Mencabar sungguh bila terpaksa memandang juadah raya dari kejauhan. Irma Hasmie pun ada pengalaman berpantang ketika bulan Syawal. Orang lain sibuk makan rendang dan ketupat, Irma pula hanya makan menu-menu orang berpantang!
Itulah kisah Irma Hasmie 5 tahun lalu selepas melahirkan puterinya, Irma Nur Naylie.
“Dalam banyak-banyak Syawal yang disambut, tahun 2014 adalah kenangan yang paling saya ingat sehingga ke hari ini. Saya terpaksa berpantang semasa raya. Lemang dan rendang bagai ‘memanggil-manggil’ untuk dimakan. Tetapi apakan daya, tempoh berpantang itu masih lama lagi. Tetapi seronoknya kerana ramai yang datang untuk melawat saya dan baby,” kongsi Irma.
Sambutan Syawal kali ini seperti biasa anak-anaklah paling teruja. Kata Irma, Irfhan dan adiknya paling riuh untuk bersiap untuk mengerjakan solat hari raya.
Ads
“Dia yang akan kejut semua orang. Bila nampak Mummy dan Daddy masih belum bersiap, dia yang bising-bising minta kami bersiap cepat. Irfhan pula jenis yang suka berpakaian lengkap, dari songkok hingga samping. Jadi pagi tu memang kalut!” katanya.
Comel betul dua beradik ni. Bertuah Irma dan Redza dikurniakan anak yang comel dan bijak. Kata Irma, dua anaknya ini dijaga sendiri dengan bantuan ibu dan ibu mentua.
“Membesarkan anak-anak sendiri adalah satu kepuasan buat mana-mana ibu sekalipun. Mujur saya diberikan peluang untuk melihat mereka membesar di depan mata. Bila dah masuk umur 4 tahun, barulah saya hantar mereka ke sekolah. Sekarang ni jadi driver untuk mereka pula!”
Irma yang kini aktif dalam dunia pengacaraan juga sedang sibuk menjalankan tugasnya menjadi ikon untuk Islamic Relief Malaysia. Banyak misi yang sedang giat dijalankan dan dalam perancangan untuk dilaksanakan. Bacalah kisah Irma yang Nona paparkan di dalam edisi Jun 2019 ini. Mungkin ada yang terpanggil untuk turut menyertainya.
Allah uji kerana sayang! Sesungguhnya Zandra Hakimi seorang sosok ibu berjiwa kental. Dugaan yang ditanggung isteri Safiq Rahim ini cukup besar namun dia dan suami tercinta reda menerima ketentuan ilahi kerana mereka percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Jika sebelum ini, pemilik nama Zandra Aziela Ibrahim Hakimi memaklumkan dua anak lelaki kesayangan disahkan menghidap autism.
Terbaharu, ibu kepada empat cahaya mata ini menerima satu lagi ujian apabila anaknya iaitu Muhammad Zafiq Zafrul didiagnosis penyakit Leukemia Limfoblastik Akut Pra-B.
Anak Zandra Hakimi Hidap Leukemia
Khabar tersebut didedahkan bekas atlet boling negara berkenaan di media sosial miliknya pada 22 April lalu.
Kongsi Zandra, “Bismillah. Hi name is Muhammad Zafiq Zafrul bin Safiq, some may call me YB Zafrul. I just turned five last month and today I have been diagnosed with Pre-B Acute Lymphoblastic Leukemia.”
Tambahnya, tarikh itu juga menyaksikan Zafrul buat kali pertamanya menjalani rawatan kemoterapi dan semuanya berjalan lancar.
“Saya menangis sedikit saja. Mommy ada bersama saya setiap masa dan begitu juga anda semua. Kata Mommy, banyak yang mendoakan saya.”
Lebih seminggu dimasukkan ke hospital, cahaya mata Zandra Hakimi dan Safiq Rahim berusia lima tahun ini kelihatan tenang meskipun menanggung sakit yang dialami.
Walau hati berduka tetapi sebagai ibu, Zandra perlu sentiasa tampil kuat dan positif serta memberi sokongan kepada anak tersayang.
Begitu juga suami Zandra yang merupakan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang sentiasa ada di sisi anak dan isteri.
Zandra Hakimi & Safiq Rahim Ada Anak Autism
Dalam temu bual bersama Nona tidak lama dulu, Zandra yang disifatkan seorang wanita optimis dan periang terbuka berkongsi kisah hidup.
“Kehidupan sekarang alhamdulillah semua ok, anak pun dah empat. Kita dah jadi full time mommy dah. Memang orang nampak semuanya ok tapi realitinya kita yang kena jaga di depan (khalayak). Maksudnya di depan suami, kita yang di belakang kena jaga segalanya.
Tapi saya ok.I’m all for it. Saya memang dah all out untuk jaga anak-anak, ada empat orang, saya ada dua orang anak istimewa.
Alhamdulillah, Allah kulli haal. Semua itu membuatkan saya jadi better mommy dan also both of us jadi better parents. Kita juga nak share dekat orang di luar sana it’s not all what you think it is, bukan semuanya indah tapi kita buat the best untuknya.”
Mengulas lanjut mengenai dua cahaya mata lelaki yang didiagnosis autism, Zandra berkata dia dan suami sudah mula menghantar anak mereka menjalani terapi sejak kecil.
“Anak saya dua orang, first two boys dorang ada the spectrum of autism dalam kategori dua. Both dah belajar terapi sejak mereka kecil lagi. Sejak usia 2 tahun kami dah diagnosed mereka. Mereka dah jalani terapi selama 4 -5 tahun dah dan achievement mereka alhamdulillah dah boleh bercakap, urus diri sendiri dan independent.
Sekarang ni saya nak terapkan more to islamic. Saya terapkan mereka untuk lebih hafazan, mengaji dan sebagainya. Sebab saya rasa ia adalah yang terbaik untuk perkembangan otak mereka.”
Ujarnya, “Memang sangat mencabar dan tak menafikan. Allah won’t test you more than you capable of. Mungkin kita dapat lebih (rezeki), sebab tu kita dapat beri kepada anak tu. Kita dapat lebih tang rezeki, rezeki tu pergi ke anak dan saya percaya tu.
Itu membuatkan saya lebih matang menjalani hidup sebagai ibu. Saya juga harap dapat hadapi dan jaga amanah ini sebaiknya.”
Zandra Hakimi sah bergelar isteri Safiq Rahim pada 2 Februari 2014. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat orang anak lelaki iaitu Zafiq Zayyan, Zafiq Zuhayr, Zafiq Zafrul dan Zafiq Ziqri.
Moga Zandra dan Safiq dikurniakan kesabaran dalam menempuh dugaan pada hari-hari mendatang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selain kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tumpuan rakyat kebelakangan ini, sosok wanita bertudung bawal merah jambu ini juga mencuri perhatian ramai dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8 yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara semalam. Yang pasti, beliau bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Ketua Hakim Negara!
Pasti orang Kelantan cukup bangga apabila mengetahui Ketua Hakim Negara ini sebenarnya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Lebih manis, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mencipta satu lagi sejarah negara apabila menjadi wanita pertama dilantik jawatan berkenaan. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tan Sri Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi.
Awal Mei tahun lalu, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dijemput ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan serta Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara.
Mengimbas kembali momen penting itu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut kelihatan dalam upacara tersebut ketika itu ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kredit: Instagram Istana Negara
Anggun berbusana tradisi baju kurung rona cerah dan bertudung bawal polos, Tan Seri Tengku Maimun tenang menandatangani surat pelantikan. Begitu juga ketika mengangkat sumpah jawatan.
Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April tahun lalu. Pelantikan Tan Sri Tengku Maimun berkuatkuasa serta-merta mulai awal Mei lepas.
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 60 tahun ini, Tan Sri Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tan Sri Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tan Sri Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Tidak hanya terhenti di situ, Tan Sri Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Sumber: Astro Awani & Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejelitaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sememangnya memukau pandangan. Sejak bergelar Pembaca Berita sehingga ke saat ini, ramai yang mengagumi kecantikan baginda. Tambahan pula, Tengku Permaisuri Selangor seorang wanita yang penuh dengan sifat kelembutan dan tidak lekang mengukir senyuman kepada rakyat.
Terbaru, penampilan baginda ketika menghadiri satu majlis rasmi kembali mencuri perhatian ramai. Bertempat di Istana Alam Shah, Klang… DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyantuni lawatan ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Wanita Permata Selangor. Seperti yang dilaporkan menerusi laman media sosial rasmi Selangor Royal Official, majlis tersebut berlangsung sekitar empat hari lalu iaitu pada tanggal 27 Februari 2020.
Anggun menyarung persalinan tradisi rona putih bercorak bunga-bungaan hijau, kemunculan Tengku Permaisuri Selangor nyata dinanti-nantikan ahli PERKIM yang turut mengenakan pakaian rasmi mereka dari rona senada. Ceria menyambut lawatan mereka ke Istana Alam Shah, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan tidak putus-putus menguntum senyuman dan beramah mesra bersama mereka.
Memilih gaya minimalis dengan menggayakan aksesori subang mutiara dan sebentuk cincin di jari manis, kejelitaan baginda bagaimana pun tetap menyerlah. Malah, rata-rata rakyat yang melihat penampilan baginda mengakui terpikat dengan kesederhanaan Tengku Permaisuri Norashikin dalam menjaga penampilan. Nampak tidak keterlaluan, namun cukup manis dipandang.
Bahkan ruangan komen media sosial Selangor Royal Official turut dihujani dengan kata-kata pujian daripada rakyat yang menyenangi peribadi Tengku Permaisuri Selangor.
Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan cenderahati kepada ahli PERKIM selain meraikan mereka dalam majlis santapan tengahari. Pastinya momen bersua muka bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin meninggalkan kenangan manis buat seluruh ahli PERKIM terlibat.
Sumber: Selangor Royal Official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.