Gaya Hidup

Lakukan 20 Tip Hebat Ini Untuk Miliki Bentuk Tubuh IDEAL & LANGSING!

Berazam untuk tampil lebih langsing sempena tahun baru ini? Lupakan jalan pintas dan pendam segala pelan diet Hollywood yang keterlaluan sekaligus menyeksa perut. Ikuti 20 tip berikut untuk memperolehi tubuh yang lebih ramping dan sihat, seperti yang diidam-idamkan! Diet seharusnya tidak menyeksakan, tetapi lebih memenangkan, bukan! Selamat mencuba.

  1. Permulaan

Hindari tekanan yang mampu mempengaruhi cita-cita anda untuk berdiet. Jika sedang dibelenggu masalah, eloklah ditangguhkan dahulu keinginan ini sehingga minda sudah benar-benar bersedia.

  1. Tempat makan

Jadikan suatu kebiasaan untuk duduk dengan selesa dan makan di atas meja – tentu sekali bukan di dalam kereta, di atas meja pejabat atau kala tergesa-gesa!

  1. Pencahayaan

Warna yang ceria merangsang selera makan, jadi pilihlah rona kain lapik meja, napkin serta dinding ruang makan yang lembut dan neutral. Pencahayaan yang terlalu gelap atau terang mendorong mood anda untuk makan dengan banyak.

  1. Saiz pinggan

Gunakan saiz pinggan yang kecil pada setiap waktu makan. Cara ini membentuk perspektif – hidangan terlihat banyak di dalam ruang pinggan yang sempit.

  1. Masa makan

Letakkan sudu atau tangan anda ke bawah ketika sedang mengunyah makanan. Nikmatilah rasa dan teksturnya yang berbeza. Minda anda memerlukan kira-kira 20 minit untuk mentafsir mesej bahawa perut sudah kenyang.

  1. Alunan muzik

Dengarkan dendangan muzik klasik yang merdu kerana ia membantu membuai diri agar makan lebih sedikit dan teratur. Berbeza dengan alunan muzik yang rancak seperti rock & roll – ia mendorong anda makan dengan banyak dan laju.

  1. Berhenti apabila kenyang

Sebaik terasa kenyang, letakkan sudu, bangkit daripada kerusi, kemaskan sisa makanan tersebut dan sibukkan diri dengan perkara lain.

  1. Stok makanan

Pastikan setiap ruang simpanan makanan dan peti sejuk anda diisi makanan yang berkhasiat dan rendah kalori. Nyahkan segera makanan ringan yang ditemui!

  1. Bertenang

Elakkan menjamah makanan semata-mata kerana tertekan. Jika berdepan hari yang sukar, ambillah udara segar, berjalan-jalan, bermeditasi atau cukup sekadar mendengar muzik yang tenang.

  1. Gambarkan kejayaan

Gunakan imaginasi anda untuk membayangkan kejayaan. Fikirkan diri anda yang langsing, berkeyakinan tinggi serta tersenyum girang dalam persalinan indah yang diimpikan. Bayangkan perasaan bangga setiap kali anda menimbang berat badan.

  1. Hobi

Sibukkan diri daripada keinginan untuk mengudap snek dengan melakukan hobi ringan dan melekakan seperti mengait, bermain jigsaw puzzle atau membuat buku skrap.

  1. Hitung makanan

Jangan mengunyah snek terus daripada kotak bungkusannya! Asingkan jumlah atau potongan tertentu yang ingin dimakan dan simpan bakinya.

  1. Air

Pakar diet mencadangkan supaya anda minum segelas minuman berais sebelum makan untuk menyekat selera. Cecair, samada panas atau sejuk boleh membuat anda kenyang, justeru minumlah segelas air sebelum mengunyah sesuatu. Namun begitu, elakkan minuman manis dan berkarbonat.

  1. Jus buah-buahan dan sayuran

Minuman jus kaya fruktosa sememangnya amat penting buat anda yang ingin menurunkan berat badan. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang minum segelas jus 200 kalori setengah jam sebelum makan mampu menghapus purata 300-400 kalori ketika waktu makan berikutnya.

  1. Kalori negatif

Amalkan snek yang mempunyai paras kalori yang amat rendah seperti seleri, timun dan daun salad. Snek ini dianggap kalori negatif kerana proses persediaan, mengunyah dan menghadamnya lebih membakar kalori berbanding kalori yang terkandung di dalamnya.

  1. Hidangan waktu malam

Mengambil makanan berat pada waktu malam boleh membuncitkan perut dan membuat anda susah tidur nyenyak. Makanan berkarbohidrat seperti nasi atau mi pada waktu ini mampu memberi tekanan keterlaluan pada otot perut anda.

  1. Senarai membeli-belah

Rancang hidangan menu anda sebelum keluar membeli-belah. Usah berlegar-legar ketika membeli barang kerana anda terdorong untuk berbelanja lebih. Elakkan daripada terpedaya dengan nama-nama makanan yang enak seperti ‘Biskut Coklat Lazat Dari Ketuhar Tradisi’ kerana biasanya ia cuma indah khabar dari rupa.

  1. Baca label

Selain dapat mempelajari pelbagai informasi yang tertera, anda juga dapat mengetahui data nutrisi termasuk kiraan nilai kalori yang disediakan oleh pengeluar makanan. Semaklah dahulu sebelum membelinya.

  1. Jangan membeli ketika lapar

Kudaplah snek yang sihat dan mengenyangkan sebelum membeli-belah. Elakkan mencuba sampel makanan percuma yang diberikan kerana anda mungkin terdorong untuk membelinya.

  1. Nikmati makanan sihat

Buah-buahan tinggi serat, sayuran dan bijirin merupakan makanan bernutrisi dan boleh menurunkan berat badan. Ia mengurangkan keinginan untuk bersnek serta mengisi perut anda dengan kalori yang sedikit. Serat membuatkan anda kenyang sambil merendahkan kolesterol dan tekanan darah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi