Nama Ayu Raudhah sebelum ini pernah memuncak apabila mewarnai dunia lakonan tempatan dalam drama ‘Sutera Maya’ bagi slot Akasia yang ditayangkan di TV3, sekaligus berjaya meletakkan namanya sebaris dengan aktres popular sedia ada.
Bagaimanapun, Ayu atau nama penuhnya, Raudhah Che Wan yang aktif berlakon sejak tahun 2007 mulai memperlahankan rentak seninya selepas berkahwin dengan pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zaquan Adha.
Perkahwinannya sejak 13 tahun lalu yang mengambil tempat pada tarikh keramat 21 Januari 2011, itu kemudianya turut disusuli dengan keputusan bertudung sekembalinya Ayu dan suami usai mengerjakan umrah.
“Rindu terhadap dunia lakonan itu tidak pernah surut. Tambah lagi kalau tengok drama lakonan sendiri diulang siar di televisyen, lagi menebal kerinduan.
“Kali terakhir saya berlakon drama Cinta Bukan Kristal untuk slot Akasia TV3 pada 2018. Drama itu diterajui Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat. Saya berlakon watak Ma Su Faridah. Dan sudah enam tahun berlalu.
“Ikutkan sampai sekarang tawaran berlakon masih kunjung tiba. Tapi sejak merantau ikut tuntutan kerja suami, memang saya fikir banyak kali untuk terima tawaran berlakon.
“Tambah pula, berlakon perlukan pengorbanan masa. Saya pula seboleh-bolehnya nak tengok anak membesar depan mata,” katanya yang turut gembira di kelilingi enam permata hati.
Ketika perhatian lebih terarah kepada keluarga, Ayu mengakui dia pernah berjinak-jinak menceburi dunia perniagaan termasuk mengeluarkan produk kecantikan kulit, pakaian Muslimah dan lelaki serta tudung, serta pernah juga mengusahakan bisnes f&b dahulu.
“Ada kalanya apabila tumpuan berniaga lebih cenderung, suami mula merungut manja sebab masa dengannya tak banyak. Macam idea buka kafe dahulu pun bertitik tolak sebab suami nak makan air tangan saya.
“Tapi lama-kelamaan suami faham. Apa kami lakukan dengan mencari rezeki ini untuk kebaikan bersama termasuk masa depan anak,” katanya.
Pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem menerusi filem Lagenda Budak Setan 3 di Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) itu juga percaya pengalaman menceburkan diri dalam bidang perniagaan menjadi harta bernilai buat dirinya sehingga kini.
“Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber Foto: Instagram Ayu Raudhah
This website uses cookies.