Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Bakal Jadi Saksi Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0

Jika anda masih ingat, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dilaksanakan, apakah aktiviti yang mampu mengisi masa lapang dan mengembalikan ketenangan dari rasa kegusaran akibat pandemik Covid-19? Jawapannya adalah Al-Quran.

Al Quran menjadi penawar duka kepada rakyat, pemimpin dan negara yang kemurungan akibat pandemik Covid-19, tekanan politik, ekonomi dan bencana alam dalam tempoh musim PKP selama dua tahun tersebut bermula 18 Mac 2020.

Ketika inilah setiap rumah diimarahkan dengan solat berjemaah lima waktu bersama keluarga serta ruang yang lebih untuk membaiki bacaan Al-Quran serta pembelajaran ilmu Al-Quran.Malah, antara program yang banyak memberi impak terhadap pengisian rohani ialah My #QuranTime.

Pada waktu itu, Malaysia #QuranTime mentadabburi ayat -ayat dan surah pilihan yang dilihat telah menjadi satu fenomena luar biasa di Malaysia di mana orang ramai mula tertarik dengan pengisiannya serta sentiasa ternanti-nantikan program ini bersiaran ke udara.


Setelah bersiaran sebanyak 838 episod, program My #QuranTime bakal tiba ke kemuncaknya dengan penganjuran Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang akan berlangsung pada 8 Oktober depan. Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti My #QuranTime di TV Al Hijrah dan media sosial.


Program yang julung kali diadakan itu akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjelang sambutan Maulidur Rasul 1444H.


Menurut Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, 5,000 peserta dijangka akan menyertai acara khatam yang bertemakan ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah bersama al-Quran’ itu.
“Program My #QuranTime sebenarnya adalah program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) serta TV AlHijrah sebagai penyiar utama.
“Program ini bersiaran di TV AlHijrah pada jam 12 hingga 1 tengah hari secara langsung setiap hari bermula 8 Jun 2020.
“Pada permulaannya, program ini adalah kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV AlHijrah dengan tujuan memberi pengisian rohani bagi rakyat Malaysia yang terkurung (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah akibat wabak Covid-19.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanze Harris; Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail dan qari My #QuranTime, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman serta Ahmad Tirmizi Ali.


Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, melihatkan kepada kejayaan program berkenaan, pihaknya mengambil keputusan untuk meneruskannya dengan penganjuran My #Qurantime 2.0
“Melalui program sebelum ini, kita telah perkenalkan asas tajwid dan tadabbur. Selepas ini kita nak tekankan kepada kefahaman dan elemen hafalan supaya apabila membaca al-Quran, mereka dapat membacanya dengan betul dan cuba menghafal surah-surah pendek itu supaya mereka boleh amalkan dalam solat mereka.
“Apa yang kita harapkan adalah solat mereka itu akan menjadi lebih berkualiti apabila dapat membaca surah dengan kefahaman. Insya-ALLAH, kita akan buat dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Tambahnya, MyQuran Time 2.0 akan menjadi lebih menarik kerana ia akan melibatkan penonton di dalam studio supaya mereka dapat belajar bersama-sama dan bacaan terus dapat dibetulkan.

Bagi tujuan itu, pihak WUIF sedang mempersiapkan sebuah studio di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang terletak di Shah Alam untuk diguna pakai selama tiga tahun.

Sementara itu, Marhaini berkata, setakat ini sejumlah 1,557 peserta telah mendaftar bagi menyertai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 dan pihaknya kini sedang giat mempromosikan program berkenaan bagi menarik lebih ramai peserta.
“My #QuranTime dijayakan dengan penglibatan asatizah daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

Sehingga kini, lebih 15 juta penonton dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand mengikuti My #Quran Time di TV AlHijrah dan media sosial.

“Jadi, kita harapkan pada ‘hari besar’ nanti, peserta setia dari seluruh negara dapat menyertainya. Ia sebagai tanda kejayaan mereka yang bersama-sama menjadi pemangkin masyarakat untuk membudayakan al-Quran pada tahap lebih tinggi,” jelasnya mengakhiri bicara.

Share
Published by
Rosmah Idayu