Ramai yang tak sanggup memelihara haiwan peliharaan terutama kucing kerana kos rawatan anak bulus boleh mencecah hingga ke ribuan ringgit. Namun, siapa yang tak cair melihat kemanjaan haiwan peliharaan terutama anak bulus ini, kan.
Penjagaan kesihatan haiwan semakin meluas di negara ini hingga ramai yang terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.
Namun, doktor haiwan, Dr Siti Nadzirah Zulkiffle mempunyai tip tersendiri bagi mengatasi perbelanjaan yang tinggi untuk penjagaan haiwan peliharaan sekali gus elak kos rawatan anak bulus yang tinggi.
“Tak dinafikan kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah beribu ringgit. Macam kalau haiwan itu patah tulang boleh cecah empat angka kosnya.
Kalau rawatan penyakit yang boleh dicegah dalam anggaran kos RM1000 hingga RM2500. Padahal vaksin ubat kutu dan cacing cuma sekitar RM100 ke RM150 sahaja. Jadi kalau pandai jaga dan mencegah, kos mahal itu dapat dielak.
Klinik saya sendiri sampai tahap menawarkan khidmat rundingan percuma sejak Mac tahun lalu sebab nak galak lebih ramai lagi menjaga haiwan dengan betul,” kata pengasas klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru ini.
Lulusan jurusan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia di Sri Kembangan, Selangor ini gemar menyelamatkan kucing zaman remajanya. Mesra disapa Dr Naz, pernah menjaga 80 ekor kucing dalam satu masa.
“Pernah suatu ketika, nampak kucing di jalanan, saya akan selamatkan atau merawatnya. Sampai 80 ekor kucing ‘menginap’ di rumah. Apa lagi, ayah terus marah sebab keadaan di rumah macam kedai haiwan peliharaan,” kongsi wanita yang berusia 33 tahun ini.
Dr Naz sendiri tidak menyangka mempunyai klinik haiwan sendiri. Kecintaan terhadap haiwan terutama kucing antara pendorong utama wanita menceburi bidang veterinar.
Bagaimanapun ketika zaman remajanya sekitar usia 16 tahun, anak sulung daripada tujuh beradik ini tidak tahu wujud jurusan kedoktoran haiwan ada ditawarkan di pusat pengajian.
Asalnya, Dr Naz bercita-cita menjadi doktor bidan. Namun akhirnya, menukar bidang veterinar. Bercerita tentang kerjaya yang dicintainya ini, “Berpegang kepada prinsip setiap makhluk termasuk haiwan, saya percaya semua perlu dilayan baik.
Itu juga antara sebab saya begitu berazam memiliki klinik haiwan sendiri. Saya sendiri begitu dekat dengan haiwan terutama kucing. Hati memang cepat tersentuh dan hiba melihat haiwan itu diapa-apakan atau terbiar begitu saja,” kongsinya.
This website uses cookies.