Kos Majlis RM7 Juta, Pernikahan Haqiem Rusli & Anis Sofea Bagai Dalam Taman Kayangan

Suasana cerah, petang Jumaat di Cyberjaya menjadi saksi penyatuan cinta penyanyi popular Haqiem Rusli dengan pasangan pilihan hatinya, Anis Sofea.

Dalam perkembangan terkini majlis akad nikah Bintang Paling Popular ABPBH33 itu, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem bin Rusli, 24 tahun sah bergelar suami dengan dua kali lafaz sekitar jam 3.40 petang, bersaksikan keluarga tercinta dan kenalan rapat pasangan.

Pernikahan pasangan ini mendapat liputan luas ekoran usia pasangan Haqiem iaitu Wan Anis Sofea binti Wan Zamzuri yang masih muda iaitu 19 tahun.

Foto: @aqoimran

 

Sama cantik, sama padan. Begitulah keserasian yang tercipta di antara pasangan muda ini di atas pelamin. Kelihatan pihak Haqiem menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima dulang hantaran kepada pihak pengantin perempuan.

Dalam perkongsian eksklusif pasangan mempelai, majlis yang dilangsungkan berjalan lancar secara tertutup, dengan dihadiri oleh keluarga tercinta, kenalan rapat dan media sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis perkahwinan dan sosial yang telah ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Foto: @aqoimran

 

Foto: @aqoimran

 

KOS RM7 JUTA

Turut meraikan detik bersejarah pasangan ini, jenama barang kemas HABIB menyerikan pasangan dengan aksesori berlian dan barangan kemas bernilai RM5 juta bagi kedua-dua majlis.

Kedua mempelai merupakan pelanggan HABIB apabila memilih untuk membeli cincin perkahwinan mereka. Cincin berlian Hearts of Fire merupakan berlian terbaik dunia menjadi pilihan kedua mempelai.

Persalinan kedua mempelai untuk majlis pernikahan dan persandingan juga dilengkapi koleksi berlian potongan ekslusif dari HABIB. Nilai keseluruhan majlis perkahwinan dianggarkan lebih RM7 juta.

Foto: @aqoimran

 

Pasangan yang bagai pinang dibelah dua ini telah menjalin percintaan sejak dua tahun lepas, berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Dia (Anis Sofea) amat sempurna buat saya, dan saya sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan ketrampilannya yang telah menambat hati saya untuk memilikinya.” Haqiem

Sofea pula menerangkan, “Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya”.

Tak sabar nak tunggu majlis perkahwinan mereka yang bakal diadakan di skyGlass Cyberjaya. Tentu secantik taman kayangan, dengarnya resepsi makan malam tertutup ‘Wedding in the Sky’ ni bakal memukau pandangan!

Kredit: Haqiem Rusli & Aqo Imran

Share
Published by
Norzalina