Lahirkan Anak Kembar, DATIN BELINA Pernah Alami Kemurungan Ketika Dalam Pantang

Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang ibu hamil tatkala doktor mengesahkan bayi yang dikandung adalah kembar. Sudah tentu kehadiran bayi kembar itu sangat dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga.

Begitulah perasaan yang dialami oleh Datin Belina Abdul Hamid yang bersyukur apabila dikurniakan sepasang anak kembar seiras iaitu Shahirah Safiyya Samsudin dan Shahirah Silfiyya Samsudin yang cukup comel serta bijak. Kedua-duanya kini berusia 5 tahun.

“Safiyya dan dan Silfiyya dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 1 Februari 2014 di Hospital Prince Court Kuala Lumpur. Alhamdulillah menjaga Safiyya dan Silfiyya tidak sesukar mana. Kedua-duanya tak kuat meragam.

Detik mencabar tu saya hanya alami ketika dalam berpantang. Saya tak nafikan menjaga anak kembar ni perlu banyak sabar dan mental yang kuat. Hanya mereka yang alami saja tahu bagaimana rasanya.

Bila nak susu, kedua-duanya akan menangis. Saya perlu menyusukan Safiyya dan Silfiyya serentak sambil terpaksa menahan sakit kesan pembedahan caesarean. Kalau tak kenyang atau tak puas menyusu kedua-duanya akan menangis lagi.

Itu yang kadangkala membuatkan saya rasa amat tertekan dan murung. Perlu buat dua benda dalam satu masa. Detik ni memang sangat mencabar bagi saya yang pertama kali melahirkan dan menjaga anak kembar.

Semasa di hospital jururawat ada ajarkan saya bagaimana menyusukan dua bayi serentak. Pengalaman itu amat menakjubkan walaupun penat. Alhamdulillah bila dah besar, Safiyya dan Silfiyya semakin mudah dijaga dan mendengar cakap. Mereka juga penyayang dan prihatin. Kedua-duanya memang banyak persamaan.

Sesungguhnya kenangan menjaga anak kembar adalah detik istimewa dalam hidup saya,” kongsi wanita berusia 33 tahun ini. Selain Safiyya dan Silfiyya, Datin Belina juga memiliki seorang anak lelaki iaitu Shahputra Nasri berusia 7 tahun.

MAKIN CANTIK & LANGSING

Walaupun memiliki 3 anak, Datin Belina kekal anggun dan langsing persis anak dara. Dahulu, berat Datin Belina pernah mencecah 90kg. Namun kini Datin Belina berjaya mencapai berat ideal iaitu 55kg.

“Setiap kali hamil berat saya memang akan naik dan tak dapat nak kawal kerana selera makan yang melampau. Nak buat macam mana..saya enjoy je saat itu. Apa yang penting lepas bersalin saya akan atur semula diet seimbang dan tak akan tinggalkan senaman.

Semasa hamil anak pertama saya ambil masa 6-7 bulan untuk kembali langsing. Anak kedua iaitu ketika hamilkan Safiyya dan Silfiyya, saya ambil masa setahun untuk dapat badan seperti sekarang.

Setiap hari saya akan kira kalori yang diambil, pastikan tak lebih daripada total sepatutnya. Untuk diet saya dapatkan nasihat pakar. Tak salah nak berdiet tapi jangan sampai tak makan. Cheat day kena ada dalam 1 minggu barulah kita enjoy diet. Saya juga suka berpuasa.

Saya banyakkan minum air kosong dan elak makanan manis, masin dan berminyak. Lagi satu, kalau nak diet rajinkan diri untuk masak sendiri di rumah. Tak boleh malas dan jangan mudah putus asa. Cabaran ketika diet, setiap hari saya perlu masak sedap-sedap untuk suami dan anak-anak tapi dalam masa sama saya sendiri perlu kawal pemakanan,” ungkap Datin Belina yang mengagumi Ziana Zain kerana masih kekal cantik dan bertenaga walau dalam usia 50an.

“Nasihat saya buat seluruh wanita kalau nak kekal sihat dan cantik kena rajin. Jangan jadikan alasan komitmen sebagai isteri dan ibu untuk ‘malas’ menjaga penampilan. Saya sendiri kurus bukan sebab penat jaga anak. Saya disiplinkan diri dengan diet seimbang dan bersenam secara teratur,” akhiri Datin Belina.

Kredit: Instagram Datin Belina

 

 

 

 

Share
Published by
Amy Mohd