Noor Faqirah Abdullah, simbol ketabahan seorang wanita nekad mengubah nasib dengan meniaga. Memulakan empayar kecantikan dan kesihatan sendiri dari rumah tatkala pandemik melanda, bukan penghalang dirinya mencipta magis dengan Qayra Beauty Empire yang kian unggul menempa kemasyHuran dengan produk diyakini, dari wanita untuk semua.

Walau masih hijau dalam dunia keusahawanan, pencapaian wanita berusia 27 tahun ini tidak boleh dipandang sepi. Enam tahun mengemudi Qayra Beauty Empire, kini dirinya boleh tersenyum bangga mencapai jualan luar biasa sebanyak RM17 juta pada tiga tahun lepas sekaligus menukar statusnya dari seorang peniaga kecil-kecilan kini bertaraf jutawan. Ini membuktikan bahawa usaha keras dan tekad yang tinggi mampu mencipta keajaiban.

Ads

Namun di sebalik kejayaan Qayra Beauty Empire yang gah berdiri di persada industri kecantikan tempatan, terselit kisah inspirasi yang penuh dengan liku-liku perjuangan dengan hasratnya untuk merubah kehidupan keluarga keluar daripada kesempitan dan kesusahan.

“Awalnya saya hanyalah seorang suri rumah yang turun meniaga laksa bersama suami di Pasar Tani RTC Tunjung. Walaupun ketika itu tengah sarat mengandung, saya gagahkan jua demi membantu suami. Tidak mahu terus mengenang nasib, pada tahun 2019 saya membuat keputusan mengeluarkan produk sendiri iaitu Herba Kurus Tradisi memandangkan ayah saya sendiri seorang peniaga herba,” jelas dirinya yang berasal Pasir Tumbuh, Kelantan.

Lahirkan Ramai Usahawan Wanita & Miliki Wisma Sendiri, NOOR FAQIRAH Bangga Qayra Beauty Kini Lebih Sukses

“Sehingga kini, bapa saya menjual akar kayu di RTC Tunjong. Awal dahulu saya sendiri kurang percaya dengan keberkesanan jamu kampung tetapi selepas bersalin barulah saya percaya herba kampung sangat berkesan untuk menurunkan berat badan, lantas saya gunakan ia sebagai ramuan utama produk keluaran Qayra Beauty,” katanya.

Mengimbau detik-detik awal perniagaan mereka, Qayra menceritakan bagaimana mereka bekerja tanpa henti untuk mencari pelanggan dan membina kepercayaan di kalangan pembeli.

“Demi kelangsungan perniagaan, sampai satu tahap saya sendiri terpaksa menggunakan duit raya anak sebagai modal awal untuk memulakan Qayra Beauty. Jadi bila melihat wajah anak-anak, ia menjadi pemangkin untuk saya berikan apa saja yang mereka inginkan.”

Namun, kejayaan yang dikecapinya tidak menjadikan Qayra leka. Sebaliknya, wanita ini terus berusaha untuk memberikan inspirasi kepada lebih ramai usahawan agar mereka juga mampu mencapai impian yang sama. Pada tahun 2024, Qayra menetapkan visi besar untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya melalui produk-produk di bawah jenama Qayra Beauty Empire.

Lahirkan Ramai Usahawan Wanita & Miliki Wisma Sendiri, NOOR FAQIRAH Bangga Qayra Beauty Kini Lebih Sukses

“Kita ada lebih 11,000 usahawan Qayra di seluruh Malaysia, dan tahun ini kita berazam untuk melahirkan lebih 20,000 usahawan baru. Saya mahu lebih ramai lagi berjaya menjana pendapatan yang lumayan seperti beberapa usahawan kami yang telah meraih jualan lebih sejuta ringgit.”

Lima daripada usahawan di bawah Qayra Beauty Empire berjaya meraih jualan lebih sejuta ringgit pada tahun lalu, membuktikan bahawa potensi kejayaan yang dicetuskan oleh produk Qayra Beauty adalah sesuatu yang nyata. Melalui platform seperti Qayra Millionaire Award, beliau berhasrat untuk menghargai dan mengiktiraf usaha keras para usahawan yang telah berjuang bersama beliau sepanjang tahun-tahun yang mencabar ini.

Menurut Qayra, kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil daripada semangat, pengorbanan, dan tekad untuk tidak berputus asa. “Setiap kejayaan pasti ada pengorbanan, dan saya percaya dengan bimbingan dan dorongan yang betul, sesiapa sahaja di luar sana mampu mencapai apa yang saya capai hari ini,” jelasnya.

Lahirkan Ramai Usahawan Wanita & Miliki Wisma Sendiri, NOOR FAQIRAH Bangga Qayra Beauty Kini Lebih Sukses

Ads

Beliau juga berkongsi bahawa usahawan yang berjaya dengan Qayra Beauty bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan, malah mampu membeli aset seperti rumah dan kereta, serta melangsaikan hutang yang ada. Kejayaan kewangan ini bukanlah satu khayalan, tetapi hasil nyata daripada usaha dan dedikasi mereka yang tidak mengenal erti putus asa.

“Bisnes mana tidak diduga bukan? Saya sendiri sudah lalui asam garam meniaga, antaranya produk diciplak, ditipu supplier, dikecam warga maya dan macam-macam lagi, namun ia tak pernah mematahkan semangat saya untuk terus berjuang untuk Qayra Beauty kerana saya bertanggungjawab dengan mereka yang berada di sisi saya sejak hari pertama.”

Di sebalik persaingan sengit dalam industri kesihatan dan kecantikan, Qayra Beauty terus kukuh berdiri dengan komitmen untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi. Produk mereka, termasuk Herba Kampung Tradisi yang kini melalui proses penambahbaikan, terus menjadi pilihan pengguna kerana kualitinya yang terjamin.

Selama enam tahun berada di pasaran, jenama Qayra Beauty telah mengalami pelbagai fasa pertumbuhan. “Kami bermula pada tahun 2019, dan hari ini, produk kami semakin mendapat tempat di hati pengguna. Setiap tahun, jumlah usahawan kami semakin meningkat, dan ini menunjukkan bahawa produk kami memang berkualiti dan relevan dengan kehendak pasaran,” katanya.

Ads

Dengan semangat dan misi yang jelas, Qayra tidak pernah berhenti bermimpi untuk melihat lebih ramai wanita berjaya seperti dirinya. “Bagi saya, kejayaan bukan sekadar tentang jumlah wang yang kita miliki, tetapi bagaimana kita boleh membantu orang lain untuk berjaya. Saya ingin menjadi inspirasi kepada semua wanita di luar sana bahawa kita mampu mengubah nasib kita sendiri jika kita berani bermimpi dan bekerja keras untuk mencapainya,” ujarnya penuh semangat.

Apabila ditanya apakah pencapaian yang paling dibanggakan, Qayra mengakui teruja kerana kini perniagaannya sudah memiliki wisma sendiri. “Alhamdulillah, perjalanan perniagaan yang bermula dari bawah, kemudian menyewa kedai kecil dan akhirnya saya kini berjaya membina dan memiliki bangunan sendiri dinamakan Wisma Qayra Beauty tanpa sebarang bebanan hutang,” kata Qayra yang cukup mengagumi Bonda Rozita sebagai role model.

Lahirkan Ramai Usahawan Wanita & Miliki Wisma Sendiri, NOOR FAQIRAH Bangga Qayra Beauty Kini Lebih Sukses

Kisah Noor Faqirah Abdullah adalah bukti bahawa wanita mampu mencipta perubahan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan masyarakat. Melalui usaha yang tidak mengenal lelah, beliau telah membuktikan bahawa impian yang besar mampu dicapai jika disertai dengan keyakinan dan kesungguhan.

Ditanya pentingkah seorang isteri di zaman kini mempunyai sumber kewangan sendiri tanpa mengharapkan pada suami, Qayra akui bersetuju. “Siapa saja tak pernah melalui masalah rumah tangga, jadi saya percaya semua wanita perlu membuat persediaan. Suami bukannya sentiasa milik kita. Andai tak diambil Tuhan, diambil orang lain. Jadi, mana-mana isteri perlu bijak dalam merancang kewangan untuk jaminan masa hadapan,” jelas Qayra lagi.

“Saya bercita-cita untuk meluaskan empayar Qayra Beauty ke peringkat antarabangsa dan melebarkan sayap perniagaan ke negara jiran. Sekarang kami dah mula memasarkan produk ke Dubai dan Arab Saudi. Selain itu, kami juga merancang untuk membuka peluang OEM bagi mereka yang ingin mengubah nasib mereka menerusi perniagaan dan penghasilan produk.”

Kata-kata akhir buat semua wanita di luar sana terutama sekali suri rumah yang ingin terjun ke dalam bidang keusahawanan? “Jangan takut untuk berniaga. Elakkan jadikan anak-anak sebagai alasan, namun letakkan tindakan di hadapan. Andai gusar buat keputusan, mulakan perlahan-lahan. Tak semestinya nak meniaga kena ada produk sendiri. Bangkit dan jangan mudah berputus asa,” akhiri Qayra.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI