Tidak dinafikan, malam minggu lalu merupakan antara momen manis yang dikenang lebih 3,000 peminat insan yang bernama Faizal Tahir. Mana tidaknya, kejayaan konsert Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC) itu sarat dengan luahan jiwa penyanyi tersebut.
Ketiak ditemui pihak media usai konsert sulungnya, Faizal berkata selepas 17 tahun berkarya, dia tidak menyangka dengan sambutan luar biasa peminat sekali gus membuatkan dia mahu melakukannya lagi.
“Sebuah konsert yang saya sendiri tak pernah terlintas akan buat selepas bertahun-tahun dipujuk oleh Jennifer Thompson. Dia antara individu penting yang memujuk saya buat konsert ini. Jika sebelum ini saya risau nak buat konsort solo tapi melihat sambutan dan persembahan hari ini terus rasa nak buat lagi tapi tengoklah dulu bagaimana nanti.
“Buat masa ni saya perlu duduk dengan pasukan terlebih dahulu. Persiapan untuk menjayakan konsert ini memakan masa berbulan-bulan. Kalau ada permintaan yang tinggi dan berbaloi serta boleh menyampaikan sesuatu yang baik kepada orang ramai melalui konsert, Insya-Allah akan ada lagi,” katanya.
Ketika diajukan pertanyaan mengenai konflik dalam muzik yang dihadapi sehingga berkongsi perkara itu kepada peminat, Faizal berkata, salah satu faktor adalah usianya yang sudah meningkat naik.
“Macam yang saya katakan ketika di atas pentas sebelum menyanyikan lagu Bencinta, saya ada beritahu saya ada konflik dengan muzik. Saya pernah terfikir untuk berehat dalam industri muzik tapi sebab ramai yang meminta saya rasa ralatlah kalau tidak dapat tunaikan permintaan orang.
View this post on Instagram
View this post on Instagram
“Kalau nak jayakan konsert solo saya memang tidak mempunyai keyakinan yang tinggi selama ini, sebab itu saya lebih suka keluarkan single saja dan macam yang saya kongsikan ketika di atas pentas saya juga lebih suka jayakan majlis yang minta saya menyanyi tiga hingga empat lagu kerana itu sudah berbaloi untuk saya.
“Alhamdulillah persiapan yang rapi membuktikan saya mampu menyanyikan lebih 18 lagu dalam sebuah konsert,” katanya.
Menerusi konsert yang berlangsung hampir tiga jam dan diketuai oleh Pengarah Konsert, Jennifer Thompson, Faizal menyanyikan lebih 21 lagu.
Antaranya lagu yang disampaikan adalah Mahakarya Cinta, OK, Bencinta, Karma, Cuba, Assalamualaikum, Ragaman, Gemuruh dan Santai.
Lebih mengujakan kehadiran penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mencuri tumpuan apabila diundang oleh Faizal ke atas pentas dan sudi berduet secara spontan menerusi lagu Dirgahayu.
Malah Alif Satar yang juga merupakan sahabat baik Faizal Tahir turut menyahut laungan peminat untuk tampil di atas pentas menyanyikan lagu Gemuruh bersama Faizal Tahir yang dikenalinya sejak zaman meneyrtai program realiti ketika usia Alif Satar baharu mencecah 16 tahun manakala Faizal 23 tahun.