Anak Penoreh Getah, Kini Kak Ell Boleh Berbangga Punya Wisma Sendiri, Pernah Buat Untung RM34 Juta!

Setiap pengusaha produk kecantikan sememangnya mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak umum. Ada yang memilih menggunakan strategi pemasaran secara agresif di media sosial, manakala ada juga yang lebih selesa menggunakan teknik pemasaran yang lain.


Namun buat Sharmila Johan atau lebih popular dikenali sebagai Kak Ell, dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan perniagaan kosmetik yang diusahakan mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.
“Saya bangga menggunakan nama sendiri sebagai jenama produk”, itu jawapan Kak Ell yang terkenal dengan tagline “Memang Cantik” apabila ditanya tentang produk kosmetik keluarannya yang menggunakan namanya sendiri.
Berbekalkan pengalaman hidup yang pernah melalui kesukaran sebagai anak kepada seorang penoreh getah, Sharmila menganggap nama yang diberikan oleh kedua ibu dan bapanya sebagai salah satu hadiah terbesar yang membolehkan dia mencapai kejayaan seperti hari ini.


“Saya menganggap nama yang baik adalah suatu doa. Saya rasakan ia sebagai bonus untuk mak dengan ayah sebab memilih nama yang baik untuk saya,” tambahnya lagi.
Kak Ell turut menitipkan pesanan bermakna yang boleh dijadikan panduan sebagai asbab sesebuah perniagaan itu untuk berjaya.
“Walau berjaya macam mana pun, jangan sesekali abaikan tanggungjawab sebagai seorang anak. Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Cikgu saya pesan, orang yang jaga ibu bapanya adalah orang yang berjaya. Cuma dalam setiap sudut dan gerak langkah, saya kena lebih berhati-hati dan disiplin.
“Saya tak boleh main cakap lepas sahaja. Saya ada keluarga dan anak yang perlu dijaga. Malah, saya beruntung kerana pengguna tegar jenama saya sendiri mempertahankan kualiti produk yang dihasilkan hingga ia terus relevan dan dipercayai,” katanya yang meletakkan kejayaan kini adalah atas doa kedua ibubapa tersayang.


Ketika ditanya mengenai gaya hidupnya, Kak Ell tidak menafikan memiliki beberapa jenama kereta mewah di rumah, namun bagi Kak Ell itu semua adalah sekadar pinjaman daripada-Nya, bukan satu simbol kekayaan yang perlu dimegahkan.

“Sebagai wanita, mustahillah saya tak bernafsu nak memiliki barang-barang mewah, kan? Tapi, saya selalu ingatkan diri sendiri supaya tak ‘over’.”

“Saya lebih suka menghabiskan duit yang diperolehi untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, membantu kawan-kawan dan ahli keluarga, menyumbang semula kepada sekolah yang pernah diduduki dan berkongsi dengan ibu bapa,” ujar Kak Ell yang memiliki wisma sendiri yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Pelbagai siri kejayaan telah dirangkul oleh syarikat yang ditubuhkan oleh ibu kepada tiga orang cahaya mata. Tahun lalu, syarikatnya telah mendapat pengiktirafan Global Best Consumer Brands for Skincare, SME100 Awards 2021 dan Affin BMI Women Entrepreneur Awards 2021.


Malah, antara kejayaan yang menjadi kebanggan buat dirinya di mana jualan tahunan produk pernah mencecah sehingga angka RM 34 juta!
“Saya sentiasa percaya apa-apa yang kita buat, usaha memang daripada kita, tapi rezeki semua daripada Allah,” katanya lagi.

Menyambut ulang tahun penubuhan Kak Ell yang ke-4 baru-baru ini, wanita bertudung itu turut memasang impian untuk membimbing lebih ramai orang terutamanya suri rumah dan golongan pelajar untuk berjaya dengan menyertai Team #KakEllStars.


“Saya baru menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Management and Science Universiti (MSU) untuk memberi pengalaman pendidikan yang berbeza kepada pelajar berkenaan,” katanya.
Kak Ell turut mensasarkan untuk meraih anggaran jualan produk sebulan sebanyak RM 5 juta pula pada tahun ini. Kak Ell baharu sahaja melancarkan produk ke 48 syarikatnya yang diberi nama Fairy Glow Oil sempena acara Kak Ell Fantasy Night yang berlangsung baru-baru ini.

Share
Published by
Rosmah Idayu