Meraikan majlis pernikahan ketika PKPB masih berkuat kuasa, sesungguhnya bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan, antaranya soal penularan virus dan kesihatan tetamu. Inilah yang dikongsi oleh bekas pengacara TV3, Puan Sri Normala Samsudin sempena majlis anakanda kesayangan, Ruhila Roslan.
“Bila tiba majlis perkahwinan di musim COVID-19 ini, emak bapa jadi gundah gulana. Bukan sahaja pelbagai kekangan persediaan malah hidup norma baharu ini perlu dipatuhi. Maka kerisauan bertambah lagi apabila ada saudara mara, rakan taulan mahupun kenalan kerja yang tiada dalam senarai undangan.”
Sejurus itu, Puan Sri Normala dan suami, Tan Sri Azmi Khalid memohon maaf kepada banyak pihak kerana tidak mampu menjemput ramai orang ke majlis perkahwinan anak mereka, Ruhila Roslan.
“Mohon jangan berkecil hati, tapi saya mohon restu kalian dan doakan semuanya berjalan lancar. Moga Allah permudahkan urusan pernikahan dan resepsi kecil-kecilan ini,” tulisnya merendah diri.
Dalam foto yang dikongsikan di akaun Instagram miliknya, Puan Sri Normala sempat berswafoto dengan Dr Ruhila beberapa minit sebelum anak gadisnya menjadi milik orang.
Majlis pernikahan Dr Ruhila Roslan dan jejaka pilihan hatinya, Majid Nazli telah berlangsung di Masjid Bukit Damansara pada Ahad, 3 Januari 2020 lepas. Mengenakan persalinan baju kurung serba putih rekaan Zachrins Jaafar, penampilan mempelai tampak suci dengan solekan manis oleh Warnabilla.
Lembut dan klasik, memang nampak evergreen sepanjang zaman!
Selepas upacara nikah berlangsung, kedua mempelai mengadakan majlis resepsi kecil-kecilan dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat mereka di Glasshouse, Seputeh. Tema garden wedding menjadi pilihan mereka pada hari bersejarah tersebut.
Sama cantik, sama padan. Bagaikan pinang dibelah dua. Begitulah secocoknya pasangan Dr Ruhila dan Majid Nazli ini kala bersanding di pelamin.
Seronok melihat keakraban keluarga Puan Sri Normala Samsudin ni. Sentiasa supportive dan saling sayang-menyayangi. Semoga perkahwinan yang dibina oleh Dr Ruhila dan pasangannya berkekalan abadi serta sentiasa mendapat keberkatan Allah SWT.
Kredit: Instagram Puan Sri Normala Samsudin
This website uses cookies.