MasyaAllah, cantiknya dua anak gadis Fiza Halim! Walau masih remaja tapi sudah terserlah kejelitaan mereka. Seperti ibunya, mereka juga mempunyai aura tersendiri yang mampu membuatkan orang ramai terpikat dan toleh dua kali. Beruntung anak gadis ini kerana mewarisi kecantikan ibu tersayang yang pernah menganggotai kumpulan penyanyi wanita terkenal era 90an, Elite.
Fiza Halim atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim yang pergi bercuti bersama keluarganya ke Adelaide, Australia baru-baru ini sempat berkongsi momen percutian di Instagram miliknya. Sebagai seorang public figure, pastinya perkongsian Fiza mencuri perhatian peminat dan warganet. Rata-rata mereka yang melihat perkembangan terbaru Fiza memuji penampilan selebriti berkenaan dan antara yang paling mencuri tumpuan adalah kelibat dua anak gadisnya yang kian meningkat dewasa.
Feera Aryana Ahmed Farriq kini meniti usia 11 tahun sementara adiknya, Feeya Adyrra Ahmed Farriq berusia 9 tahun. Percutian Fiza dan dua anak gadis ini turut ditemani Baby Aleena berusia setahun lebih dan suami tercinta, Aizat al-Jefri Abdul Kudus. Mengintai wajah terbaru Feera dan Feeya, masing-masing memiliki tarikan tersendiri. Feera misalnya dikurniakan kulit putih kemerahan manakala Feeya pula mempunyai rupa paras manis menawan.
Tidak hanya berwajah comel dan mewarisi kecantikan Fiza, kedua-dua beradik ini juga merupakan anak yang bijak. Menerusi perkongsian Fiza di laman Instagramnya tahun lalu, dia pernah berkongsi kejayaan mereka berdua yang gemar mendalami ilmu Al-Quran. Walaupun usia masih muda tapi mereka tekun mengejar saham akhirat. Mana-mana ibu pun mesti tersentuh bila dapat anak seperti Ferra dan Feeya, bukan?
“Syukur alhamdulillah. Dari kecil sampai sekarang dua beradik ni tak henti-henti dan tak jemu mengaji Al-Quran. Masih ingat lagi saya masa mula-mula hantar, kena tunggu. ‘Mommy jangan balik tau’… ‘okay mommy tunggu’. Begitulah silih berganti Kak Yuli dan Kak Yati hantar dan tunggu sampai sekarang.
Nah, sekarang hasilnya. Kedua-dua anak dara saya ni dah pun hafal Surah Yasin dan hampir 80 peratus surah yang lain. Dalam usia 9 dan 10 tahun, diaorang dah pun baca Al-Quran berkat usaha mereka sendiri. Terima kasih Ya Allah. Kau hadiahkan aku harta dan anak-anak yang solehah.”
Ferra dan Feeya merupakan anak gadis Fiza hasil perkahwinan pertamanya dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin. Kini, Fiza ialah isteri kepada juruterbang iaitu Aizat Al-Jefri Abdul Kudus.
Sumber: Instagram Fiza Halim