Koleksi Cheetah Begitu Sentimental, Dato’ Jovian Mandagie Imbau Momen 28 Tahun Lalu

Rupanya Dato’ Jovian Mandagie ada kisah yang tersendiri dengan pakaian sukan ketika di bangku sekolah. Koleksi Cheetah merupakan pakaian berjenama yang dipakainya untuk kelas Pendidikan Jasmani (PJ).

“Koleksi pertama Cheetah saya sangat sentimental. Ia mengimbau kembali kenangan 28 tahun yang lalu, di mana ibu saya telah membelikan pakaian Cheetah saya yang pertama untuk kelas Pendidikan Jasmani (PJ).

Saya berasa sangat seronok memakai pakaian berjenama buat kali pertama dan saya masih ingat lagi saya berasa sangat bangga memakai Cheetah pada ketika itu,” dedah Dato’ Jovian Mandagie.

Mengambil inspirasi zaman kanak-kanaknya memakai pakaian Cheetah untuk aktiviti sekolah, Dato’ Jovian telah mempersembahkan koleksi Cheetah Musim Panas dan Bunga 2022 (Summer/ Spring 2022).

Berlokasi di MITEC, Kuala Lumpur sebuah pertunjukan fesyen telah diadakan oleh Cheetah Malaysia bagi memperkenalkan koleksi terbaharu berinspirasikan sukan tenis ini.

Pertunjukan fesyen ini mengetengahkan gaya-gaya terpilih dari tahun 90-an dan merupakan pertunjukan fesyen yang pertama oleh Dato’ Jovian Mandagie sebagai Pengarah Kreatif, Cheetah Malaysia.

Fesyen 90-an menyaksikan kemunculan daripada era ‘glamazon’ yang menampilkan ciri-ciri sederhana dan jenama pakaian mampu milik yang menjadi ikutan ramai golongan, terutamanya anak-anak muda.

Koleksi ini menandakan permulaan baharu dalam arah reka bentuk jenama ini dalam usaha syarikat ini memperbaharui koleksi pakaian yang berkonsepkan lebih ‘segar’, sesuai dengan trend fast fashion terkini.

Ini juga merupakan pertunjukan fesyen Cheetah yang pertama sejak tahun 1989 dan dijangka menjadi salah satu pertunjukan fesyen terbesar di Malaysia.

Seramai 70 orang model di pentas peragaan dengan menampilkan ciri-ciri berinspirasikan daripada gaya dan suasana dari Kejohanan Wimbledon.

“Peluang yang diberikan untuk mereka cipta seluruh koleksi pakaian ini bersama Cheetah merupakan satu penghormatan buat saya.

Kami bekerja keras dalam menghasilkan koleksi ini demi memastikan ia mencapai tahap kesempurnaan yang disasarkan, terutamanya buat golongan ‘millennial’.

Melalui koleksi ini juga, kami ingin meningkatkan semangat ‘menyokong jenama tempatan’ supaya lebih ramai orang menyedari bahawa kita sebenarnya mempunyai banyak jenama yang hebat di negara ini untuk dibanggakan,” kata Dato’ Jovian Mandagie lagi.

Pada masa yang akan datang, Cheetah dan Dato’ Jovian Mandagie akan terus bekerjasama untuk menyediakan koleksi baharu, serta mempertingkatkan kualiti barangan Cheetah agar lebih relevan dan lebih selaras dengan keperluan pengguna muda, yang mewakili pasaran sasaran utama.

Baca juga; New Zealand Buka Sempadan Awal, Ini 20 Lokasi Wajib Singgah Dari Ratu Cantik NZ 

Share
Published by
Hamizatul Maizan