Pada 23 Julai 2022 yang lalu genaplah usia perkahwinan Datin Seri Norazlina Tan Sri Awang Had dan suami, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang ke 24 tahun. Masha-Allah, dah lebih dua dekad bahtera rumahtangga yang dibina.
Tiga cahayamata yang kian meningkat dewasa menjadi pelengkap kebahagiaan pasangan serasi ini. Setelah mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan perniagaan, DS Norazlina dilihat semakin bahagia dan ceria dengan kehidupan sekarang.
Sokongan suami tercinta antara pencetus semangat DS Norazlina dalam merealisasikan impiannya untuk bergelar isteri, ibu serta usahawan berjaya. Tanpa sokongan suami dan anak-anak mana mungkin wanita berusia 47 tahun ini berada di tahap sekarang.
Berkongsi di akaun Instagramnya baru-baru ini, DS Norazlina telah memuat naik beberapa gambar sambutan ulangtahun perkahwinannya yang ke-24 di Bali, Indonesia. Memilih Ubud sebagai destinasi percutian, mereka sekeluarga kelihatan sungguh bahagia tatkala meraikan detik itu bersama.
Walau sederhana namun momen istimewa itu cukup bermakna dan romantik buat DS Norazlina dan suami. Ini membuktikan, walaupun sudah lama berkahwin hubungan mereka masih kekal bahagia seperti dahulu.
“Jadi di sini kita adalah DHDH6 (ini nama keluarga kami yang diberikan oleh mentua saya) apabila jam menunjukkan tengah malam tadi, 24 tahun berlalu. Tiada apa yang lebih bererti melainkan memiliki 3 cahaya mata. COVID memberi perspektif berbeza untuk kami meraikan ulang tahun perkahwinan kali ini. Ia memberi makna yang berbeza kepada ikatan dan kebersamaan keluarga! Anak-anak menjadi sebab kita kekal bersatu. Ini adalah percutian bulan madu keluarga! Syukur, Alhamdulillah!”
DS Norazlina turut menyatakan, lagi lama usia perkahwinan lagi bertambah rasa sayang buat suami. Antara rahsia bahagia rumahtangga pasangan ini ialah sabar, hormat dan bertanggungjawab.
“Inilah kita selepas 24 tahun! Dekat-dekat suku abad ni ha.. lagi lama lagi “comot” kita sayang! Suka lumpur bukan?? Semoga ada banyak lagi tahun yang menakjubkan akan datang! Amin”
Semoga DS Norazlina kekal bahagia selamanya bersama suami dan anak-anak tersayang.
Untuk rekod, DS Norazlina merupakan pengasas LAWABANA SDN BHD yang menguruskan perniagaan ROOMAKU dan THE TEPEN CAFE. Ternyata, beliau seorang wanita yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Memetik kata-katanya ketika pernah ditemu bual oleh NONA: –
“Satu benda yang saya belajar. Kita tidak akan ada masa kalau kita tak buat masa. Kalau lihat pada rutin harian saya sekarang memang tiada henti. Tak mudah untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu, anak dan usahawan.”
DS Norazlina merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur manakala keluarganya berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Beliau menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk Diploma Reka Bentuk Grafik. Kemudian beiau melanjutkan pula pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Auckland University of Technology di New Zealand jurusan Reka Bentuk Grafik.
Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Datin Seri Norazlina memulakan kariernya sebagai pereka grafik bebas dan pengarah seni di pelbagai agensi reka bentuk serta pengiklanan.
Kredit Foto: Instagram @norazlinawanghad