Khusus buat penggemar jenama dUCk , ini merupakan peluang anda menambahkan koleksi kegemaran anda bukan sahaja dalam bentuk fesyen, malah kini ia bakal menjadi kegilaan dengan kolaborasi bersama Starbucks!
Bermula 27 September 2022 sehingga stok masih ada, dUCk dengan kerjasama Starbucks Malaysia telah hadir dengan koleksi fesyen baharu edisi terhad kepada umum yang dikenali sebagai dUCk + Starbucks Blooming Collection.
“Selepas rumah dan pejabat, Starbucks adalah rumah ketiga saya! Jenama Starbucks telah banyak memberi inspirasi kepada saya dan kolaborasi ini sememangnya amat bermakna buat The dUCk Group,” ujar Datin Vivy Yusof, usahawan dan pengasas bersama The dUCk Group.
Membawakan item-item harian yang dekat dengan pelanggan seperti selendang, beg tote, bekas air dan juga termos, koleksi kerjasama antara dua jenama ini hadir dengan tema warna ungu yang merupakan warna ikonik untuk The dUCk Group.
Manakala dari segi rekaan pula, ia menampilkan ilustrasi yang menggabungkan beberapa jenis bunga seperti bunga raya, orkid, ros dan banyak lagi.
Selain daripada koleksi fesyen, kolaborasi dUCk + Starbucks turut memperkenalkan kad edisi terhad dengan nilai pengaktifan kad minimum RM100 bagi setiap satu kad. Manakala setiap produk yang ditawarkan bermula dari RM95 ke atas. Jadi, jangan lepas peluang memiliki koleksi terhad ini!
Tangkis Aura Negatif Di Pejabat, Praktikkan 5 Tip Ini Terhadap RAKAN SEKERJA Yang Cemburu!
Banyak perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu akal fikiran ketika di pejabat, tetapi yang paling kerap dan agak merunsingkan adalah ‘sifat cemburu’ rakan sejawatan. Golongan profesional tidak terkecuali mengalami perasaan cemburu ini. Cemburu boleh jadi sekali-sekali atau sepanjang masa. Tahu kah anda bagaimana rasanya jika ketua anda memuji-muji rakan sejawatan anda kerana kualiti kerjanya atau ketika hanya namanya sahaja yang disebut-sebut untuk kenaikan pangkat?
Perasaan ini sebenarnya mendatangkan lebih banyak masalah. Jika anda menjadi punca rakan-rakan merasa cemburu, hal ini disebabkan oleh kemampuan dan kredibiliti anda yang ditakuti oleh rakan lain. Jadi apa harus dilakukan jika rakan sekerja ingin menjatuhkan anda kerana sifat cemburu sedangkan anda mahu menapak dan terus berjaya dalam kerjaya anda? Lima tip ini membantu anda menepis sifat teman-teman terhadap cemburu ini.
1. Jadi rakan sepasukan yang baik
Anda bekerja tekun untuk mendapatkan kedudukan yang stabil di dalam sesebuah organisasi, melakukan tugasan khas dengan baik dan menerima pujian dari ketua, yang membuat anda terlupa menumpukan perhatian pada persekitaran tempat kerja. Walaupun anda cuba untuk tidak menghiraukan orang sekeliling anda atau rakan sepasukan, atau cuba mengetepikan pujian ketua terhadap anda, anda tetap terdedah dengan risiko dikritik rakan sekerja. Anda boleh sahaja, cuba mengelak perkara ini seperti, gunakan lebih perkataan ‘kami’ ketika mengutarakan pendapat berbanding ‘saya’, dan cuba dapatkan bantuan daripada rakan sekerja jika anda mengendalikan projek penting. Sekalipun prestasi anda ibarat bintang yang menyinar, sebarkan pujian itu kepada rakan di dalam pasukan anda dan puji mereka sebanyak sebagaimana anda menerimanya. Ini tidak bermakna anda harus menutup atau merasa malu dengan hasil kerja baik yang anda lakukan, tetapi menjadi lebih ‘sensitif’ kepada rakan sekeliling, mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa untuk orang lain.
2. Dapatkan bantuan.
Tiada peraturan mengatakan anda perlu bergerak secara solo ketika berjuang di tempat kerja. Jika anda kurang senang terhadap tindakan rakan sekerja yang mencemburui anda, mengadu hal ini kepada ketua anda. Jika anda tidak inginkan rakan sekerja anda bertindak melampaui batasan, anda harus mendahuluinya dengan melaporkan kepada ketua agar dia faham situasi anda. Hakikatnya, rakan sekerja anda merasai begitu akibat tindakan ketua anda sendiri. Contohnya, kemungkinan rakan sekerja anda cemburu kerana peluang kenaikan pangkat untuknya terlepas dan tiada jalan untuknya maju ke hadapan. Tetapi ini tiada kena mengena dengan diri anda, jadi lebih mudah baginya untuk melepaskan tekanan perasaannya terhadap anda, berbanding ketua anda. Jika ketua anda memahami isu ini, kedua mereka harus memahami puncanya. Namun pastikan, anda menguasai perbualan dengan ketua anda secara profesional dan berhati-hati. Cara ini tidak membantu sekiranya, anda akhirnya didapati cuba mengkhianati rakan sekerja anda.
3. Jauhi perangkap gosip.
Rakan sekerja yang cemburu gemar bergosip dan menyebarkan cakap-cakap kosong kepada rakan-rakan mereka terhadap anda, yang dianggap cuba menyekat pintu rezeki mereka. Apa pun yang anda lakukan, cuba jauhi gosip negatif yang lebih banyak buruk dari baik ini. Jika anda dengar gosip terhadap anda atau orang lain, jauhkan diri anda. Jika anda terlibat, rakan-rakan lain akan menyedari anda adalah gunting dalam lipatan, dan mereka beranggapan khabar angin juga boleh datang dari orang ‘harapan’ di dalam syarikat.
4. Dokumenkan pemerhatian anda, jika keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kepada karier anda.
Sebahagian rakan sekerja yang cemburu, sanggup bermain taktik kotor dan cuba mensabotaj karier rakan-rakan sekerja yang berjaya. Jika anda terperangkap dalam situasi ini, anda harus berjaga-jaga dan mula jaga kepentingan diri anda. Catat maklumat terperinci jika perkara yang bukan-bukan mula tersebar terhadap diri anda dan pastikan anda bukti yang kukuh untuk membuktikan khabar angin negatif terhadap kebolehan anda. Semoga ketua anda mampu menilai khabar angin yang didengar sama ada betul atau tidak.
5. Kekalkan tahap profesional anda.
Cemburu di tempat kerja boleh jadi sesuatu yang menyakitkan, tetapi apa yang anda harus lakukan adalah kekalkan tahap profesional anda dan buat kerja yang diberikan sebaik mungkin. Jangan ambil pusing sangat kritikan yang didengar terhadap diri anda dan jangan mengambil kesempatan ini untuk menyerang balik mereka yang cemburu terhadap anda. Mereka mencemburui kebolehan dan kejayaan anda, jadi ianya positif. Cuma anda harus membuktikan pada mereka anda sebenarnya memang berkebolehan. Hanya itulah sahaja caranya untuk menang di tempat kerja.
DATIN SERI UMIE AIDA Tak Boleh Bernafas, Nasib Baik Ada ‘Encik Suami’ Dukung Ke Hospital
Jarang nak tengok Datin Seri Umie Aida bercerita tentang perihal peribadi atau kisah rumah tangga, apa entah lagi untuk memuat naik gambar bersama-sama suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Namun, bila dah sekali upload tentang suaminya itu, romantik sangat!
Mungkin selama ini, pelakon utama filem Dukun itu mengambil pendekatan kebahagiaan sebenar tidak perlu ditunjuk atau dipamerkan terutamanya di media sosial. Cukup sekadar untuk diri sendiri, pasangan dan keluarga.
Terbaharu, melalui entri terbaharu di laman instagram miliknya, Datin Seri Umie Aida tiba-tiba diserang sesak nafas selepas makan seulas cempedak dan terpaksa didukung dan dibawa ke hospital oleh suaminya.
View this post on InstagramA post shared by umieaida ?? (@umieaida9) on
“Tak sampai seulas saya makan cempedak. Tiba-tiba boleh terkena serangan angin sampai ke ulu hati. Subhanallah…sakitnya sampai tak boleh bernafas.
Kebetulan suami balik untuk makan tengah hari, terus hantar saya ke hospital”, tulisnya di laman Instagram.
Mujur ada orang di rumah yang boleh membantu beliau untuk ke hospital. Tapi, bila dah sampai hospital, lain pula jadinya. Kelakar pun ada.
“Yang peliknya, sampai hospital doktor dan nurse nak berikan injection tapi sakit dah hilang. Terus saya cakap dengan doktor tak perlu injection, saya dah sihat”, jelasnya lagi.
Bertuah sangat dapat suami yang penyayang dan romantik macam ni. Waktu sakit macam ni lah sesuai sangat dan bermanja-manja dengan suami, bukan?
Meurut Datin Seri Umie Aida juga, kejadian yang sama pernah berlaku pada dirinya di Penang pada tahun 2002.
Alhamdulillah tidak berlaku apa-apa yang serius kepada beliau. Selepas ini, kena lebih berhati-hati dalam soal memilih makanan ya.
Jadi Tetamu Allah, NELYDIA SENROSE & Suami Berangkat Ke Tanah Suci Mengerjakan Haji!
Alhamdulillah, pelakon cantik Nelydia Senrose dan suami dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini. Difahamkan pasangan suami isteri tersebut telah pun selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Berkongsi foto kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nelydia dilihat mengenakan persalinan jubah rona hitam. Sementara suaminya lengkap dengan persalinan T-Shirt serba putih. Kedua-duanya kelihatan cukup mesra dan ceria menerima jemputan panggilan sebagai Jemaah Haji.
Nelydia dalam pada itu sempat memohon maaf sebelum berangkat ke sana di samping memohon agar peminat mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang berada di Mekah.
“Saya Nik Zaris Nelydia dan suami tersayang, Mohd Hafez Halimi dengan rasa penuh kesyukuran, gembira dan tawadhu’ di atas kebesaran Sang Pencipta yang Maha pengasih dan mengasihani yang mengizinkan kami untuk menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah haji.
Ini adalah anugerah Allah yang Maha Agung buat kami berdua. Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang mengenali saya. Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang saya sedari mahupun yang tanpa sengaja terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami.
Saya mohon agar dapat dititipkan doa buat saya dan suami agar selamat pergi dan balik. Dipermudahkan esegala urusan dan dengan izin-Nya mendapat haji mabrur.
Segala yang saya hajatkan, semua yang saya impikan, apa yang saya bayangkan, tidak akan terlawan dengan anugerah dariNya ini, yang tidak akan mungkin saya dustakan, sehingga ke akhir hayat. Assalamualaikum.”
Pada hujung Disember lalu, Nelydia dan suami telah mengerjakan ibadah umrah bersama-sama. Sepanjang pemergian ke sana, aktres ini dikatakan mula berhijrah dengan penampilan lebih sopan dan berhijab penuh.
Nelydia yang bakal berusia 28 tahun pada 30 Julai nanti menjadi isteri kepada ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid pada 6 April 2019.
Semoga segala urusan pasangan ini dalam mengerjakan haji dipermudah dan kekal istiqamah dalam mengejar kebaikan.