Memiliki susuk tubuh langsing dan berketinggian enam kaki, rambut hitam panjang mengurai, hidung mancung serta bibir mungil tidak hairanlah atlet bola tampar Kazakhstan ini menjadi perhatian ramai peminat sukan. Bukan hanya dipuja kebanyakan kaum lelaki bahkan golongan wanita juga mengagumi kecantikan Sabina Altynbekova ini. Memang cantik dan tinggi lampai orangnya!
Kecantikan Sabina mula disedari ketika dia menjadi salah seorang pemain bola tampar bagi negara kelahirannya, Kazakhstan. Dia meraih perhatian luar biasa ketika menyertai Asian Junior Women’s Volleyball Championship di Taipei, Taiwan pada tahun 2014 ketika Sabina baru berusia 17 tahun. Disebabkan bakat dan wajah cantik Sabina dalam sukan ini, dia terus menjadi bualan sensasi di internet dan pernah mendapat julukan ‘The World’s Most Beautiful Volleyball Player’.
Namun, terdapat segelintir pihak mempersoalkan penglibatannya dalam bidang sukan kerana beranggapan wanita cantik sepertinya tidak sesuai memilih kerjaya sebagai atlet bola tampar. Sampai wajah cantik Sabina sentiasa menjadi bualan berbanding bakatnya dalam arena sukan berkenaan.
Setiap kali kelibat Sabina muncul dalam sesuatu pertandingan, penonton akan memberi sepenuh tumpuan kepada wanita berusia 25 tahun ini. Disebabkan ‘tumpuan’ itu, jurulatih Sabina kurang senang dengan limelight yang diberikan kepada atlet cantik ini kerana ia memberi kesan dan mengganggu perhatian pemain yang lain.
Sudahnya, Sabina jarang mendapat peluang untuk beraksi dalam beberapa perlawanan dan tidak mampu mengembangkan bakatnya. Malah, dia juga menerima kritikan kerana dikatakan terlalu cantik untuk bermain bola tampar. Sebagai atlet, pastinya perkara itu menjejaskan reputasi Sabina kerana jiwanya sudah cukup sebati dengan sukan sejak kecil.
Pada 25 Disember lalu, berita perkahwinan Sabina bertebaran di media sosial. Menguatkan lagi khabar tersebut apabila Sabina sendiri memuat naik gambar dia di samping seorang lelaki sambil memakai selendang.
Sekali gus memberi gambaran jelas bahawa dirinya sudah bergelar isteri. Kongsinya, “Finishing this year as the wife of the best man.” Selain gambar berkenaan, hashtag Sabina juga mencuri tumpuan apabila menggunakan #mashaallah, #alhamdulillah dan #nikah.
Memetik laporan media antarabangsa, jejaka yang berjaya menambat hati jelitawan ini ialah Sayat Salmanuly. Lelaki yang berasal dari Kazakhstan ini juga dikatakan lapan tahun lebih berusia daripada Sabina.
Pada hari pernikahan, Sabina kelihatan anggun dalam persalinan gaun labuh polos rona pastel. Kelibat bapa tersayang juga kelihatan di majlis bersejarah itu.
Pertengahan April lepas, pasangan romantis ini memilih keindahan bumi Maldives sebagai lokasi berbulan madu. Daripada perkongsian Sabina, jelas terpancar wajah bahagia mereka. Seperti kebiasaan, wajah cantik Sabina menarik tumpuan peminat.
Gaya dan penampilan Sabina memang tidak ubah seperti ratu cantik! Di samping melakukan aktiviti sukan air, pasangan ini turut beriadah dan bersantai menikmati panorama destinasi bulan madu terkenal di dunia tersebut.
View this post on Instagram
Dengan tercetusnya fenomena kerana wajah cantik Sabina dalam sukan bola tampar sehingga dikenali di serata dunia, Sabina berjaya meraih lebih sejuta pengikut di laman Instagram. Ia pastinya menjadi medium terbaik buat Sabina untuk terus dikenali dan mengembangkan bakat dalam bidang yang diminati. Khabarnya, Sabina sudah melancarkan jenama pakaian sukan miliknya sendiri iaitu ‘S20’ yang menawarkan rekaan pakaian sukan dan aksesori berkaitan.