Langit Seoul Dihujani Dron, Sebar Mesej Kesedaran COVID-19 Paling Bergaya Dalam Sejarah

Selain K-Pop dan K-Drama, satu lagi ‘K’ terbaik di Korea Selatan adalah Kuarantin, yang menyelamatkan hampir majoriti penduduknya dari jangkitan COVID-19, meskipun terletak hanya kira-kira 1,400km saja dari Wuhan, China.

Negara Korea Selatan tersenarai di antara negara terbaik dalam menangani pandemik COVID-19 hasil ketangkasan pemerintahnya mengenakan sekatan dan kuarantin paling ketat bagi membendung penularan Coronavirus.

Terus bertekad untuk menyebarkan kesedaran virus ini kepada penduduk, sebuah persembahan berteknologi tinggi menggemparkan penduduk Seoul, apabila langit malam diterangi dron-dron yang berterbangan.

Ratusan dron memenuhi langit malam Seoul, pada Sabtu lalu dalam persembahan luar biasa bagi menyebarkan mesej kesedaran dan motivasi ketika dunia masih berperang dengan pandemik koronavirus.

Sebanyak 300 alat berteknologi diprogramkan untuk menyiarkan imej di atas Sungai Han yang mengalir ke ibu negara Korea Selatan, sekali gus mewujudkan pemandangan menarik.

Persembahan bermula dengan mesej mengingatkan penduduk supaya mengambil langkah pencegahan secara serius termasuk memakai pelitup muka, membasuh tangan dan mengekalkan jarak sosial dua meter.

Dron itu membentuk imej pelitup muka yang dikelilingi zarah koronavirus yang kemudian berubah dengan cepat untuk membentuk dua tangan dan titisan air di langit gelap.

Persembahan 10 minit itu juga menyampaikan penghargaan kepada petugas perubatan dalam barisan hadapan atas usaha kolektif mereka dalam merawat pesakit COVID-19 negara itu.

“Terima kasih kepada anda semua,” Mesej dron itu di udara bersama imej bentuk hati, sementara satu mesej lagi berserta siluet semenanjung Korea, “Bergembiralah, Republik Korea.”

Kementerian Pengangkutan negara itu berkata, acara berkenaan yang dianjurkan pada Sabtu tidak diuar-uarkan kerana mengambil kira peraturan penjarakan sosial.

Sementara itu di Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga giat mengingatkan masyarakat agar tidak lalai atau terlalu selesa dengan ‘kebebasan’ yang diberikan dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

‘Terus waspada, ambil langkah pencegahan dan patuhi SOP’ Begitu SMS terkini MKN yang diterima seluruh rakyat Malaysia di nombor telefon masing-masing.

Share
Published by
Norzalina