Korbankan Dunia Penyiaran Demi Keluarga, DATIN SERI NORAZLINA AWANG HAD Kini Ligat Berniaga

Masih ingatkah lagi dengan wajah penyampai berita terkenal ntv7, Norazlina Awang Had? Satu ketika dulu kemunculannya sering ditunggu-tunggu oleh para peminat stesen televisyen tersebut. Hampir sedekad beliau bersama ntv7 sebagai penyampai berita dan ‘on-air presentation manager’ sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia penyiaran kerana komitmen keluarga dan perniagaan.

Datin Seri Norazlina Awang Had ketika di zaman kegemilanganya dalam dunia penyiaran.
Salah seorang penyampai berita wanita yang terkenal dengan kejelitaannya.

Kini, Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had bahagia bersama keluarga tersayang. Suaminya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi pendorong utama untuk beliau meneruskan minat dalam dunia perniagaan. Datin Seri Norazlina merupakan ibu kepada 3 orang anak berusia 21, 17 dan 11 tahun. Walaupun usianya mencecah 46 tahun, Datin Seri Norazlina masih kelihatan menawan!

Bersama suami tersayang, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Bahagia bersama suami dan anak-anak.

“Setelah meninggalkan industri penyiaran, saya banyak menghabiskan masa dengan membesarkan anak-anak. Ketika mereka di bangku sekolah, inilah masa yang begitu kritikal untuk memastikan mereka melengkapkan diri dalam aspek asas pendidikan, sahsiah dan rohaniah. Pada masa yang sama salah satu sebab saya meninggalkan dunia penyiaran adalah untuk memberi komitmen sepenuhnya sebagai isteri kepada seorang ahli politik yang kadang kala memerlukan sentuhan peribadi oleh si isteri buat rakyat.

Selain itu, inilah juga pengorbanan yang saya lakukan sebagai seorang ibu dan isteri untuk memberi sepenuh tumpuan buat anak-anak bila suami yang ketika itu bergelar ahli politik dan Menteri amatlah sibuk dan sukar memberikan masa yang penuh untuk keluarga serta anak-anak.

Setelah anak-anak meningkat remaja dan dewasa, saya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam perniagaan e-dagang. Pengkhususan yang diberikan adalah untuk mengketengahkan barangan buatan tangan dari Malaysia, terutamanya seni hasil tangan seperti anyaman, batik, tenunan dan sebagainya untuk kegunaan hiasan rumah hinggalah ke fesyen. Maka lahirkan portal ROOMAKU, untuk membantu pengusaha-pengusaha kraftangan untuk memasarkan hasil kerja tangan mereka.

Pendek cerita lepas meninggalkan bidang penyiaran, fokus saya adalah terhadap keluarga dan komitmen politik. Anak dah besar lahirlah LAWABANA SDN BHD yang menguruskan ROOMAKU dan seterusnya THE TEPEN CAFE. Hanya kini mula menerokai perniagaan baking and cooking from home. Saya bereksperimen di dapur (cooking and baking).

LIGAT BERNIAGA
Saya adalah pemilik dan COO The Tepen Cafe yang dimiliki penuh oleh syarikat LAWABANA SDN BHD yang mula beroperasi di Cyberjaya sejak Oktober 2019. Ini merupakan langkah pertama kami untuk melibatkan diri dalam F&B. Alhamdulillah kemunculan The Tepen Cafe di Tamarind Square, Cyberjaya mendapat sambutan menggalakkan. Boleh dikatakan full house setiap hari terutamanya ketika lunch time.

Siapa menjangkakan pendemik akan melanda dunia pada tahun 2020. Seperti rakan-rakan niaga yang lain, kami tidak terlepas dari melalui dugaan yang mencabar. Jumlah kakitangan berkurangan, dari full menu ke limited menu. Inilah antara cabaran dan norma baharu yang perlu kami tempuhi. Kita juga perlu memikirkan apa perniagaan dan strategi pemasaran yang benar-benar boleh “sampai” kepada Pekan Gan. Sehingga kadang-kadang saya sendiri terpaksa turun padang untuk membuat penghantaran kepada customer. Tidak percaya? Inilah realiti.

Kebetulan peluang untuk menerokai cabang baru dalam F&B tiba-tiba muncul sejak full lockdown kedua kita. Tanpa disedari penglibatan saya dalam ‘mem-brownies’ mendapat sambutan yang menggalakkan. Memandangkan banyak persiapan dan masa yang perlu diperuntukkan untuk membuat Salted Fudgy Brownies ini, maka terkejar-kejar juga rutin harian saya. Oleh kerana ini adalah cabang yang amat baru buat saya, banyak masa juga dihabiskan untuk belajar selok belok perniagaan sebegini dari rumah.

Satu benda saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan. Dari menguruskan sarapan dan hal-hal berkaitan sekolah, tambahan pula dengan online class, terus ke pejabat dan cafe (bila keadaan memerlukan), juga komitmen di dapur untuk membuat tempahan customer.

Jadi pengurusan masa amatlah mustahak. Selain itu minat pada sesuatu yang kita buat juga dapat memastikan momentum dan “drive” kita sentiasa ada. Insha-Allah saya juga ada perancangan untuk mengembangkan bisnes modul serta melahirkan The Tepen 2, The Tepen 3 dan seterusnya.

RAHSIA KEKAL BAHAGIA
Insya Allah 23 Julai ini genap 23 tahun usia perkahwinan saya dan suami. Rahsia? Seperti pasangan lain, banyak asam garam yang kami tempuhi. Hormat, sabar, and resilience. Tidak dapat dinafikan apabila bergelar isteri kepada kenamaan layanan yang diberikan adalah berbeza. Secara peribadi saya tidak memilih untuk meminta layanan sebegini tetapi ia dilihat sebagai “privilege” maka kita bersyukur dengan keistimewaan yang diberikan ini.

Usia perkahwinan mereka kini mencecah 23 tahun.

Antara pengalaman paling manis adalah ketika setiap kali saya turun padang melawat kawasan iaitu di Kota Belud, Sabah. Tidak pernah saya kembali dari lawatan dengan penuh rasa insaf dan betapa kerdilnya saya setelah berjumpa dan meluangkan masa bersama rakyat tempatan.

Peluang untuk mendekati mereka dan secara tidak langsung memahami permasalahan yang mereka alami, terutamanya golongan wanita, ibu dan anak-anak. Mungkin inilah juga peluang bagi saya untuk tampilkan keperibadian yang sebenarnya supaya mereka dapat melihat siapa sebenarnya diri saya. Dan pengalaman manis ini amat saya rindui sehinggalah sekarang.

RUTIN KECANTIKAN
Sudah menjadi kebiasaan dari zaman penyiaran dulu dengan memastikan muka sentiasa bersih sebeum tidur. Bila saban hari perlu pakai make up tebal, automatik menjadi rutin untuk saya memastikannya benar-benar bersih sebelum tidur. Wajib untuk saya amalkan minimum 3 step. Rasa bersalah pula bila tak cuci muka sebelum tidur.

Saya juga penggemar barangan natural dan organik. Mungkin hasilnya tidak nampak secara pantas tetapi penggunaan jangka lama adalah lebih selamat. Selain itu, saya cuba amalkan pengambilan ulam-ulaman dalam menu pemakanan dan minuman seperti pegaga, moringa, kunyit dan lain-lain. Selain itu, tiada perisa tiruan atau MSG dalam masakan tidak kiralah di rumah atau kafe saya.

PERUBAHAN DUNIA PENYIARAN
Sememangnya ada perbezaan dari segi medium penyampaian maklumat dunia penyiaran sekarang berbanding dulu. Tetapi apa yang pasti, kehendak untuk mengikuti perkembangan semasa di dalam mahupun di luar negara semakin dituntut oleh semua. Oleh itu memang bertepatan bila kita sudah memasuki era digital serta online. Semuanya di hujung jari dan boleh akses pada bila-bila masa saja dan di mana juga kita berada. Online juga memberikan kita banyak pilihan, secara tidak langsung ia membolehkan kita melihat sesuatu isu dengan lebih halus dan concrete, at our convenience.”

Datin Seri Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik. Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.

Kredit Foto: Instagram @norazlinawanghad

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad