Kulit Bebas ‘Bernafas’ Sepanjang Pemakaian PELITUP MUKA, Begini Caranya Elak Masalah Jerawat

Setiap hari apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan tentang laporan kes terkini wabak COVID-19 ianya cukup meresahkan kita.

Namun begitu, kita dinasihatkan untuk bertenang dan tidak terlalu panik dengan mengikut setiap arahan yang diberikan. Teruskan amalan norma baharu dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan, menyapu hand sanitizer, memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan sosial pada setiap masa.

Bagi mereka yang tidak sihat adalah dinasihatkan untuk memakai pelitup muka bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Namun, ada juga mereka yang sihat atau tidak bergejala turut memilih untuk memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada jangkitan.

Ia sebagai salah satu cara kita mencegah penularan wabak ini. Namun, apa yang harus anda tahu ialah penggunaan pelitup muka secara terus menerus memberi kesan tidak bagus terhadap kesihatan kulit wajah.

Kulit akan menjadi lebih sensitif dan mudah berjerawat di beberapa bahagian akibat penggunaan pelitup muka dalam tempoh terlalu lama. Keadaan tersebut berlaku kerana kulit tidak dapat bernafas. Bagi membolehkan kulit bernafas seperti biasa, buka pelitup muka setiap empat jam selama 15 minit, jika anda tidak berada di tempat sesak.

Tahukah anda ketika kita bernafas kemudian menghembusnya, suhu dan kelembapan di sekitar pelitup muka yang tertutup akan meningkat. Keadaan ini boleh menggalakkan bakteria untuk terus membiak.

Akhirnya keadaan ini boleh menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan mudah tersumbat. Selain itu, jika pelitup muka dibiarkan dalam jangka masa panjang boleh meninggalkan bekas pada kulit.

Justeru, anda disarankan supaya melakukan rawatan kulit secara natural antaranya dengan menyapu pelembap dan masker. Pakar dermatologi turut mengesyorkan cara selamat bagi membantu mengelakkan masalah kulit.

Anda boleh menyapu pelembap pada setiap hari untuk mengurangkan masalah kulit kering atau berminyak. Ini kerana kulit yang kering atau berminyak boleh memburukkan lagi keadaan kulit contohnya jerawat.

Waktu terbaik untuk menggunakan pelembap wajah ialah selepas mandi, mencukur janggut (bagi lelaki) atau ketika berlakunya pengelupasan kulit. Sebaiknya elak mengeringkan kulit wajah yang sedang basah dengan menggunakan tuala dan menggosoknya. Cara ini boleh memburukkan lagi keadaan dan merosakkan kelembapan kulit.

Oleh itu, amalkan rutin penjagaan kulit seperti biasa biarpun dalam norma baharu.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad