Khusus buat penggemar jenama dUCk , ini merupakan peluang anda menambahkan koleksi kegemaran anda bukan sahaja dalam bentuk fesyen, malah kini ia bakal menjadi kegilaan dengan kolaborasi bersama Starbucks!
Bermula 27 September 2022 sehingga stok masih ada, dUCk dengan kerjasama Starbucks Malaysia telah hadir dengan koleksi fesyen baharu edisi terhad kepada umum yang dikenali sebagai dUCk + Starbucks Blooming Collection.
“Selepas rumah dan pejabat, Starbucks adalah rumah ketiga saya! Jenama Starbucks telah banyak memberi inspirasi kepada saya dan kolaborasi ini sememangnya amat bermakna buat The dUCk Group,” ujar Datin Vivy Yusof, usahawan dan pengasas bersama The dUCk Group.
Membawakan item-item harian yang dekat dengan pelanggan seperti selendang, beg tote, bekas air dan juga termos, koleksi kerjasama antara dua jenama ini hadir dengan tema warna ungu yang merupakan warna ikonik untuk The dUCk Group.
Manakala dari segi rekaan pula, ia menampilkan ilustrasi yang menggabungkan beberapa jenis bunga seperti bunga raya, orkid, ros dan banyak lagi.
Selain daripada koleksi fesyen, kolaborasi dUCk + Starbucks turut memperkenalkan kad edisi terhad dengan nilai pengaktifan kad minimum RM100 bagi setiap satu kad. Manakala setiap produk yang ditawarkan bermula dari RM95 ke atas. Jadi, jangan lepas peluang memiliki koleksi terhad ini!
Mangsa TRAGEDI MH17 ‘Hadiahkan’ MASJID AL-GHAZALI Buat Penduduk Kuching, Sarawak!
MashaAllah, besarnya saham akhirat satu keluarga mangsa nahas tragedi MH17 ini. Mengimbas kembali insiden tragis yang berlaku hampir lima tahun lalu saat umat Islam sedang menjalani hari ke-19 berpuasa, Tambi Jiee dan isteri serta empat anak mereka telah pergi menghadap ilahi selepas pesawat yang dinaiki mereka ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014.
Seakan mengulangi ‘sejarah’ sama tahun ini… tanggal 13 Mei lepas bersamaan 8 Ramadan, nama kesemua mereka kembali menjadi bualan apabila sebuah masjid indah di Kuching, Sarawak dikhabarkan siap dibina hasil wang pampasan keenam-enam keluarga berkenaan. Allahu, sesungguhnya niat waris keluarga Tambi Jiee dan isterinya, Ariza Ghazalee untuk menggunakan wang yang diterima ke arah kebaikan dimakbulkan.
Diberi nama Masjid Al-Ghazali yang terletak berdekatan kawasan perumahan di Petra Jaya, kos pembinaan masjid yang dihias dengan reka bentuk serba moden berunsurkan rona kelabu ini bernilai RM3.5 juta yang sebahagian besarnya adalah wang pampasan keenam-enam mangsa yang maut dalam tragedi menggemparkan dunia itu.
Menurut pengerusi masjid yang juga adik bongsu Ariza, Sumardi Ghazalee yang ditemubual Bernama… idea untuk membina masjid tercetus ketika ibu mereka meluahkan hasrat untuk melihat wang yang diterima disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah.
“Kami memang sedih semasa menerima berita kematian semua Allahyarham tapi dengan adanya wang pampasan itu… kami sebagai keluarga mangsa berharap usaha ini dapat membantu mereka di alam sana. Jadi kami adik-beradik sepakat mendirikan masjid ini dan berharap agar ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar di samping memberi pahala yang berterusan untuk arwah.”
Katanya lagi, sebahagian besar kos pembinaan masjid adalah wang pampasan mangsa. Manakala sebahagian lagi daripada orang awam yang berinfak dan sumbangan pihak Kerajaan Negeri Sarawak. Masjid Al-Ghazali dianggarkan mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah yang dilengkapi dengan ruang solat utama, ruang solat jemaah wanita, blok tandas, tempat wuduk, bilik pejabat, runag parkir, bilik pengurusan jenazah dan kediaman imam yang bakal dilantik kelak.
Pembukaan Masjid Al-Ghazali telah dibuka kepada umum pada 13 Mei lepas yang dimulakan dengan majlis berbuka puasa, disusuli solat Maghrib dan Isyak serta solat Tarawih berjemaah.
Selain Tambi yang juga jurutera petroleum dan isterinya Ariza, insiden turut mengorbankan semua anak mereka iaitu Muhammad Afif, 19 tahun, Muhammad Afzal, 17 tahun, Marsha Azmeena, 15 tahun dan Muhammad Afruz, 13 tahun. Ketika kejadian, Tambi sekeluarga yang berasal dari bandar raya ini dalam penerbangan pulang dari Astana melalui Amsterdam untuk menyambut Aidilfitri di tanah air.
Seterusnya berpindah tugas ke Kuala Lumpur selepas menamatkan perkhidmatannya selama tiga tahun di Shell Kazakhstan. Tragedi turut mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal lain.
Sumber: Bernama, Berita Harian & Kosmo
“Sepanjang Tawaf Mata Tak Berkelip Pandang Kaabah,” WANY HASRITA Syukur Tunai Haji Umur 26 Tahun!
Untung Wany Hasrita, rezeki menunaikan ibadah haji ‘datang’ awal ketika dia masih muda dan segala urusan menjadi tetamu Allah tahun ini berjalan lancar. Cantik aturanNya, bila sudah tiba masa… cepat atau lambat, Dia tetap akan kurniakan rezeki yang tak disangka-sangka. Misalnya nikmat Wany mengerjakan rukun islam kelima ini yang turut dikongsi bersama rakan artis, Amira Othman.
Berangkat ke Tanah Suci Mekah seminggu yang lalu, Wany memaklumkan dia menerima tawaran tersebut dalam tempoh singkat dan hanya menyediakan persiapan semampunya termasuk menghadiri kursus haji dengan seorang ustaz. Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata memandangkan dia dibenarkan membawa seorang teman dan disebabkan ibunya uzur… dia mempelawa Amira untuk turut-serta.
View this post on InstagramA post shared by Majalah Nona, ?? (@majalahnona) on
“Walaupun kami pergi tanpa mahram, tak ada masalah sebab ini atas undangan pihak kedutaan. Sebenarnya, mula-mula tu takut juga, ingatkan scam. Bila Wany dah sampai ke pejabat kedutaan dan tengok sendiri, kebimbangan tu hilang dan terus yakin.”
Melalui perkongsian terbarunya, “Alhamdulillah, selesai sudah ibadah Haji saya di sini. Tadi selesai tawaf wida’, sekarang dalam perjalanan menuju ke Jeddah.
My hajj journey was so amazing. Dari sampai je di sini dengan menjaga dalam ihram, berwukuf di Arafah – alhamdulillah, beberapa ketika hujan selebat-lebatnya. Terus ke Muzdalifah mengutip batu untuk jamrah. Kemudian selepas setengah malam kami ke Masjidil Haram untuk tawaf & saie (masa kami sampai orang tak ramai sangat).
First time pandang Kaabah, Tuhan je tahu rasanya. Sepanjang tawaf mata tak berkelip pandang Kaabah tak percaya depan mata. Habis saie, baru lega! Dah boleh tahalul! Terus ke Mina untuk bermalam selama 3 hari. Alhamdulillah urusan jamrah pun Allah permudahkan sampilah tawaf selamat tinggal tadi.”
Kesempatan berada di sana turut dimanfaatkan Wany untuk menyampaikan doa para peminat yang masih belum berpeluang menjadi tetamu Allah. Baiknya hati selebriti cantik ini!
View this post on InstagramView from the sky. ❤️ Subhanallah, tak terjangkau dek akal, wany dapat peluang sebegini rupa. ?❤️
A post shared by #TERLALUMEMUJA (@wanyhasrita) on
“Doa-doa anda mana yang sempat Wany dah bacakan di sini. Terima kasih banyak-banyak yang mendoakan Wany. Wany doakan awak semua dapat ke sini dengan keluarga tersayang inshaAllah.”
Pemergian Wany ke Mekah tahun ini meninggalkan kenangan cukup bermakna apabila dia berpeluang menyaksikan suasana Masjidil Haram dari udara. Bertuah sangat! Selain Wany Hasrita dan Amira Othman… antara selebriti lain yang turut mengerjakan haji termasuk Erra Fazira, Datin Paduka Seri Umie Aida, Neelofa, Ashraf Muslim dan Fizo Omar.
Pempengaruh, Usahawan Digital, Usah Culas Bayar Cukai!
Sejak kebelakangan ini,terdapat Kecenderungan anak muda memilih kerjaya sebagai pempengaruh di laman sosial. Ia semakin menjadi pilihan apatah lagi dalam keadaan semasa dan fenomena hari ini yang menyebabkan bidang kerjaya itu menjadi pilihan anak muda.
Namun begitu, tahukah anda, kerajaan berpotensi kehilangan sehingga RM2 bilion setiap tahun berikutan masih ada pempengaruh dan usahawan digital yang culas membayar cukai pendapatan meskipun meraih pendapatan lumayan menerusi platform maya.
Memetik sumber Berita Harian, Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata jumlah berkenaan tidak mustahil memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, model perniagaan inovatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Katanya lagi, perkembangan positif dalam perniagaan maya, termasuk pekerjaan sebagai pempengaruh turut disokong peralihan dalam tabiat membeli-belah rakyat yang kini lebih memilih pembelian secara dalam talian.
Ini kerana pembelian dalam talian lebih mudah, cepat, kos lebih rendah dan mengurangkan pergerakan fizikal berbanding cara konvensional.
“Dianggarkan kerajaan kehilangan sekitar RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun disebabkan perkara ini. Sememangnya, ramai yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian menggunakan pelbagai platform.
“Ia belum termasuk lagi pempengaruh yang meraih pendapatan lumayan menerusi media sosial,” katanya.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mula memantau platform media sosial dan e-dagang milik pempengaruh serta usahawan digital setiap hari untuk mengesan dan memastikan golongan terbabit tidak ‘lari’ daripada membayar cukai.
Menurut agensi percukaian itu, pemantauan dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.
Antara yang dipantau LHDN adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.
Sebelum ini, ada banyak dakwaan dan laporan media mengenai pempengaruh dan usahawan dalam talian yang dikatakan suka menunjukkan kemewahan, namun bukan semua membayar cukai.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur dipetik sebagai berkata, melalui aktiviti pemantauan secara harian itu, pihaknya yakin dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak patuh kepada undang-undang percukaian.
LHDN juga melaksanakan inisiatif dikenali ‘nudging’, yang mana Seksyen Audit Ekonomi Digital akan memberi peringatan berhubung tanggungjawab pembayar cukai di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang dikenal pasti ‘lari’ daripada membayar cukai.
Agensi percukaian negara itu juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkenaan kepentingan cukai kepada negara.