‘Lambat Baca, Suka Pakai Kasut & Tulis Huruf Terbalik ..’ DATIN SERI SHAHIDA Kesan Simptom Disleksia Anak!

Tak ada apa yang patut dimalukan oleh kaum ibu bapa sekiranya mempunyai anak-anak Disleksia. Lihat saja bagaimana Datin Seri Shahida membantu anak perempuannya, Qadejah yang mengalami simptom tersebut. Apa yang pasti, isteri kepada usahawan ternama Datuk Seri Aliff Syukri ini cukup tenang dan terbuka berkongsi pengalaman tersebut di Instagram miliknya dua hari lepas.

“Qadejah anak disleksia… mewarisi genetik dari @aliffsyukriterlajaklaris. Dia lambat membaca bila saya hantar ke sekolah biasa. Suka pakai kasut terbalik, suka menulis huruf terbalik, tak boleh fokus sesuatu benda dalam masa yang lama, imaginasi tinggi dan di luar kotak dan bila menulis akan nampak seperti reflek cermin. Contoh ‘mama’ akan jadi ‘amam’.”

Datin Seri Shahida dan Qadejah

Usah sesekali merasa rendah diri atau melabel anak-anak ini sebagai ‘lembap’. Meskipun mereka berdepan dengan masalah pembacaan dan pembelajaran.. namun tahukah anda, golongan ini sebenarnya bijak kerana mempunyai IQ sama atau lebih tinggi berbanding kanak-kanak sebaya. Bahkan, beberapa tokoh ternama dan selebriti antarabangsa yang berjaya dalam bidang masing-masing sebenarnya penghidap disleksia.

Sebagai contoh, Albert Einstein, Steve Jobs, Tom Cruise, Will Smith, Keira Knightley dan Abhishek Bachchan.

Bersama 4 orang anak dan dua anak angkat

Dedah Datin Seri Shahida, “Mengaji pun lambat faham berbanding Ammar dan Baem. Atas nasihat guru, Qadejah saya hantar ke Pusat Disleksia selama 3 bulan. Dia tak suka, hari-hari merungut. Alhamdulillah sekarang banyak perkembangannya. Menulis masih terbalik tapi banyak dah ok. Boleh membaca sebab cara ajarannya tak boleh macam kanak-kanak biasa.

Jadi parents kalau ada anak yang lambat atau simptom macam ni saya sarankan buat test. Jangan ingat anak kita tak pandai. Tapi apa yang saya nampak anak disleksia ni suka melukis, bijak dan berpandangan jauh. Berfikir di luar kotak yang orang lain tak fikir. Sifat dia juga pelik-pelik.. buat benda yang tak dijangka.”

Tanda-tanda disleksia boleh dikesan seawal umur 5 setengah tahun. Tidak kurang juga yang hanya dapat dikenalpasti ketika mula bersekolah. Pun begitu, tak semua anak-anak disleksia mempunyai simptom yang sama.

SIMPTOM DISLEKSIA

  1. Cuai dan mudah terjatuh
  2. Pakai kasut terbalik
  3. Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
  4. Pertuturan yang tunggang langgang / pelik
  5. Sukar membezakan kiri dan kanan atau semalam dan esok
  6. Mempunyai masalah menendang, membaling dan menangkap bola
  7. Sukar mengikut arahan yang panjang
  8. Sukar mengikuti turutan sesuatu perkara seperti Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad
  9. Punya masalah untuk menamakan objek
  10. Tulisan yang tidak kemas dan terlalu banyak huruf yang terbalik seperti d,b, m, w

 

 

Share
Published by
Suzi