Nama Susi Susanti sememangnya tidak asing lagi bagi peminat sukan badminton dunia. Kejayaan demi kejayaan dilakar oleh Susi Susanti sepanjang karier dalam sukan badminton sememangnya amat membanggakan. Untuk rekod, Susi Susanti merupakan pemenang pingat emas pertama buat Indonesia di Sukan Olimpik 1992 di Barcelona.
Susi Susanti atau nama sebenarnya Lucia Francisca Susy Susanti Haditono merupakan wanita yang banyak memberi sumber inspirasi buat wanita Indonesia apatah lagi apabila melihat kejayaan demi kejayaan yang berjaya direalisasikan sepanjang karier dalam sukan bulu tangkis itu.
Menyorot kehidupan peribadi Susi Susanti, dia mendirikan rumahtangga dengan Alan Budikusuma sekaligus merupakan salah satu pasangan paling terkenal di Indonesia. Sepasang emas di Sukan Olimpik Barcelona 1992 menjadi simbol ikatan mereka berdua.
Kisah cinta Susi dan Alan bermula sebelum temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992 lagi tetapi kedua-duanya bijak merahsiakan hubungan mereka ketika itu.
“Kami berpacaran sejak tahun 1988,” ucap Susi mengingat. “Namun jangan diartikan pacaran seperti bagaimana layaknya remaja-remaja lainnya. Status kami saja yang pacaran, namun kami tetap sibuk dengan latihan masing-masing,” tutur Susi menjelaskan dipetik dari CNN Indonesia.
Meskipun pada peringkat awal hubungan Susi dan Alan mendapat tentangan dari keluarga, tetapi rasa cinta yang utuh menjadikan pasangan ini berjaya mendepani segala cabaran dengan sebaik mungkin. Apatah lagi kedua-duanya terlibat di dalam arena sukan yang sama, sebarang masalah peribadi yang melibatkan kedua-duanya bakal dijadikan asbab untuk perkara-perkara yang tidak diingini.
Namun buat pasangan ini, mereka saling menyokong antara satu sama lain dan menjadikan sesi latihan sebagai gelanggang berkongsi idea untuk memantapkan lagi mutu permainan. Tekad dan kerja keras pasangan ini ternyata menghasilkan momen indah buat Indonesia tatkala menghadiahkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Sekaligus merupakan momen indah seluruh Indonesia merestui perjalanan cinta mereka.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 1997 dan hasil perkongsian hidup selama 26 tahun, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Laurencia Averina, Albertus Edward dan Sebastianus Frederick.
Bergelar pemain badminton professional, Susi Susanti pernah berhadapan dengan ujian getir apabila terpaksa membuat keputusan besar dalam perjalanan karier sebagai pemain badminton.
Selepas berkahwin pada 1997, Susi disahkan hamil lima minggu ketika bermain di Kejohanan Terbuka Singapura. Dalam situasi membawa misi negara ke Sukan Asia, Susi berada di persimpangan sama ada meneruskan kandungan atau melupakan Sukan Asia.
“Semua pihak menyerahkan keputusan di tangan saya. Setelah saya merenung, akhirnya saya memilih untuk meneruskan kehamilan karena saya fikir ini adalah anugerah dari Tuhan dan saya berdosa jika saya menggugurkannya,” ujar Susi.
Ia sekaligus melenyapkan peluangnya ke Sukan Asia 1998 dan menggantungkan raketnya secara rasmi. Selepas 19 tahun membina nama sebagai pemain badminton Indonesia, akhirnya Susi mengundurkan diri secara rasminya 30 Oktober 1999.
Simbolik acara persaraan Susi telah diadakan di Istora Senayan dan Susi turut menerima penghargaan berupa emas seberat 25 gram dari Persatuan Bulutangkis Indonesia. Susi turut diberi penghormatan menerima Badminton Hall Of Fame serta tanda penghormatan Republik Indonesia Bintang Jasa Utama pada tahun 1992.
Selain menjadi isteri dan ibu usai menggantung raket, Susi dan Alan menjalankan perniagaan berasaskan sukan diberi nama Astec serta sport massage center.
Meskipun kedua-duanya merupakan bekas medalis Sukan Olimpik, baik Susi mahupun Alan memberi galakan untuk anak-anak mereka mengejar karier yang berbeza dari kerjaya mereka. Pada usia 52 tahun, kegiatan olahraga menjadi salah satu aktiviti wajib buat jaguh dunia ini untuk mengekalkan stamina.
Juara All England di usia 19 tahun, meraih Piala Sudirman dan juga meraih emas Sukan Olimpik Barcelona, sememangnya wanita ini penuh dengan semangat yang luar biasa!