Kolaborasi Dengan Datuk Rosyam Nor, DATIN ADZLIANA Komited Perkasa Usahawan Era Digital & Lancar Usanita Mall!

Syabas dan tahniah Datin Adzliana! Selepas kejayaan program realiti Pencarian Nona Superwoman di Astro Prima, Datin Adzliana nampaknya makin sibuk memperkasa para usahawan menerusi pelbagai platform. Terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd ini melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya melancarkan sebuah laman beli-belah e-dagang Usanita Mall dan U-Niaga.

Ditemui ketika majlis pelancaran Usanita Mall dan U-Niaga di World Trade Centre baru-baru ini, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan berkata fokus mereka kali ini bukan hanya melibatkan peniaga perusahaan kecil sederhana (PKS), B40 dan M40. Malah turut mengambil kira penglibatan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih menarik, Usanita melalui kempen penjenamaan dan pendigitalan yang diadakan pada awal tahun turut mendapat kerjasama daripada selebriti yang juga usahawan berjaya, Datuk Rosyam Nor. Seterusnya meluaskan jajahan digital dengan melancarkan Usanita Mall.

Usanita Mall menjadi salah satu cabang bantuan untuk mengembangkan perniagaan para usahawan terlibat secara digital. Di samping dibuka secara percuma kepada semua peniaga yang ingin membuka akaun di Usanita Mall.

“Kehadiran Usanita Mall bukan tujuan untuk bersaing dengan market place sedia ada namun ia lebih kepada membuka ruang kepada usahawan berdagang dan promosi produk kepada umum.

Lebih banyak ruang untuk berniaga, bermakna lebih besar peluang untuk mereka mendapatkan jualan serta menjana pendapatan yang akhirnya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujar Datin Adzliana.

Majlis pelancaran dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Sementara itu, Usanita turut menganjur program Bootcamp Perintis Usanita yang mendapat penyertaan 50 usahawan terpilih selepas melakukan saringan lebih tiga bulan lalu.

Menerusi program ini, Datuk Rosyam Nor dilantik selaku duta Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan.

“Lebih 1000 penyertaan diterima sejak Mac lalu yang menyaksikan kepelbagaian industri dan produk usahawan cuba mempertaruh nasib dalam program yang julung kali dianjurkan ini.

Saya akui agak sukar untuk memilih mereka yang layak dan terbaik bagi program mega Usanita ini kerana banyak perlu kami ambil kira terutama kesesuaian produk untuk digandingkan dengan jenama Datuk Rosyam.”

Moga Datin Adzliana terus sukses mengemudi Usanita sebagai pemudahcara dalam bidang keusahawanan yang menghubungkan peniaga dengan pihak kementerian berkaitan.

Share
Published by
Suzi