“Pada mulanya memang susah hendak menguasai bahasa Jepun kerana asyik terfikir ‘terpaksa’ belajar disebabkan ingin melanjutkan pelajaran ke sana (Jepun) tetapi akhirnya ia menjadi seronok kerana kita mula faham, fasih dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa mereka ketika berada di sana.” Itulah reaksi Aunee Azrina Zulkifli, 28, ketika ditanya mengenai pengalamannya mempelajari bahasa ketiga iaitu bahasa Jepun.
Mengakui tidak rugi sekiranya boleh berkomunikasi selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Aunee Azrina memberitahu ia memberi satu kelebihan kepada diri sendiri pada masa hadapan.
“Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang unik kerana selain terdiri daripada pelbagai bangsa, rakyatnya juga boleh bertutur lebih daripada satu bahasa selain bahasa ibunda, bahasa Melayu. Pastinya penguasaan bahasa ketiga memberi kelebihan, tambahan hari ini dengan pelbagai syarikat luar negara membuka perniagaan di sini ia memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan.
“Begitupun, pemilihan bahasa perlulah betul kerana tidak semua bahasa sesuai dan akan digunakan dalam komunikasi harian,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini lagi.
Bagaimanapun jelas Aunee Azrina, pemilihan bahasa ketiga perlulah dibuat dengan betul agar ia tidak merugikan dan membuang masa.
Juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Mandarin, Aunee Azrina yang kini bekerja dengan salah sebuah syarikat luar negara di ibu kota berkata, dia bertuah kerana pekerjaannya hari ini memerlukannya berkomunikasi dalam bahasa Jepun.
Ditugaskan di Bahagian Teknologi Maklumat (it), Aunee Azrina yang melanjutkan pelajaran di negara matahari terbit selama empat tahun memberitahu, untuk mendalami bahasa ketiga, selain minat, keyakinan diri juga penting.
Ini kerana katanya, jika kedua-dua kriteria tersebut tiada, kita akan mengalami masalah ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Sebenarnya dalam kehidupan harian, apa yang dilakukan adalah kerana minat dan tanpanya segala-galanya tidak akan berjalan dengan lancar.
“Begitu juga apabila hendak mempelajari bahasa ketiga, dengan minat dan keyakinan diri, menjadikan kita lebih fokus dan mudah memahami.
“Pembelajaran bahasa ketiga akan menjadi lebih seronok sekiranya kita mempraktikkan atau menggunakan bahasa tersebut setiap hari dalam komunikasi harian dan sekiranya tidak, apa yang dipelajari akan ‘membazir’ dan sia-sia kerana tanpa latihan kita akan lupa,” katanya dengan lebih lanjut.
Sumber: SINAR BESTARI