Kelmarin telah berlangsungnya majlis memperkenalkan kostum nasional yang akan digayakan oleh Sanjeda John, Miss Grand Malaysia 2017. Kostum ciptaan Hana Yaakob yang akan diperagakan di pentas antarabangsa ketika pertandingan Miss Grand International 2017 yang bakal berlangsung di Vietnam bermula 5 Oktober sehingga 25 Oktober ini telah pun mengundang kontroversi dan kata nista dari netizen Indonesia.
Ramai yang menggelar bahawa Malaysia tidak memiliki budaya sendiri sehingga terpaksa ‘mencuri’ budaya Indonesia yang dipanggil Kuda Lumping ini. Bukan menidakkan yang Kuda Lumping dan Kuda Kepang memiliki persamaan.
Namun apa yang mereka tidak sedar adalah tarian kuda kepang telah berzaman menjadi warisan budaya komuniti Jawa yang tinggal di Malaysia sejak awal abad ke-20. Bahkan pada tahun 1971 kementerian pelancongan negeri Johor telah mengangkat tarian kuda kepang dari komuniti Jawa di Malaysia sebagai simbol kesatuan, kepelbagaian dan keunikan budaya di negeri Johor.
Penyatuan budaya dan juga persamaan dalam pelbagai bentuk dari segi busana, makanan, muzik bahkan bahasa sebenarnya menunjukkan bahawa negara-negara seperti Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei merupakan sebuah gagasan Nusantara yang besar. Jadi tidak hairanlah kalau banyak hal dari segi makanan dan juga budaya hampir sama antara satu sama lain.
Foto: Arazzs Razzswil