
Jika dahulu sebelum ini pegawai polis Amerika Syarikat, Serein Tamimi telah melakar sejarah menjadi polis berhijab pertama di Paterson, Amerika Syarikat. Kini tiba pula giliran Zeena Ali, Konstabel Polis di New Zealand mencipta sejarah yang sama.

Lebih menarik, apabila pegawai polis yang berusia 30 tahun ini turut bekerjasama untuk menyuntik elemen hijab dalam pakaian seragam rasmi polis New Zealand itu. Ketika itu Zeena Ali masih bergelar pelajar di Royal New Zealand Police College turut membantu mencipta rekaan hijab untuk kegunaan anggota polis yang beragama Islam.
Memetik laporan Facebook New Zealand Police, Zeena Ali berbangga apabila kedudukannya sebagai polis Muslimah dihormati. “Saya sangat terharu dan bangga menjadi anggota pertama menyarung uniform berhijab ini. Tambahan pula saya turut serta dalam proses mereka hijab dalam uniform ini,” kata wanita kelahiran Fiji ini.

Foto: Facebook New Zealand Police
Siapa sangka, di sebalik kisah di Christchurch tahun lalu, merupakan penggerak utama wanita ini untuk menyertai polis New Zealand secara total. “Ketika tragedi itu berlaku saya masih lagi dalam latihan. Jika saya telah menjadi anggota polis ketika itu seudah tentu saya akan membantu mangsa kejadian dan ahli keluarga mereka.”
Dalam pada itu Zeena Ali terharu apabila Royal New Zealand Police College menghormati kedudukan Muslimah di sana. “Semasa dalam latihan di kolej, mereka menghidangkan makanan halal untuk muslim dan juga menyediakan tempat yang selesa untuk solat. Jika terdapat sesi latihan di kolam renang pula, pelatih Muslim dibenarkan memakai baju tangan panjang atau a full swim suit,” katanya.

Tambah Zeena Ali, “Saya akan memastikan uniform ini memenuhi keperluan kesihatan dan keselamatan diri serta keperluan peribadi,” ucapnya.
21 Tahun Hidup Bersama, Amy Aziz Isteri DR AHMAD IDHAM Kongsi Rahsia Kebahagiaan Rumahtangga

Siapa yang tak kenal dengan pengarah, penerbit filem dan pelakon, Ahmad Idham yang terkenal menerusi drama bersiri popular iaitu ‘Cinta Antara Benua’ dan ‘Cinderella’. Kini bahagia bersama keluarga dan dikurniakan empat anak berusia belasan tahun.
Isteri tercintanya, Amy Aziz sentiasa menjadi tulang belakang di saat susah mahupun senang. Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada tahun 1999 dan antara pasangan yang jarang dilanda gosip rumahtangga. Berikut perkongsian Amy Aziz kepada Nona bagaimana dia menjaga kebahagiaan rumahtangga selama 21 tahun.
RAHSIA KEKAL BAHAGIA
“Bila berkahwin dengan seorang selebriti, saya perlu bersedia dengan segala dugaan dalam perkahwinan. Kami amalkan toleransi dan tak cepat melatah jika ada sebarang gosip. Alhamdullilah kami mampu harunginya bersama. Bohonglah kalau kata tak pernah bergaduh, yang penting jangan pendam dalam hati.
Suami seorang simple man dan sentiasa tenang dalam menangani masalah. Saya pula jenis yang tak suka pendam. Saya akan luah semuanya baru rasa lega. Kami juga tak akan sesekali bergaduh depan anak-anak. Mereka sedang membesar, kalau kita tunjuk sikap tak baik secara tak langsung mereka akan buat perkara yang sama kelak. We are their role model.”
BANGGA KEJAYAAN SUAMI
Saya sentiasa menyokong dan bangga dengan setiap kejayaan suami. Berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) adalah pencapaian terbesar suami sekaligus mendidik anak-anak tentang betapa pentingnya ilmu. Arwah ayah saya adalah penyokong tegarnya kerana sentiasa berbangga dengan pencapaian suami.

Syukur alhamdulillah, suami diberi kepercayaan sekali lagi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkuatkuasa 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022. Banyak dugaan yang dihadapi dari permulaan perlantikannya sejak Mac 2019. Semoga di bawah pimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dapat dia membangunkan semula industri kreatif tanahair selepas negara mengalami pandemik COVID-19. All the best to him!

MILIKI ANAK ISTIMEWA
Sebagai manusia biasa pasangan ini juga tidak terkecuali daripada menerima ujian. Anak sulung mereka, Ahmad Firdaus Ahmad Idham, 20, merupakan seorang anak istimewa. Ketika usianya dua tahun Ahmad Firdaus diserang sawan dan doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.
“Sejak awal usianya Abang (panggilan kepada anak sulung) seorang anak yang aktif. Sehinggalah suatu hari dia mengalami sawan ketika usia dua tahun yang menyebabkannya sukar berjalan dan bertutur. Sebagai ibu bapa, kami pastinya sedih. Dalam tempoh dua tahun itu akademiknya terganggu kerana banyak yang delay.
Kini usianya sudah 20 tahun. Banyak perubahan positif berlaku pada dirinya seperti pandai berdikari, lebih berani dan yakin. Setiap perkembangan walau sedikit tetap menjadi kebanggaan kami. Hanya ibu bapa yang memiliki anak istimewa saja faham keadaan seperti ini.

Kami mempunyai banyak support system iaitu keluarga dan teman-teman rapat. Alhamdulillah hingga ke hari ini Ahmad Firdaus tidak pernah dikecam atau dihina dengan keadaannya itu. Ahmad Firdaus bertuah kerana disayangi ramai orang.
Kami sentiasa memberikan yang terbaik buat Abang sama seperti anak-anak yang lain. Sebagai ibu, saya sentiasa ada untuk Ahmad Firdaus. Sekurang-kurangnya bila saya sudah tiada nanti saya dah tinggalkannya dalam keadaan selamat dan pandai berdikari.
Ahmad Firdaus seorang yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Semua perkara dianggap penting baginya. Sehinggakan saya sering bercakap pada diri sendiri dan anak-anak yang lain “If only Abang is normal I’m sure he would be the smartest among all”
DIDIKAN
Anak-anak yang lain memang rapat dengan anak sulung. Kerana sejak kecil kami didik mereka saling menghormati, prihatin dan tak pandang rendah kepada orang lain. Tak semua keluarga bertuah dikurniakan anak istimewa seperti keluarga kami.
Sebagai ibu saya layan mereka seperti sahabat termasuk berkongsi cerita, pendapat mahupun masalah. Selalunya mereka lebih selesa dengan saya kalau berkongsi masalah atau meluah perasaan. Jika ada sebarang masalah berkaitan anak-anak, saya akan update kepada suami.
Sekarang ini kami ada banyak masa untuk mengaji dan solat berjemaah. Kami juga sering berpesan kepada mereka, kalau nak kesenangan di dunia jangan lupa Allah SWT. Harapan kami dapat melihat kejayaan mereka sebelum menutup mata.”
Tiga lagi anak pasangan ini ialah Ahmad Aydeel, 16, Kintan Myra, 14, dan Ahmad Khaliff, 10.
UMUR 44 TAHUN MASIH AWET MUDA
Tahun ini usia saya 44 tahun dan suami pula 49 tahun. Segalanya bermula dengan amalan gaya hidup sihat. Antara rutin sihat dan cergas saya ialah workout tiga kali seminggu dan sesekali turun bermain golf bersama suami. Saya tak makan nasi setiap hari namun masih mengikut diet seimbang. Saya juga tak ambil suplemen kerana kurang percaya dengan cara ‘segera’ untuk kurangkan berat badan. Bagi saya amalan gaya hidup sihat itu yang terbaik.
EDEN FIRDAUS SCHOOL
Dikurniakan anak istimewa telah mencetuskan idea untuk Amy dan suami menubuhkan Eden Firdaus School pada Februari 2016. Ia sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi sempurna buat anak-anak istimewa (OKU).
“Sebelum ini kami menempatkan anak sulung di Saint Claire, Singapura pada tahun 2014. Dua tahun di sana kami nampak perkembangan positifnya. Dari situlah tercetusnya idea membina Eden Firdaus School. Ditambah pula dengan pengalaman saya yang hampir 20 tahun mengendalikan pusat jagaan dan pendidikan kanak-kanak.
Sekolah ini dikhususkan bagi mempersiapkan kanak-kanak istimewa ini menempuh dunia luar sekaligus menjadikan mereka seorang yang mampu berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Harapan kami agar Eden Firdaus School menjadi hab sekolah pendidikan khas terkemuka suatu hari nanti. Semoga usaha ini mendapat sokongan kerajaan.”
Amy mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak dan pernah menubuhkan Tadika Sinar Indah Montessori di Ampang sekitar 1998-2010.
Kredit foto: IG @amyabdaziz
Kemunculan Pertama Sultanah Nur Diana Petra Abdullah Curi Tumpuan!

Cantik Permaisuri Sultanah Kelantan! Itu ungkapan yang terzahir di bibir setiap individu yang menatap foto Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah melalui perkongsian di Facebook Unit Media Pejabat Sultan Kelantan hari ini.
Menurut perkongsian tersebut, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan menerima mengadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) yang diadakan di Istana Negeri Kubang Kerian, di sini hari ini.
Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam satu kenyataan berkata, baginda turut berkenan mengurniakan cenderamata kenangan kepada semua ahli rombongan.
Rombongan PKDK diketuai oleh Presiden Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan, Yang Mulia Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz dan beberapa ahli pertubuhan yang lain.
Hadir sama menyambut Sultanah Kelantan ialah Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan, Datuk Seri Raja Rezza Shah, Tengku Kaya Perkasa, Yang Mulia Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai-pegawai Istana Kelantan.
Menurut sumber, ia merupakan kemunculan pertama Permaisuri Nur Diana Petra di Istana Kelantan selepas diisytihar sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lalu.
Pada 2 Ogos lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytihar Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, isteri baginda dengan gelaran Sultanah Kelantan. Pengisytiharan itu dibuat Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Istana Balai Besar.
Sultanah Nur Diana kelihatan anggun menggayakan persalinan baju kurung moden bermotif batik rona peach serta lengkap berselendang. Solekan yang sederhana menyerlahkan lagi wajah Sultanah Nur Diana. Masih mengenakan pelitup muka, namun kejelitaan Permaisuri Nur Diana sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Rakyat Kelantan sememangnya amat menantikan kemunculan Sultanah Nur Diana di majlis-majlis negeri dan pastinya keayuan dan kelembutannya bakal menambat hari rakyat Kelantan.
Sumber & Gambar: Unit Media Pejabat Sultan Kelantan
“Saya Selalu Bersangka Baik” Pejuang Kanser Ovari Farah Fazarina Reda Ujian Meski Jiwa Terkorban

Setiap orang berbeza jalan hidup dan ujiannya. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada pula dengan kesakitan, kehilangan, masalah perkahwinan, kecelaruan identiti atau apa saja yang mendorong soalan… ‘God, why me?’
Nona tertarik berkongsi kisah Farah Fazarina Mohamad, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya yang kini sedang bertempur penyakit kanser ovari.
Ketika menyelami perasaan ibu beranak dua ini, bergaul rasa sebak dan kagum melihatkan kekuatan semangat yang menyalutinya. Dia begitu positif, malah memandang kehidupan kini lebih bermakna daripada dulu.
Semoga coretan ini memberi manfaat kepada pejuang kanser lain. Khasnya mereka yang berdepan relapsed iaitu kanser yang berulang selepas sembuh.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… selesai jua chemo cycle ke-5 hari ini dengan izin Allah SWT.
Masa berlalu pantas walaupun dari treatment bermula seawal jam 8 pagi – 4 petang. Allah bagi kesempatan untuk rehat dan tidur juga hari ni kerana terlalu penat masa nurse masukkan ubat. Alhamdulillah.
Pagi hari ini juga terbaca kisah seorang pejuang kanser di Facebook Page CANCER SURVIVORS (MSIA) yang selepas beberapa tahun menjalani rawatan, dan kanser itu datang semula.
Dalam istilah perubatan kita panggil sebagai relapsed. Dan umum tahu bahawa sebagai seorang pesakit kanser, kebanyakan (bukan semua) berpotensi untuk mendapat kanser semula. Sebab itu pesakit kanser, walaupun sudah menjalani dan melengkapkan regimen rawatan (chemotherapy atau sebagainya), pesakit masih perlu menjalankan check-up secara berkala, sekurang-kurangnya selama 5 tahun pertama dan kekerapan check-up akan dikurangkan mengikut keadaan semasa pesakit.
Ada yang relapsed selepas 7-8 tahun. Ada yang dan survive sampai lebih 10 tahun dan ke atas. Dan semua itu bergantung kepada keadaan diri pesakit masing-masing.
Kita sebagai pesakit kanser boleh memilih untuk menjadi seorang yang positif ataupun negatif. Seorang yang mudah mengalah dengan ujian ini atau seorang yang terus kekal berjuang selagi hayat dikandung badan. Dan benda ini hanya diri pesakit berkenaan sahaja yang boleh tentukan.
Orang sekeliling (walaupun keluarga terdekat, suami, isteri, anak) hanya boleh memberi sokongan dan nasihat. Tapi hanya pesakit yang boleh membuat keputusan hidupnya. Dan bila kanser relapsed, saya tengok kebanyakan pesakit akan mula berputus asa. Sebab itu, pesakit kanser sebenarnya memerlukan sokongan emosi yang berterusan. Bukan hanya ketika menjalani rawatan sahaja.
Sokongan emosi yang berterusan sepanjang hayat diperlukan oleh pejuang seperti kami.
Pandangan peribadi saya sebagai seorang pejuang, bukan senang pada mulanya untuk menerima hakikat yang anda pesakit kanser. Lebih-lebih lagi bagi saya yang terlalu mengharapkan dapat baby baru, tapi Allah uji dengan penyakit yang terpaksa dibuang rahim, ovari dan segala yang berkaitan.
Sekiranya saya tidak positif, mungkin saya pun menyalahkan takdir Allah dan terus berkata “kenapa saya..?” “Why me..?”. Saya boleh memilih untuk mempersoalkan tentang kenapa saya diuji lagi sedangkan Allah telah menguji saya pada tahun 2017***. Tetapi tidak.
***(Untuk yang baru follow kisah saya, tahun 2017 sy pernah diuji dengan jangkitan kuman yang kritikal, menyebabkan saya terpaksa melalui beberapa siri pembedahan, terpaksa mengorbankan bayi yang sedang dikandung 25-26 minggu dan bermalam di ICU, HDU dan berada di hospital selama hampir 4 bulan dengan ditemani suami tercinta yg sentiasa memberi sokongan Azizirrahim Irealty)
Allah telah memberi petunjuk dan memilih saya untuk bersangka baik dengan-Nya. Dia jua yang reveal bahawasanya Dia jua yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan, Maha Mengetahui segala perancangan yang terbaik bagi hamba-Nya. Alhamdulillah sayangnya Allah kepada saya.
Di sebalik ujian kali ini, Allah hadirkan kekuatan pada saya dan memberikan petunjuk-petunjuk yang menjadi kekuatan saya sampai sekarang. Subhanallah dan sampai sekarang saya berterusan berdoa, “Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan ujian ini Ya Allah. Yang telah mendekatkan aku pada-Mu dan telah mendatangkan nikmat dan aku reda dengan segala ketetapan-Mu kepadaku, dan janganlah Engkau hilangkan petunjuk-Mu kepadaku Ya Allah, dan tetapkanlah aku di landasan yang benar.” Alhamdulillah, hati rasa lapang sangat selapang-lapangnya.
Benarlah janji-janji Allah, jika kamu bersyukur, Allah akan tambah nikmat kepada kamu (Surah Ibrahim, Ayat 7).
Saya kini bersyukur dengan sekecil-kecil perkara. Contohnya, bila bangun tidur, perkara pertama saya buat adalah berterima kasih kepada Allah kerana masih kurniakan nikmat kepada saya untuk bernafas, anggota badan masih boleh berfungsi untuk beribadah kepada-Nya, tengok jari pun masih boleh bergerak, terlalu banyak kalau hendak dihitung rezeki yang Allah bagi dekat saya sampai kadang-kadang tu saya rasa malu untuk meminta dalam doa saya.
Kisah relapsed lain pula.
Tadi Pakar Onkologi yang merawat saya juga telah share satu benda yang dalam fikiran saya mendatangkan rasa kagum sangat terhadap kekuasaan Allah. Dia baru saja berjumpa seorang pesakit kanser ovari pada tahun 2012 telah didiagnos mempunyai sel kanser yg baharu di tengkuk setelah menyedari ada biji-biji sebesar guli.
Dan bila buat biopsi, sel kanser itu asalnya (primary location) dari sel kanser di ovari! Dan semua ovari telah dibuang pada tahun 2012. Subhanallah, bagaimana sel kanser yang asalnya berada di bawah, tiba-tiba naik berada di bahagian atas badan? Sedangkan sel-sel kanser tersebut tidak ada pun di bahagian tengah (paru-paru).
Hebatnya kuasa Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa dan saya selalu pesan kepada diri sendiri, ingatlah jua yang sel-sel kanser juga adalah ciptaan Allah. Allah yang berkuasa terhadap segalanya. Allah jualah yang berkuasa mematikan dan menghidupkan sel-sel kanser tersebut. Allah bersifat Ya Muhyi dan Ya Mumit (Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan) dan Ya Hayyu Ya Qayyum (Yang Kekal Hidup dan Berdiri Sendiri).
Dan kebelakangan ini saya kerap berfikir mengenai doa-doa di dalam Quran, iaitu doa dari para nabi yang telah diuji dengan ujian yang maha hebat tetapi mereka tetap mempunyai tahap kepercayaan dan keimanan yang teguh kepada-Nya.
Sebagai contoh, doa Nabi Ayub ketika beliau sakit dan kehilangan segala-galanya (anak, saudara, harta kekayaan, kawan, kesihatan) namun beliau tidak meminta supaya Allah menyembuhkan penyakit tetapi beliau tetap memuji Allah dengan sakitnya.
Tiada sepatah pun yang menyebut Tuhanku, selamatkan aku! Doa-doa orang yang teguh keimanannya dan kepercayaan terhadap kuasa Allah semuanya merupakan puji-pujian terhadap Allah. Subhanallah.
Doakan semoga saya juga mempunyai keimanan seteguh itu. Saya catat di sini untuk peringatan kepada diri sendiri juga. Aamin ya rabbal’alamin.