Korbankan Cita-Cita Nak Jadi Doktor, Demi Bisnes Keluarga NAZRIN Kini Usahawan Interior Berjaya

Mengendalikan perniagaan keluarga bukan mudah apabila di beri kepercayaan yang tinggi bagi mengembangkan lagi legasi perniagaan yang telah dibina sejak bertahun lamanya.

Bagi pengasas Shahnaz Healthcare, Nazrin Shahnaz Peer Mohamed, 31, yang juga penerima Nona Best Healthcare Interior Design Award ini, tanggungjawab perlu dilunaskan dengan sebaiknya biarpun sebelum itu dia mempunyai cita-cita sendiri namun terpaksa dilupakan demi meneruskan harapan ibu tercinta yang turut menjadi rakan kongsi perniagaan.

Berkat usaha gigih Nazrin dan pasukannya, Shahnaz Healthcare berjaya mencapai jualan mencecah RM10.3 juta pada tahun 2021 dan menyasarkan jualan RM20 juta untuk tahun 2022. Kini, selain di Alor Setar, Kedah, Shahnaz Healthcare turut memiliki premis di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

“Sejak kecil lagi saya dibesarkan dan didedahkan dengan dunia perniagaan. Habis sahaja sekolah terus pergi pejabat. Ibu mempunyai perniagaannya sendiri iaitu periklanan dan pemasaran di Alor Setar, Kedah. Secara tidak langsung, pengalaman dan pendedahan itu membuatkan saya tahu banyak tentang selok belok perniagaan.

“Dulu, saya pernah anggap perniagaan adalah sangat susah. Saya sebenarnya bercita-cita ingin menjadi seorang doktor tetapi bila difikirkan semula saya kena juga uruskan perniagaan keluarga yang telah sekian lama dibina dengan susah payah. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan.

“Setelah tamat pengajian di universiti saya terus menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk menimba pengalaman. Dari perniagaan perkhidmatan periklanan, kami membuka pula syarikat baru yang berkonsepkan reka bentuk dalaman. Tercetusnya idea ini adalah kerana kami pernah melaksanakan projek-projek grafik yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan interior.

“Contoh, yang sedang trending ketika itu ialah Air Asia dan Google yang membawa konsep identiti korporat kepada interior. Klien-klien kami mahukan perkhidmatan seumpama itu. Maka, dari situlah tercetusnya idea interior untuk syarikat baharu kami disebabkan permintaan mereka ketika itu.

“Pada 2019, saya mendapat satu peluang untuk membina hospital melalui satu tender. Dengan pengalaman itulah, banyak mengajar saya betapa uniknya reka bentuk dalaman hospital ini. Ia bukan hanya untuk nampak cantik malah setiap interior yang dibuat ada sebabnya di samping ada fungsi-fungsi yang tertentu.

“Apa yang saya lihat, ketika itu tidak ramai yang melaksanakan konsep sebegitu. Permintaan ada, arkitek pun ramai yang menghubungi saya meminta agar saya memfokuskan kepada konsep ini memandangkan tidak ramai yang buat.

“Bertitik tolak dari situ, saya mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke peringat Master dalam jurusan interior design khusus untuk healthcare. Setelah kembali ke syarikat, saya mempraktikkan ilmunya dengan menjadi konsultan dan kontraktor,” jelas Nazrin.

IBU SUMBER INSPIRASI
“Ibu seorang yang sangat memahami dengan apa yang saya lalui termasuklah melihat perkembangan perniagaan yang saya kendalikan. Itulah sedikit sebanyak peranan yang dimainkan oleh ibu. Sekiranya ada perkara-perkara yang saya terlepas pandang, ibu akan sentiasa ada untuk membantu.

“Setiap kali bercakap dengannya ada benda yang ibu nak saya nampak ke hadapan. Secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang yang sentiasa bersemangat dan ingin maju ke hadapan. Saya juga seorang yang berani mencuba perkara baharu. Bagi saya sokongan, doa dan restu ibu sangat penting,” bicara Nazrin yang menjadikan ibu sebahagi inspirasi.

Baca artikel penuh dalam edisi majalah NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad