Jika anda pernah berkunjung ke Indonesia, nama Kopi Kenangan sememangnya sudah tidak asing lagi. Rangkaian kedai kopi Indonesia berstatus unicorn, Kenangan Coffee melebarkan sayapnya ke pasaran Malaysia menerusi pembukaan rasmi outlet di Suria KLCC baru-baru ini.
Pembukaan Kopi Kenangan di Suria KLCC menyaksikan ia merupakan premis antarabangsa pertama dibuka di luar Indonesia.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Edward Tirtanata berkata pengembangan syarikat itu ke luar pasaran Indonesia dimulakan di Malaysia dan beroperasi di bawah jenama Kenangan Coffee untuk rangkaian antarabangsanya.
“Ia satu langkah yang dapat membantu kami disenaraikan di pasaran saham. Namun, kami pada masa ini masih tidak mempunyai tarikh khusus atau lokasi penyenaraian sama ada di Indonesia, Nasdaq atau pasaran lain.
“Kami masih perlukan penilaian yang tepat sebelum boleh membuat keputusan ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian cawangan pertama Kopi Kenangan di Suria KLCC.
Syarikat unicorn adalah terma merujuk kepada syarikat pemula niaga persendirian yang mempunyai nilai lebih dari AS$1 bilion. Malah ia merupakan Unicorn F&B pertama di Asia Tenggara pada Disember 2021. Diperakui Halal dan dinobatkan sebagai pemenang Brand of The Year dalam kategori Rantaian Kafe dari Indonesia oleh The World Branding Awards 2020 – 2021.
Sehingga kini, Kopi Kenangan mempunyai lebih 850 cawangan di seluruh Indonesia.
Mengulas lanjut, Edward berkata, Malaysia dipilih sebagai negara pertama luar Indonesia untuk Kopi Kenangan bertapak adalah disebabkan kematangan industri makanan dan minuman (F&B) di negara ini.
Justeru, beliau berkata Kopi Kenangan memilih Malaysia menjadi lokasi pertama cawangannya dibuka dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Malaysia, katanya menyaksikan peningkatan tahun ke tahun bagi penggemar kopi dan pihaknya mahu mengeksport kejayaan fenomenal model kopi ‘grab-and-go’ di Indonesia ke pasaran luar negara, bermula dengan Malaysia.
“Di Malaysia, buat permulaan kami menyasarkan untuk mempunyai 10 rangkaian menjelang suku pertama 2023.
“Kami akan memfokus kawasan di Lembah Klang sebelum memasuki negeri lain dan paling penting kami memilih Malaysia sebagai pengembangan pasaran pertama kerana kecintaan rakyatnya terhadap makanan, pertumbuhan berterusan dalam budaya kopi dan banyak persamaan yang dikongsi oleh rakyat negara ini.
Kopi Kenangan akan membuka empat lagi kedai di MyTown Cheras, Pavilion KL, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid Petaling Jaya menjelang akhir tahun ini.
Selain itu, Kopi Kenangan juga melancarkan akademi latihannya di Uptown, Petaling Jaya untuk menyediakan pelbagai program latihan kepada barista dan pekerjanya, dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai pusat latihan F&B profesional terbaik di Malaysia.
Semasa di acara pelancaran Kenangan Coffee Suria KLCC, demonstrasi penyediaan Kenangan Latte dan Kenangan Avocado Coffee diadakan oleh Barista Yanuar Arlief. Ini pertama kali Ruby dapat melihat resipi rahsia Kenangan Latte iaitu Gula Aren, ais, susu dan double shot espresso.