Tidak perlu menunggu tibanya Hari Ibu untuk memberikan ucapan terima kasih kerana setiap hari adalah bermakna buat insan istimewa ini. Melafazkan memang mudah namun bagaimana untuk menzahirkannya melalui perbuatan agar dapat mencipta momen terindah?
Sebenarnya banyak cara untuk kita meluahkan rasa terima kasih buat insan yang telah berkorban nyawa ketika melahirkan. Jadilah lebih kreatif namun asasnya keikhlasan. Berikut lima cara yang boleh anda lakukan sebagai tanda terima kasih buat ibu tersayang.
AJAK BERCUTI
Ibu adalah insan yang sering merasa rindu terhadap anak-anak. Ubati rasa rindu anda dengan sesekali mengajaknya pergi bercuti dan berkumpul dengan ahli keluarga. Dapatlah ibu anda bermain dengan cucu-cucunya bagi mengubati rasa rindu dan kesepian yang dipendam selama ini.
MERAWATNYA KETIKA SAKIT
Jika anda masih ingat ketika masih kecil, bagaimana ibu menjaga dan merawat anda ketika jatuh sakit? Ditambah pula dengan rasa risau yang teramat sangat. Maka, bila dirinya jatuh sakit siapa lagi yang diharapkan selain anak-anaknya. Jagalah dia sebagaimana ibu menjaga anda semasa sakit sebagai tanda berterima kasih sekaligus membalas budinya.
MEMBELIKAN HADIAH
Contohnya pada waktu ulang tahun kelahiran atau perkahwinannya. Berikan hadiah atau jambangan bunga sebagai kejutan. Ibu akan merasa cukup bahagia dan gembira malah ada yang sampai menitiskan air mata kerana terharu dengan pemberian daripada anak-anak.
TIDAK MENYAKITI HATINYA
Ketika meningkatnya usia kadangkala kita secara sengaja atau tidak telah menyakiti hatinya baik melalui perbuatan mahupun percakapan. Berusahalah untuk tidak menyakiti atau menyinggung perasaannya. Segera minta maaf jika anda telah menyakitinya.
UNGKAPKAN PERASAAN DENGAN IKHLAS
Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja dan tinggal pula berjauhan, maka jurang komunikasi dan interaksi anda bersama ibu menjadi luas. Perlunya ungkapan seperti ‘Saya sangat sayangkan ibu’ diucapkan secara kerap setiap hari. Tiada salahnya untuk bermanja-manja dengan ibu sendiri kerana suatu hari nanti anak-anak anda juga akan dewasa dan anda mungkin akan melalui detik yang sama. AMY MOHD