsis al-qada dalam Nizam Al-Qada di mana hakim itu berkuasa bagi mendengar segala pertikaian penduduk setempat apabila mereka dilantik pemerintah.

Setiap tingkah laku encik ada kesannya, sama ada dari segi hukum mahupun undang-undang, encik tak boleh suka-suka datang dekat depan kaunter dan suruh saya sahkan lafaz encik tak jatuh,” terang saya sambil tersenyum.

Tidak semena-mena dia bangun dari kerusi nak tumbuk saya, sedangkan saya dalam nada yang lembut dan secara berhemah menegur tingkah laku tersebut. Dia berlalu pergi begitu sahaja sebab merasakan dirinya betul dan mahkamah salah. Isterinya pula memohon maaf kepada saya. Dan berlalu pergi dengan kesedihan dan resah gelisah terpancar di wajah.

BUAT PENGESAHAN

Pesan saya kepada wanita di luar sana, apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah sama ada melalui lafaz jelas atau lafaz kiasan, sama ada secara lisan mahupun bertulis melalui aplikasi media sosial yang ada, saya mohon anda pergilah ke mahkamah untuk buat pengesahan agar anda tidak hidup dalam keadaan syubhah dan tidak tahu status anda, dan lebih parah status anak anda sama ada sah taraf atau tidak dek kerana perlakuan suami yang mabuk talak.

Kepada suami dan lelaki lelaki budiman di luar sana, pesan saya bertanggungjawablah dengan tindakan anda, kalau dulu mula-mula nak bernikah boleh pula ikut prosedur kalau nak bercerai ikut lah prosedur, jangan pula nak cakap ini bukan syariah yang sebenar dan buat ikut kepala sendiri sesuka hati anda.

Enakmen atau Akta undang-undang di Mahkamah Syariah hari ini adalah hukum syarak yang dikanunkan menjadi undang-undang. Amatlah kurang bijak menyatakan undang-undang itu ciptaan manusia semata-mata nak melempiaskan nafsu gila talaq anda. Ingat setiap tindakan itu ada kesan untuk jangka masa yang panjang. Jangan disebabkan kejahilan diri sendiri orang lain menjadi mangsa rakus nafsu anda.

Share
Published by
Norzalina