Baru terima menantu, semalam diceraikan. Ikatan rumah tangga penyanyi terkenal pada era 1980-an dan 1990-an, Datuk Amir Amzah Salleh atau dikenali sebagai ND Lala yang terbina selama 34 tahun dengan isteri, Datin Fauziah Sarman akhirnya terlerai.
Berita duka itu dikongsikan Fauziah menerusi hantaran di laman Instagramnya. Ibu kepada penyanyi Shila Amzah dan Syada Amzah itu mendedahkan ND Lala telah melafazkan cerai kali pertama pada 2 Ogos lalu manakala kali kedua pada 8 Ogos.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-NYA dan kekuatan kasih sayang ALLAH, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“Alhamdullilah, ALLAH telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini. Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-ALLAH,” tulisnya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu menjelaskan pendedahan status berkenaan untuk mengelakkan sebarang fitnah.
Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
Dalam pada itu, Fauziah memohon warganet mendoakan agar dirinya kuat untuk meneruskan kehidupan. “Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun2 hidup dalam penipuan.”
Sebelum ini, ND Lala dikaitkan dengan kontroversi berhubung penyanyi lelaki popular era 80-an yang dikhabarkan bernikah lagi bersama wanita muda.
Bagaimanapun, tiada sebarang penjelasan atau kenyataan berhubung berkaitan isu terbabit.
Untuk rekod, ND Lala dan Fauziah berkahwin pada tahun 1989. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.
Dan baru-baru ini, Shila Amzah selamat bergelar isteri kepada pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai, 25, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Boathouse Ampang sabtu lepas.
NONA mendoakan semoga keluarga ini diberikan kekuatan menempug dugaan ini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.