Kemunculan penyanyi Aina Abdul di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL37) sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para peminatnya. Melihat kematangan vokal yang dipersembahkan menjadi taruhan Aina dalam setiap momen di pentas Juara Lagu.
Tetapi peminat pasti lebih teruja memperkatakan fesyen yang bakal digayakan oleh Aina yang sememangnya cukup sinonim dengan gaya fesyen yang pelik.
Edisi AJL ke 37 kali ini, pelantun Terus Hidup ini tampil dengan busana serba putih yang dipenuhi ropol di bahagian belakang pakaiannya yang memberi gambaran dirinya seperti kepulan awan. Busana estetik tersebut mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi. Wajah Aina mendapat sentuhan @bobocinta yang menampilkan solekan yang tampil mewah dan elegan!
Melengkapi persembahannya di pentas, set persembahan juga menggunakan rona sama dengan latar pentas dipenuhi dengan kepulan awan yang sedondon dengan rona pakaian yang digayakan oleh Aina. Sentuhan Melinda Looi, busana rona putih dengan konsep ala-ala terapung di awanan membuatkan penampilan Aina cukup mengagumkan.
“Jika tahun lalu Melinda tampil dengan idea busana pokok, kali ini juga ada kejutan yang menanti penonton menerusi penampilan itu, selain persembahan saya sendiri,” ujarnya yang bakal tampil buat kali keempat di pentas AJL.
Persembahan Aina di Axiata Arena mendapat sorakan penonton meskipun belum muncul di pentas membuat persembahan. kemantapan vokal Aina ketika menyanyikan lagu ciptaannya sendiri itu juga cukup memukau dan mendapat tepukan gemuruh penonton sejurus selepsa selesai menyanyikan lagu tersebut.
Edisi Juara Lagu ke 37 kali ini menyaksikan Aina merangkul gelaran Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi. Selain itu, Aina turut menerima vokal terbaik dan membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.
This website uses cookies.