Sesaat lagu berhantu, Menghitung Hari tiba-tiba berkumandang di corong radio, rasa rindu terhadap khabar diva Indonesia ini pun menyapa.
Semenjak Krisdayanti berumah tangga, sudah agak lama beliau menyepikan diri. Tapi walaupun jarang muncul membuat persembahan terbuka, namun beliau aktif mengemas kini perkembangan terbaru di media sosial.
Hari ini di Instagram miliknya @krisdayantilemos, wanita bermata galak ini terlihat memuat naik beberapa keping foto memakai hijab.
Kapsyen foto tersebut bertulis:
Salam jumat barokah, semoga Allah menuntun kita amin. Selamat beramal
Wore beautiful @detchsyari
Jubah dan khimar rona biru muda itu disempurnakan dengan solekan sederhana pada wajah Krisdayanti. Cantik dan sopan!
Terubat rindu melihat gaya terbaru Krisdayanti dalam busana Muslimah. Semoga menjadi permulaan yang baik buat Krisdayanti serta para peminatnya. Sama-sama kita doakan, insyaAllah. Norzalina Mohd Alias
Terkesan Kes Adik Amir, TAN SRI SHAHRIZAT Mohon Kerjasama Ramai Elak Insiden Berulang!
Kes kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun Zubaidi Amir Qushairi Malik atau lebih dikenali sebagai Amir pada 29 Januari lalu benar-benar meruntun hati banyak pihak. Ramai meluahkan rasa sayu, sebak dan menangisi pemergian Amir tidak hanya dalam kalangan masyarakat bahkan selebriti dan para pemimpin. Tidak terkecuali, ia turut menarik perhatian bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Selaku individu yang pernah diberi tanggungjawab menjaga kebajikan golongan wanita, keluarga dan orang awam, perkhabaran ini nyata mengusik emosi bekas pemimpin wanita ini. Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Tan Sri Shahrizat berkongsi rasa sedih dan berharap situasi luar jangkaan ini diselesaikan dengan segera.
“Saya harap siasatan kes penderaan yang teramat kejam hingga membawa maut ke atas kanak-kanak Zubaidi Amir Qusyairi Malek umur hanya tujuh tahun ini dipercepatkan. Sesiapa yang bertanggungjawab mesti diadilkan tidak kira ibu ke bapa tiri ke atau sesiapa. Apa pun tragedi seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang lagi.
Apa dia sebenarnya berlaku yang boleh membawa maut kejam seperti ini. Every life is precious. Kita hidup bermasyarakat. Jangan kita ahli keluarga mahupun masyarakat setempat diam membisu apabila kita nampak ada tanda-tanda penderaan terutama ke atas kanak-kanak. They are powerless.”
Sambil memuatnaik gambar Amir yang termenung di jeriji tingkap rumah, Tan Sri Shahrizat menambah, “Setidaknya boleh maklum kepada mana-mana Jabatan Kebajikan Masyarakat atau polis. Atau pemimpin masyarakat. Saya tahu wanita Umno di peringkat akar umbi jika mereka dimaklumkan akan membantu setidaknya untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. Terlalu menyayat hati membaca kes ini. Ya Allah Ya Rabb didoakan semoga roh kanak-kanak Zubaidi Amir disemadi di Jannatul Firdaus. Kanak-kanak yang suci.”
Mengikut kronologi kes, Amir telah dibesarkan oleh keluarga angkatnya selama enam tahun sebelum keluarga tersebut bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak bijak itu kepada ibu kandungnya sekitar Oktober tahun lalu. Namun hanya tiga bulan berada di samping ibu kandung, Amir ditemui meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera berdasarkan penemuan kesan lebam di tubuh badan kanak-kanak berkenaan.
Sementara itu, pada 17 Januari lepas Tan Sri Shahrizat turut berkongsi kegembiraannya sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi Menteri pertama menerajui kementerian tersebut pada tahun 2001.
“Selamat menyambut 20 tahun penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Happy 20th Anniversary Ministry of Women, Family and Community Development. Saat yang amat bersejarah kerana dengan penubuhannya bermulalah perjuangan wanita dan keluarga secara tersusun dalam kerajaan. People change but legacies and memories remain.”
Bagaikan sudah sebati dengan kerja kebajikan, baru-baru ini Tan Sri Shahrizat dilihat turun padang membantu menghulurkan bantuan untuk Misi Bantuan Banjir di Pahang. Walau tidak lagi bergelar Menteri namun jiwa prihatin terhadap nasib masyarakat masih menjadi keutamaan.
Tan Sri Shahrizat mengumumkan persaraan dari dunia politik pada Jun 2018 dengan melepaskan semua jawatan dalam peringkat parti, cawangan, bahagian dan pusat selepas 39 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan.
Selepas bersara dari arena politik, wanita berusia 66 tahun ini banyak menghabiskan masanya dengan beriadah bersama keluarga selain rajin menghias taman mini di perkarangan rumah. Beliau juga dilihat kerap berkongsi aktiviti bersama tiga cucu kesayangan.
Malah, kini Tan Sri Shahrizat juga makin rancak bercucuk tanam dan mempunyai pelbagai jenis tanaman segar. Antaranya tanaman terung, tomato, limau kasturi dan sebagainya. Itu belum lagi kira pokok-pokok bunga yang ada di kediaman beliau.
Tan Sri Shahrizat mendirikan rumah tangga bersama Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail dan mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.
Baru 18 Tahun, Anak Gadis SHAH RUKH KHAN Dah Jadi Cover Majalah Vogue India!
Gadis bernama Suhana Khan ini ternyata mewarisi kecantikan dan bakat kedua-dua ibu bapanya. Meskipun baru berusia 18 tahun dan masih bergelar pelajar, namun setiap kali kelibatnya muncul di khalayak pasti ada ‘mata-mata’ yang memerhati. Begitulah kehidupan yang dilalui Suhana yang merupakan satu-satunya anak perempuan kepada Raja Bollywood, Shah Rukh Khan. Belum pun menceburi bidang seni di India, tapi simbahan dunia glamor sudah mula menyinari kehidupannya.
Bersandarkan populariti bapa dan daya penarik ibu Gauri Khan… Suhana telah dipilih menghiasi kulit depan majalah terkemuka India iaitu Vogue India edisi Ogos 2018. Bagi anak gadis yang muda sepertinya dan tidak pernah terlibat dengan sebarang filem mahupun drama, ia nyata satu penghormatan besar. Untung Suhana!
https://www.instagram.com/p/Bl5_iJtg2BZ/?hl=en&taken-by=gaurikhan
Timbul juga ramalan bahawa gadis cantik ini adalah pelapis kepada bintang terkenal seperti Aishwarya Rai dan kemunculannya kelak bakal menggegarkan industri perfileman Bollywood. Apa yang pasti, Suhana sudah mula menjadi buruan penerbit filem tersohor dan syarikat produksi. Namun segala-galanya terletak kepada keputusan Shah Rukh Khan dan isteri.
Khabarnya, rakan karib Shah Rukh Khan yang juga penerbit filem Kahan Johar antara yang sedang mengintai bakat Suhana selain beberapa penerbit filem lain termasuk Sanjay Leela Bhansali dan Sujoy Ghosh. Cerah masa depan Suhana lepas ni.
Selain Suhana, perkahwinan hampir tiga dekad Shah Rukh Khan dan Gauri turut dikurniakan dua lagi cahaya mata lelaki iaitu Aryan Khan dan AbRam Khan.
PENTING, Bakal Jemaah Umrah Ambil Tahu Info Ini Sebelum Jejak Kaki Ke TANAH SUCI Demi Kebaikan Sejagat!
Tanah Suci Mekah tak pernah sunyi dikunjungi umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Lebih-lebih lagi menjelang musim haji dan umrah. Dalam keterujaan menjadi tetamu Allah dan beribadah serta mencari keredaan-Nya sepanjang berada di sana, pastikan aspek penjagaan kesihatan tersenarai sebagai perkara utama sebelum berangkat ke Mekah. Selain dapat mengelakkan musibah, kepekaan anda terhadap kesihatan diri dan orang sekeliling dapat mengurangkan ancaman penyakit sebaik pulang ke tanah air kelak.
Memandangkan cuti persekolahan akan tiba tidak lama lagi dan sebilangan besar umat Islam dari Malaysia dijangka menunaikan umrah pada waktu tersebut, Immunise4Life dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan sokongan GlaxoSmithKline (GSK) melaksanakan kempen kesedaran khusus buat bakal jemaah Umrah terhadap ancaman penyakit meningokokus dan langkah pencegahan penyakit ini.
Seperti sedia maklum, meskipun umrah adalah suatu pengalaman penuh barakah, ia juga boleh menyebabkan jemaah terdedah dengan pelbagai wabak penyakit berjangkit jika mereka mengabaikan tahap kesihatan diri. Tambahan pula, keadaan di Tanah Suci yang padat dengan kunjungan jutaan umat Islam membuatkan jemaah mudah dijangkiti. Risiko meningokokus dipercayai boleh menyebabkan kematian. Pun begitu, kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini masih di tahap rendah.
Menurut bekas Ketua Pasukan Perubatan bagi jemaah haji, Dato’ Dr Hj Abdul Razak Abdul Muttalif vaksin yang dinamakan meningokokus kuadrivalen ini telah diwajibkan pada tahun 2001 sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit ini yang telah berlaku di sana selama dua tahun berturut-turut.
“Kadar kematian bagi pesakit yang menghidap penyakit meningokokus adalah tinggi. Penyakit yang disebabkan oleh bakteria Neisseria Meningitidis ini amat berbahaya kerana mengakibatkan komplikasi yang amat serius seperti selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan kuman dalam darah (septisemia). Kadar kematian bagi kedua-dua komplikasi masing-masing mencecah sehingga 10 dan 40 peratus.
Jemaah juga berisiko tinggi mendapat jangkitan meningokokus kerana ia mudah merebak apabila terdapat terlalu ramai orang yang menetap atau berkumpul di satu-satu kawasan. Bakteria tersebut merebak melalui cecair saluran pernafasan apabila bersin, batuk, berkongsi sudu dan garpu, ciuman dan sebagainya. Sebahagian individu yang terdedah kepada bakteria ini akan mendapat penyakit manakala sebahagian lain pula menjadi pembawa bakteria tersebut.”
Bagi Dr Mohd Suhaimi Ab Wahab pula iaitu pensyarah perubatan dan penyelidik kesihatan jemaah haji, peratusan pembawa kuman meningokokus meningkat daripada 2.6 peratus kepada 53 peratus selepas menunaikan haji.
“Ini bermakna yang menjadi pembawa bakteria meningokokus bukan saja membahayakan diri sendiri malah boleh membawa ancaman kepada orang sekeliling terutama golongan berisiko tinggi seperti yang menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak berusia lima tahun.”
Difahamkan, mengikut garis panduan kerajaan Arab Saudi jemaah perlu menghantar sijil pengesahan pengambilan vaksinasi meningokokus. Sijil ini hanya sah dalam tempoh tiga tahun selepas pengambilan vaksin berkenaan dan perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh ketibaan di tanah suci.
Dua jenis vaksin meningokukus di Malaysia adalah :
- Vaksin Konjugat Kuadrivalen – memberi perlindungan untuk diri dan keluarga
- Vaksin Polisakarida Kuadrivalen – memberi perlindungan untuk diri tetapi masih boleh menjadi pembawa kuman dan menyebarkan kuman ini.
Sumber: Immunise4Life