Bila sebut tentang hari raya khususnya pada tahun ini, semuanya akan rasa sangat teruja kerana dapat kembali meraikannya dalam suasana meriah. Maklumlah dah dua tahun kita beraya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara pendemik COVID-19.
Usahawan selebriti terkenal yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan Mutyara, Tya Arifin tak terkecuali. Tahun ini Tya kelihatan cukup teruja menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentuanya di Kuala Lumpur.
Lihatlah koleksi gambar keluarga besar mereka yang kelihatan sangat meriah dan berwarna warni. Anak-anaklah yang paling ceria tambah-tambah lagi bila dapat duit raya.
‘50 Soalan Bling Bling Raya NONA Bersama Tya Arifin’ baru-baru ini berkesempatan menemu bual Tya Arifin mengenai pengalaman hari rayanya di Malaysia dan juga Indonesia. Sambil berkongsi sambil Tya membawa krew Majalah Nona house tour kediaman mewahnya. Seronok dengar pengalaman beraya Tya terutama kisah-kisahnya yang mencuit hati semasa kecil.
Menurut Tya, menu raya paling popular di Indonesia iaitu Pempek yang merupakan makanan khas Palembang. Ia dihasilkan dari adunan tepung dan ikan tenggiri yang digoreng sehingga keemasan.
“Di Palembang kalau setiap kali raya ‘wajib’ ada Pempek. Kalau di Malaysia ia macam keropok lekor.”
PANDAI BELI JIWA IBU MENTUA
“Saya bersyukur kerana memiliki dua ibu mentua yang baik iaitu Mama (Tengku Zawyah) dan Mak Iti (Dato’ Sri Siti Nurhaliza). Kedua-duanya sangat istimewa.
Kalau dengan Mama, apa yang saya boleh belajar darinya ialah tentang kesabaran dan masakannya yang sangat sedap.
Mak Iti pula seorang yang bekerja keras, berjaya merubah kehidupannya yang dahulu kepada siapa dirinya sekarang. Sangat berbeza. Saya dapat belajar dari kegigihannya dalam mengatur dirinya, hal-hal rumahtangga walaupun jadualnya sangat padat.
Untuk ‘beli jiwa’ mereka, saya jadi diri sendiri. Sentiasa berbuat baik dengan mereka. Sebagai seorang anak dan isteri, saya harus pandai menjaga diri.”
Tya turut berkongsi antara juadah paling best pernah dimasak khas buat ibu mentuanya ketika hari raya ialah Ikan Bakar yang mana resipinya istimewa dari Indonesia.
Kredit Foto: Instagram Tya Arifin