April lalu penyanyi popular era 80an yang juga juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kebocoran usus.
Terkini, keadaan kesihatannya dilaporkan terlalu lemah dan masih memerlukan pemantauan pakar. Rohana sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor sejak April lalu.
Memetik perkongsian Mstar, pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Jepun memaklumkan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil yang kini berusia 68 tahun berada dalam keadaan stabil namun keadaan tubuhnya dilaporkan terlalu lemah.
“Keadaan dia sangat lemah tetapi masih stabil. Kebocoran usus yang dialaminya masih belum sembuh lagi.
“Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaannya terlalu lemah dan kalau nak buat prosedur rawatan seterusnya pun agak susah.
“Rohana tak boleh makan atau minum. Hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan usus yang bocor itu,” katanya.
Dalam pada itu, Jepun mendedahkan Rohana tidak lagi menerima rawatan di unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu merawat Rohana.
Tambah Jepun, kuman akibat kebocoran usus itu telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Dia sudah tidak boleh dirawat di ICU kerana penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan terhadapnya.
“Disebabkan usus telah bocor, kuman-kuman semua telah menyerang ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Apabila kuman dah merebak ke organ utama, doktor berkata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa kerana dia pun sudah tidak kuat untuk melawan penyakitnya itu,” ujarnya yang turut mendedahkan punca sebenar masalah kesihatan yang dialami penyanyi lagu Rayuanku itu adalah kerana pernah menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu bagi merawat masalah gastrik.
Rawatan itu dibuat susulan mendapat khidmat nasihat doktor, namun semuanya bertukar menjadi lebih rumit akibat kesan yang dialami pada usus.
Sementara itu, Jepun memberitahu sebelum ini pihak hospital menyarankan agar Rohana tidak menerima pelawat selain ahli keluarga bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman.
Bagaimanapun, melihatkan keadaan Rohana yang semakin tenat, penyanyi itu dibenarkan untuk menerima pelawat.
“Kami memang menghadkan pelawat untuk datang menziarah Rohana atas nasihat doktor juga kerana bimbang dijangkiti kuman.
“Tapi melihatkan keadaannya sekarang, saya sudah mula meminta rakan-rakan baiknya untuk datang melawat.
“Cuma saya mohon maaf kerana tidak boleh beri izin semua datang melawat kerana terlalu ramai. Jadi, mana-mana rakan artis yang baik dengan Rohana, mereka boleh datang melawat,” katanya.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.