Ayda Jebat yang sedang hangat dengan single terbaharunya, Temberang sekali lagi telah disunting menjadi duta produk kosmetik tempatan. Jenama kosmetik ANAS telah melantik Ayda Jebat duta selain Rozita Che Wan.
Ditanya apakah dengan dirinya yang laris menjadi duta produk mempromosikan jenama tertentu sudah menjadi tiket untuk tidak lagi aktif dalam dunia seni, Ayda bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan itu.
“Saya masih akan berlakon dan menyanyi sekalipun ditawar sebagai duta jenama itu dan ini. Saya lihat tuntutan itu jadi jaminan yang kita ada duit poket. Pengaruh di layar lakonan dan nyanyian itu perlu kerana produk yang diwakili itu juga mahu melihat artis sentiasa berkembang.
“Takkan tak nak keluar TV atau tak buat apa -apa. Jadi memang kena ada kerja lakonan di TV atau filem mahupun lagu. Kerja ini dengan dunia seni sebenarnya saling melengkapi,” katanya.
Memiliki pengaruh yang besar selain pengikut yang ramai di laman sosial, duta kosmetik ANAS ini bagaimanapun belum terfikir untuk memiliki rangkaian jenama sendiri termasuk kosmetik.
“Kalau saya ada tenaga kerja yang ramai, memang sudah terfikir nak ada jenama produk sendiri. Cuma setakat ini belum ke arah itu.
“Setakat ini saya ada keluarkan produk mandian dan krim badan khusus untuk peminat dan budak remaja. Selepas ini saya dapat tahu ada juga perancangan jenama kosmetik ini nak keluarkan saiz yang lebih kecil dan praktikal dibawa dalam tas tangan,” katanya.
This website uses cookies.